Cerita cikgu

Farabi oh Farabi.


Salam, sekali-sekala berpeluang menaip di sini, mengubat kerinduan pada laman maya yang terusik dengan madah-madah ringan sendiri. Seronok menjenguk taman-taman indah sahabat-sahabat blogger yang lain, satu-persatu dibaca sepantas yang boleh.

Berbezanya ruang waktu yang ada semasa masih di kampus dan alam pekerjaan untuk aku isi dengan menjengah ruang maya. Aku gagahkan juga untuk menulis hari ini. Aku mulakan dengan cerita aku di sekolah.

Setiap pagi tugasku mengajar dan memperbetulkan bacaan Iqra' dan hafazan surah-surah yang ringkas anak-anak Tahun 2 hingga Tahun 5. Aini, Umairah, Maisarah, Izyan Mufid, Mustaqim, Hafiz, Farez, Ainina, Atirah, Akmal, Hadi, Izzuddin dan Safiy. Alhamdulillah, tidak sukar aku mengurus mereka selama 1 jam. Kagum dan senang hati sekali bersama mereka. Begitu mudah anak-anak ini menghafal dalam masa yang singkat. Insyaallah aku doakan mereka menjadi anak pintar soleh yang Islam perlukan. Bagus juga pihak pentadbiran sekolah mewajibkan semua guru terlibat dengan kelas sebegini walaupun sebenarnya aku hanyalah guru subjek Bahasa Melayu, Sains dan Kemahiran Hidup di sini.

Beratur menunggu giliran.

Sesudah itu, dari jam 8.30 sehingga 2.30 petang seperti sekolah-sekolah yang lain, sesi pembelajaran diteruskan. Anak-anak Tahap 1 akan berhenti untuk solat Zuhur pada jam 1.30 petang bergilir dengan Tahap 2 yang akan solat jam 2.00 petang. Perkara penting buat guru-guru ialah memantau anak-anak berwhudu' dan solat dengan cara yang betul. Nama pun budak, banyaklah ragam mereka.

Siapakah guru?

Ada yang kata selagi kita belum terlibat dengan dunia pendidikan ni, kita tidak boleh mempersoalkan tindakan guru-guru. Mungkin ya mungkin tidak. Pengalaman aku mungkin terlalu sedikit untuk membicarakan persoalan ini secara menyeluruh. Tetapi aku terasa jugalah kalau ada yang tidak mahu menghargai guru. Sedangkan sesiapapun kita ini, guru itulah membolehkan kita menjadi ORANG! selain ibu dan bapa kita sendiri. Bukan mudah untuk menubuhkan sebuah sekolah yang bebas dari sekularisme dan juga isme-isme yang boleh memusnahkan hasrat dan impian untuk melahirkan manusia pintar soleh. Mendidik dan mengajar. Pekerjaan dua dalam satu yang hanya dapat dirasai oleh seseorang yang bergelar guru.

Nota : Rindu betul dengan cikgu-cikgu zaman sekolah. Terima kasih buat guru-guru di Tadika Islam Taman Sentosa (Raub), Maahad Tarbiyah Luqmanul Hakim (Raub), SK Tuanku Fatimah (Bentong), SK Karak (Karak), SMK Seri Bentong (Karak) dan MRSM Pasir Salak (Perak). Tidak lupa pensyarah di Kolej Matrikulasi Melaka (Melaka) dan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang (Pusat Pengajian Sains Kimia). Errr, macam ucapan rayalah!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

2 ulasan:

Faridrashidi.Com berkata...

Salam,

Bila kita menjauh dari mereka, baru kita sedar betapa besarnya pengorbanan mereka.

Syahidah Mahassan berkata...

tepat sekali, apa yang sering dipesan atau ditegur dianggap kritikan, sedangkan kritikan yang diberi sangat membina dan berbekas, barulah jadi kita yang sekarang, guru penyuluh hidup, guru itu jutawan ilmu,,,,

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...