Surat 1 Malaysia

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Cikgu, cikgu jadi masuk pertandingan tu?" Saya bertanya kepada Cikgu Hafliza.

"Semalaman saya tak tidur siapkan surat tu," balasnya. Tak sangka juga saya cikgu Geografi di sekolah saya juga mempunyai minat menulis.

Isunya yang perlu dibincangkan dalam surat tersebut bagi kategori dewasa ialah isu pencerobohan di Lahad Datu. Sukar juga mencari bahan sokongan untuk dijadikan isi penulisan. Peserta perlu menulis surat kepada Perdana Menteri Malaysia dan mengupas isu ini dari sudut pandang seorang rakyat.

Saya menerima sijil penyertaan agak lewat berbanding Cikgu Hafliza. Walaupun nama saya tidak tersenarai sebagai pemenang, saya tetap gembira. Hadiah pertama dimenangi oleh Anis Amelia dari Lumut, Perak. Boleh dikatakan inilah pertandingan menulis yang pertama buat saya. Apa pun, saya tetap perlu terus berusaha untuk mahir dalam bidang ini.

Saya harap dapat terus belajar lebih banyak skil menulis dengan baik. Tentulah tidak rugi, anggap sahaja ia sebagai latihan menulis. Cadangnya mahu muat naik gambar, tetapi tidak berjaya. Penggunaan telefon bimbit memang terbatas. Masalah juga ya tiada komputer riba ni. Bersyukurlah boleh juga menaip Syahidah!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Untung banyak

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



25 Disember 2013

Ya, hari ini sambutan Hari Krismas bagi yang beragama Kristian. "Syida, nanti ke Shah Alam ya," kata Ustazah Aminah. "Saya dah daftar nama Syida untuk program Dr Azizan di SACC Mall," tambahnya lagi. Berkerut juga dahi saya dibuatnya. "Jangan risau, percuma. Saya dah daftar nama Ustazah Syera sekali." Lega mendengarnya. Percuma, mestilah saya mahu pergi. Setiap tiga orang yang mendaftar, tiada cas dikenakan.

Ramai peserta yang hadir. Sehinggakan penuh dewan. Ada yang duduk di atas lantai dan berdiri sahaja di tepi dinding dewan. Program Dr Azizan sebenarnya tentang bisnes. Jadi, kenapa saya pergi? Begini, pada saya memang perlu saya hadiri pelbagai program berbentuk motivasi sebegini. Berbaloilah, dapat sebuah buku percuma karya beliau.

"Apabila mahu buat, buat sampai habis," kata seorang protege Dr Azizan melalui video yang ditayangkan.

Saya bukanlah mahu mengangkat program beliau berlebih-lebihan. Ubah suai sahaja dapatan ilmu yang diperoleh. "Nak buat apa-apa, mesti ada ilmu," kata Dr Azizan. Ya, saya cukup bersetuju betapa perlunya kita berlimu. Barulah untung banyak. Untung duit sahaja pun tidak menjadi juga. "Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita dapat," nasihat beliau lagi.

Dr Azizan juga mengingatkan betapa sebagai Muslim sangat penting kita tidak mengabaikan tugas hakiki. Duit yang banyak perlu diagihkan. Berkongsi dengan orang yang memerlukan. Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk memperoleh keberkatan. "Saya sendiri menghantar anak saya ke sekolah tahfiz," beritahu Dr Azizan dengan penuh yakin.

Semoga Allah bantu kita semua meningkatkan hasil ekonomi dan dapat pula beroleh reda Allah. Insya-Allah.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

PBS

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Syaheerah, awak dah habis Mustawa'?" Saya memanggilnya dari luar bilik guru di tingkat 1.

"Dah, cikgu. Ada apa cikgu?" Tanya Syaheerah sambil mendongak ke atas. Pelajar-pelajar lain duduk di luar surau sambil menunggu giliran peperiksaan hafazan.

"Boleh naik sekejap. Cikgu nak minta tolong," balas saya.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Kurikulumnya masih menggunakan standard sekolah menengah yang biasa. Cuma, cara dokumentasinya berbeza dengan yang biasa. Tahun 2014, menjadi penentu keberkesanan sistem ini memandangkan kohort pertama PBS akan diuji tahap pencapaian masing-masing.

