Baca dan fikir

Aku tertarik dengan catatan kembara oleh Muna 'Izzah Md Isa. Muna berpeluang untuk turut serta dalam sebuah seminar dan syarahan yang pastinya penuh dengan ilmu yang bermanfaat. Tidak dapat aku nyatakan secara jelas memandangkan aku hanya berpeluang membaca coretan-coretan di blog beliau. Secara jujur, aku juga mengetahui program tersebut melalui Rausyanfikir.com. Muna aku kenali dalam suatu program Uzlah Tazkiyah anjuran Angkatan Pemuda-pemudi Islam Pulau Pinang bulan Ramadhan 1430 H yang lalu.

Aku bersetuju dengan Muna bahawa bukan mudah untuk menghadam kandungan pemikiran Prof Syed Naguib al-Attas. Aku berpeluang sekali sahaja mengikuti usrah pemikiran yang diketuai oleh Ustaz Nizam Mahsyar. Secara kebetulan waktu itu aku dan Kak Wani menunggang motosikal dari USM ke tempat usrah beberapa minggu selepas Uzlah Tazkiyah. Waktu itu bercadang juga untuk menulis apa yang aku dapat di blog. Tapi, serius aku tidak berbuat sedemikian. Aku ulang : bukan mudah. Aku tambah : hendak seribu daya, betul tak. Hanya sebuah buku Prof Syed Naguib al-Attas pernah aku baca berjudul Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago.

Suatu kerugian, bak kata seorang senior, sekiranya orang yang faham dan sedar tidak mampu atau tidak tahu menyampaikan kebenaran kepada orang lain. Sebab itulah penulisan adalah antara medium terbaik kerana ia akan sentiasa dibaca berzaman-zaman (terutamanya penulisan karya agung). Walau apa pun, sebelum menulis, membaca adalah keutamaan supaya apa yang cuba diutarakan bukan sekadar omongan kosong atau mengikut hawa nafsu. Aku rasa aku perlu paksa diri dalam bab membaca ni.

Aku cuba mencabar diriku sendiri menerangkan maksud isme-isme seperti kapitalisme, sekularisme, hedonisme dan sebagainya kepada adik-adikku di rumah. Contoh mudah yang boleh aku lakukan ialah semasa menonton rancangan atau iklan di televisyen.

"Ha, kenapa iklan sabun ni mesti tunjuk gambar perempuan?"

"Kenapa iklan minuman ni mesti ada orang menari-nari?"

"Kenapa banyak drama menggunakan nama perempuan? Nur Kasih?"
Soalan ni adik aku tanya aku balik "Tu drama Aliff Firdaus guna nama lelaki?"

"Kakak ni suka tanya soalan, apalah"

Alhamdulillah, tak rugi aku mengambil subjek psikologi di universiti dulu. Mengupaya diri mengenal pasti dan menarik minat orang lain. Seperti yang aku beritahu dalam entriku yang lepas, aku sedang membaca Hari-hari di dalam hidupku tulisan Zainab al-Ghazali. Aku menjadi tukang cerita kepada adik-adik sebelum tidur. Ternyata adikku Ain (13 tahun) dan Akmar (11 tahun) menunujukkan minat. Sekarang buku tersebut dibaca pula oleh mereka. Sampai berebut-rebut. Akmar tak sudah-sudah menceritakan pada semua orang tentang Zainab al-Ghazali yang diseksa dengan teruk sekali.

"Kakak, Zainab al-Ghazali dirotan 500 kali"

Sekali lagi, aku bersetuju dengan Muna. Kita perlu menjadi pemudahcara. Apa yang pasti sebelum dan sesudah perbualan, perlu kita jelaskan dahulu ma'na-ma'na perkataan tertentu yang boleh dikategorikan sebagai sukar difahami. Jumpa lagi!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

2 ulasan:

Umar Abdul Aziz Bin Hj Mohd Affandi Bin Abdul Rahman berkata...

Helo,kenal x dengan blog mysterygraphy ? blog tu dah berpindah ke blog ini http://ohmisteri.blogspot.com ,ok silalah ke sane plak

Faridrashidi berkata...

Ke sini rupanya blog ni.

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...