Gembira atau apakah ini?

Alhamdulillah, walaupun tengah sedih dengan seperkara tapi aku tetap gembira dengan seperkara yang lain. Aku sedar kini, walaupun ramai sahabat kita punya, tetapi untuk mencari sahabat sejati, payah sekali. Kadang-kadang kita terlalu mengharap sahabat kita akan bersama-sama dengan kita dalam apa jua yang kita terpaksa hadapi sehari-hari. Biarlah. Sudahlah hal itu, tak mahu aku fikirkan lagi, walaupun sebenarnya tetap perlu difikir. Ialah, siapa mahu hidup tanpa teman bicara di dunia ini. Tak tahulah kalau masih ada yang boleh hidupnya tanpa ada tempat untuk bercerita. Itu cerita sahabat. Tak mahu aku panjang-panjangkan di sini. Yang penting aku tak suka bermusuh walau pahit sekali.

Adikku Mujahid genap tahun ini umurnya 21 tahun. Hmm, jujur aku tak begitu rapat dengannya. Aku punya ramai adik-beradik. Jadi, buat kali pertama, sungguh-sungguh aku beritahu di sini, malam tadi, kami berbual di corong telefon hampir sejam lamanya. Seolah-olah seperti aku baru kenal siapa adikku Mujahid. Besar sudah. Selamat hari lahir Mujahid. Moga kita kuat dalam menghadapi dugaan-dugaan hidup yang tak mungkin lari dari catatan diari. Begitulah hidup ini. Beberapa perkara kami bincangkan, rata-rata soal masa depan masing-masing.

Ya aku sendiri, November ini tamatlah pengajian aku di USM. Mujahid pun sudah memasuki fasa praktikal di tempat pengajiannya di Selangor. Adikku yang sama-sama sempat merasa liku-liku hidup waktu kami kecil dahulu. Adik-adikku yang lain sedikit beruntung. Naluri aku kadang-kadang cemburu juga. Tapi harus aku tepis jauh-jauh. Wajib barangkali. Biarlah kami yang di atas ini sahaja yang merasa. Aku, Mujahid dan along.

Pelik benar rasanya, kawan-kawan mungkin rapat dengan adik masing-masing. Tapi aku lain sedikit. Inilah kali pertama aku menceritakan apa yang aku pendam selama ini. Benar sekali. Aku jarang bercerita dengan dia. Mungkin sampai waktu. Besar sudah. Aku sendiri tak sedar entah bagaimana segalanya terpacul dari mulut untuk bercerita. Segala yang pahit. Yang manis tentulah selalu dikongsi. Terima kasih De, kerana mendengar. Nasihat yang awak beri, Insyaallah tak perlu kita putus asa dengan Rahmat Tuhan. Perlu berusaha bukan?

Cuma, aku sendiri pun tidak mampu untuk bertahan. Ada masa aku rebah juga. Aku tahu. Kesabaran sahajalah yang dapat mengatasi segalanya. Aku gembira dalam masa yang sama. Terima kasih Tuhan.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...