Titipan buat yang tersayang

Assalamualaikum ayahanda,

Salam dari pulau mutiara. Moga ayahanda sihat walafiat dan sejahtera hendaknya. Entah yang ke berapa sudah warkah anakanda titipkan buat ayahanda. Jelas sekali titipan sebelum ini hanyalah sekadar ingin memohon ayahanda kirimkan wang saku. Tidak terdetik sekali pun di sanubari anakanda untuk mengucapkan terima kasih. Ya Allah sampai begitu sekali fikiran jahat anakanda. Belum cukup itu anakanda sering pula sangsi yang bukan-bukan tentang ayahanda.

Ayahanda,

Anakanda begitu sedih sekali lantaran kehidupan masa lalu kita yang penuh cabaran. Kesangsian anakanda tentang sikap ayahanda pada anakanda. Pernah anakanda marah dalam diri anakanda sendiri kenapa ayahanda yang menjadi ayah, mengapa bukan orang lain. Saat jiran sebelah enak menjamu selera dengan ayam goreng, anakanda di rumah hanya dapat berkongsi sedulang nasi putih bergaulkan garam berperisa marjerin. Sungguh tika itu anakanda sampai terfikir, kita orang miskinkah? Bukankah ayahanda berjawatankan seorang pendidik. Ya Allah sungguh anakanda menangis saat warkah ini ditulis. Maafkan hati jahat ini ayahanda. Kenapa anakanda tak bersyukur.

Ayahanda sayang,

Ayahanda hantar anakanda ini belajar menuntut ilmu sampai di menara gading sudah. Sedikit masa sahaja lagi Insyaallah segulung ijazah dalam genggaman. Air mata ini tak dapat tertahan lagi. Dosa-dosa anakanda pada ayahanda tak dapat anakanda rungkaikan satu-persatu di sini. Tiap kali aidilfitri hati ini egois sekali seakan tak mahu mengucap maaf. Tapi ayahanda tetap tenang. Ayahanda, anakanda sayang ayahanda. Sungguh.

Ayahanda yang dihormati,

Tatkala adinda bongsu ditempatkan di rumah sakit kerana Nephrotic Syndrome sungguh anakanda marah pada ayahanda kerana gara-gara peperiksaan yang anakanda sedang hadapi ayahanda rahsiakan daripada anakanda. Anakanda masih menangis ayahanda. Oh tak bersyukurnya anakanda. Ayahanda tak mahu pelajaran anakanda terganggu. Ayahanda tak mahu anakanda jatuh.

Ayahanda,

Anakanda mohon jutaan kemaafan atas salah dan silap anakanda lakukan. Kebencian yang meluap-luap inilah yang menjadikan anakanda takut dan tidak rapat dengan ayahanda. Sedangkan walau apa pun anakanda tahu ayahanda tentulah sayangkan anakanda. Anakanda lupa dengan kasih sayang Allah. Anakanda lupa dengan janji Allah. Anakanda tidak bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Malu sekali anakanda dengan Allah. Anakanda masih punya ayah. Masih cukup makan minum.

Ayahanda yang dirindui,

Maafkan anakanda ya ayahanda, tak dapat anakanda balas jasa dan pengorbanan ayahanda dengan wang ringgit. Hanya dengan ayahanda maafkan kesalahan anakanda sudah cukup buat anakanda. Maaf ayahanda. Maaf. Anakanda selalu berprasangka buruk pada ayahanda. Anakanda tanam dalam diri anakanda kecil-kecil anakanda tak suka ayahanda membantu orang lain kerana mereka bukan keluarga kita. Sungguh tulus hatimu ayahanda. Halalkan makan minum ayahanda. Terima kasih segalanya ayahanda. Hanya Allah dapat membalas jasamu ayahanda. Ya Allah berkatilah ayahandaku. Ampunkanlah dosa-dosa ayahandaku. Tempatkanlah ayahandaku di tempat-tempat orang yang soleh.

