Boleh diterimakah?

Apabila bertebaran maklumat dalam Bahasa Melayu sama ada di ruang maya mahupun di media cetak sebenarnya bagi aku menarik minat golongan yang tidak memahami Bahasa Melayu untuk memahami bahasa itu sendiri tidak kira apa pun tujuan golongan tersebut. Percaya atau tidak dewasa ini walaupun Malaysia, Indonesia, Brunei yang masih menggunakan bahasa ini walaupun ada sedikit perbezaan namun antara tiga negara ini kita masih dapat memahami gaya bahasa masing-masing. Melihat Indonesia yang lebih besar berbanding Malasia dan Brunei tentunya dapat menggerunkan dunia dengan kemantapan bahasa tersebut. Pada pendapat aku satu kesilapan besar jika ada antara kita yang masih mahu bermusuhan antara satu sama lain. Aku sendiri pernah bertemu dengan laman-laman web seumpama yang dilihat cuba memecahbelahkan kita yang pada asalnya serumpun. Sedangkan tidak diketahui secara hitam putihnya kerana tiada profil pengenalan diri siapa sebenarnya menjadi 'admin' bagi laman tersebut.

Bagi aku pihak penghasut dunia ini sememangnya itulah tujuan mereka tidak mahu melihat kita sebagai negara Islam bersatu. Percaya atau tidak dengan bahasa itu sendiri kita dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik kerana terdapat persamaan. Apabila wujud persamaan maka lahirlah sifat kasih sayang yang secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim antara kita. Seterusnya penyebaran Islam itu terus-menerus berlangsung tanpa henti. Kita bukan sekadar mahu meng'islah' iaitu memperbaiki akhlak umat Islam sahaja, malah kita seharusnya menyebarkan Islam itu. Sedangkan binatang yang cuba menghampiri api pun kita mahu menyelamatkan binatang tersebut, mahukah kita membiarkan kawan-kawan sekeliling memasuki neraka. Nau'zubillahi min zalik.

Benar, dengan teknologi masa kini, sudah ada perisian komputer yang boleh terus menterjemah pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, sekurang-kurangnya kita tak mahu anak bangsa yang akan datang sudah tidak tahu apa maksud ayam, anjing jika selalu disebut chicken,dog. Oh parah sekali jika begitu jika nasi pun asyik dipanggil rice itupun jika makanannya nasi, tengok-tengok hanya tahu piza dan donut, itu pun dieja doughnut dalam bahasa Inggeris, sedangkan bahasa Melayu sudah menggunakan donut dalam kamus.

Walaupun aku sendiri masih tidak dapat memahami kaitan yang setepat mungkin antara Islam dan Bahasa Melayu, setidak-tidaknya bahasa inilah juga yang memanjangkan lagi peluasan dan penyebaran agama Islam di nusantara. Sedangkan rakyat di Patani, Yala, Narathiwat dan Songkhla dihalang oleh kerajaan Thailand untuk berbahasa Melayu itupun secara curi-curi mempelajari tulisan jawi, kenapa kita di Malaysia tidak mahu menyanjung keindahan asal bahsa tersebut. Terus-terang aku suka mendengar ibu dan nenek di kampung berbual kerana aku dapati perkataan-perkataan yang mereka gunakan ada ketinggian ilmu bahasanya dari segi perbendaharaan kata. Contohnya mak aku sendiri masih menggunakan ayahanda, anakanda, bonda apabila menulis. Sehinggakan aku hendak menghantar kad raya ke rumah pun aku ditegur supaya sentiasa menggunakan kata nama yang bersesuaian kerana menurut beliau ayahanda dan bonda itu merujuk betapa tingginya nilai murni dalam konteks menghormati orang yang lebih tua.

Tajuk ni agak serius, masih boleh dipanjangkan lagi huraian, contoh dan rujukan supaya lebih ilmiah dan mendidik jiwa nusa bangsa. Sekian, terima kasih. Terasa seperti sedang menjawab kertas peperiksaan LKM 400 iaitu kertas Bahasa Melayu yang wajib diambil oleh pelajar USM untuk layak bergraduasi. Terima kasih Puan Safiah atas tunjuk ajar.

*Riwayat asal ditulis pada 24 Ogos 2009. Peperiksaan semester ini bermula 4 November sehigga 20 November untuk subjek Kimia Fizik, Psikologi Kesihatan dan Statistik untuk pelajar sains.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

3 ulasan:

julie@julianamnoor berkata...

akak pun masih menggunakan bahasa pasar apabila menulis..kadangkala rasa mcm serasi menggunakan bahasa rojak.tp akhirnya memakan diri sendiri dan merosakkan bangsa.huhu

Ali Akhbar berkata...

hmmmm..bahasa jiwa bangsa.....Hang Tuah pernah bekata, 'Takkan Melayu Hilang di dunia'....apakah maksud melayu itu.......

syahidah berkata...

@kak julie

saya kalau bahasa pasar tu saya boleh terima lagi, cuma kalau bahasa sms tu agak tak suka, huhu, rasa berpinar nak baca, bayangkan menulis entri di blog tajuk boleh tahan, isi pun bagus, tapi banyak sangat singkatan, hmmm.

@Ali

Melayu itu maksud kau bahasa Melayu ya, tak pernah aku terfikir, aku ingat Hang Tuah kata tu bangsa Melayu.

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...