Ya Allah warkah ini entah sempat atau tidak kupanjangkan pada ayahandaku. Maafkan dosa-dosaku pada ayahandaku. Maafkan kesangsian-kesangsianku pada ayahandaku sendiri. Air mata yang mengalir ini bukti sungguh-sungguh kesalahanku pada ayahandaku. Tak mahu rasa bersalah ini terus-menerus kekal dalam hati ini. Tak mahu titik hitam berkumpul. Tak mahu hidup ini merana kerana futur dengan rahmat Allah. Sekian buat kali ini ayahanda. Wassalam.

Desasiswa Indah Kembara
http://mulabelajarhentimimpi.blogspot.com/

4 ulasan:

BalQis berkata...

Salam Syahidah?

Are you alright?
Hoping that you are.

Hidup bukan selalunya indahkan? Tapi langit tidak selalu mendung juga. Hidup memang banyak putaran-putarannya sendiri. Terkadang merasakan bahawa takdir tidak pernah berlaku adil terhadap hidup. Dan kita terus-terusan hidup dalam kesangsian, memandang segalanya yang tidak adil dengan penuh kebencian. Rasa-rasa yang ditanam, dibaja sang syaitan. Lalu hati jauh dari rasa bersyukur, rasa cukup dengan rezeki sedikit yang Tuhan berikan. Dan memang sebenarnya kita menyalahkan takdir yang telah tertulis sekian lama buat kita di Luh Mahfudz. Dan seringkali juga kita lewah-lewah bahawa yang menetapkan takdir itu adalah Yang Maha Mengetahui segalanya.

Saya bukan untuk cuba mengerti, lagilah pula pandai-pandai mahu memahami. Sekadar sedikit titipan dari pengalaman hidup sendiri. Ah, manusia manakah yang sempurnakan? Selagi masih diberi masa untuk perbaiki diri, jangan disiakan...

Moga ayahandamu mendengar titipan kasih sayang ini. Moga!

Wassalam,
All the best!!

Syahidah berkata...

Salam Kak Balqis sayang..hmm..ikutlah apa yang pembaca dapat hasil surat yang saya tulis sambil menangis in..jumaat ni saya nak balik rumah nak jumpa abi,along, umi dan adik-adik nak mohon maaf..=P..

Saya ok Kak..ya betullah kita kena bersyukur dengan apa yang kita ada..dan kita mesti sabar dalam setiap perkara yang berlaku..dan yang pasti masa silam itu usah dikenang sehingga boleh membawa kemurungan..

Saya belajar dari kesilapan..moga kita sentiasa ditunjukkan Allah jalan yang terbaik buat kita..Wallahua'lam..Adik saya sudah 3 tahun menderita sakit itu..ke HKL setiap bulan sudah jadi rutin..tak tahulah hendak juga cerita di blog tapi tak pandai pula nak tulis bagaimana sebab kalau tiada apa yang orang boleh dapat dari apa yang saya sampaikan tak perlu rasanya..biarlah Insyaallah hanya mati yang tak dapat diubati...tapi memang saya mudah sedih orangya..hehe...apa boleh buat..cepat rindu dengan rumah..=P

Wardatul Shaukah berkata...

salam ziarah sahabat.

titipan ini sungguh membuatkan saya sayu. mungkin saya faham. tidak apa. jangan ditangisi akan kesesalan yang menyelubungi diri kita ya. kamu rindu rumah ya? hui.. saya juga selalu ingat ayah saya sejak akhir2 ni. sebak pula.. -_-

syahidah berkata...

@Wardatul shaukah..

saya bersiaran dari rumah..huhu..esok along mahu bawa saya jalan-jalan..dan baru sahaja kembali dari kampung halaman..hehe..kalau teringat buatlah panggilan..Isyaallah..yang jauh kita dekatkan..=P..

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...