Evidens iaitu hasil kerja pelajar yang telah saya semak, perlu dimasukkan ke dalam fail. "Syaheerah, awak tolong cikgu masukkan kertas-kertas ini ke dalam fail ya," minta saya kepada Syaheerah. Hanani yang ada di sebelahnya turut mendengar. Mereka berdua mengangguk tanda faham. "Cikgu mahu merekodkan data." Beritahu saya kepada mereka.

Hanani dan Syaheerah bersungguh-sungguh membantu. Sebagai guru kelas, saya perlu menyediakan fail yang lengkap untuk pelajar saya. Setiap maklumat diri perlu ditulis pada muka hadapan fail dan pada sisi fail. Ini memudahkan pencarian fail individu apabila disusun di rak khas yang disediakan.

Jenuh juga memikirkan apa akan jadi nanti. Saya bukanlah mahu merungut dan berfikiran negatif di sini. Cuma, satu perkara saya pinta. Harap pihak berkaitan mendengar keluhan golongan pelaksana iaitu guru-guru supaya mengkaji semula keberkesanan sistem ini. Semakin hebat perbincangan topik ini di laman Facebook oleh ibu bapa dan guru-guru. Melalui laman seperti Twitter pula saya lihat pelajar-pelajar kohort ini juga meluahkan rasa hati secara terbuka.

Harap-harap ada penambahbaikan terutamanya pada SPPBS iaitu sistem atas talian yang menjadi tapak data pelajar direkodkan. Sebagai guru subjek Matematik, setiap evidens yang berjaya dicapai perlu direkodkan di dalam sistem atas talian tersebut. Semoga Allah bantu kami, para guru demi memanusiakan anak bangsa yang seharusnya menjadi perkara utama dalam institusi pendidikan ini. Insya-Allah.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Ujian dan hikmah

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



24 Disember 2013

Saya dan Khadijah menziarahi ibu saudara di Hospital Kuala Lumpur. Keadaannya masih lemah usai pembedahan pembuangan tumor di usus sehari sebelumnya. Ketika itu, sudah beberapa hari tidak makan kerana perlu berpuasa. Hanya mampu membuka dan menutup matanya melihat kehadiran saya. Saya tahu mama (panggilan buatnya) tabah orangnya. Saya dapat kesan air matanya mengalir perlahan sewaktu saya menghampiri.

Kak Ani (anaknya) dan abah (suaminya) setia di sisi. Abah nampak tenang duduk di tepi katil. Kak Ani sibuk menukar kain lembap di dahi. Badan mama masih panas. Sudah lebih 24 jam pembedahan dilakukan. Suhu bandannya tidak turun-turun. Hujan renyai-renyai di luar. Wad 11 bangunan kecemasan ini tidak sunyi kerana ramai pengunjung mengambil kesempatan musim cuti sekolah untuk menziarah.

Sakit kita tidak minta. Allah beri tanda peringatan untuk kita. Islam selalu menggalakkan kita menziarahi teman yang sakit. Hikmah di sebaliknya cuma Allah yang tahu. "Syida, wajah pak cik tu sama macam ayah Syida." Khadijah memberitahu. Saya yang leka membalas WhatsApp menoleh ke kiri. Abuya, adik kembar ayah saya sedang duduk di ruang tepi masjid sedang menyarung seliparnya.

"Kak Ngah, patut macam kenal tadi," kata Abuya mengukir senyum. Sempat juga saya bertemu dengan Abuya dan Mak Cik Nab sekeluarga yang datang dari Tanah Merah di masjid. "Kami dah datang semalam. Semalam mama duduk wad 14." Abuya memberitahu.

"Abuya nak balik Kelantan hari ni?" Saya bertanya. Anaknya Aqilah di sisi sekadar mendengar perbualan kami.

"Itulah, mama dah tukar wad kan," balas Abuya sambil matanya lurus memandang saya.

"Haah, singgah masjid nak solat Asar."

"Pergilah cepat, dah nak gelap ni. Nanti lewat Asar," Mak Cik Nab mengingatkan. Usai bersalaman, saya dan Khadijah bersegera masuk ke dalam ruang masjid.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Malu biar bertempat

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Syida, awak pakai tudung macam ni, awak yakinkah boleh istiqamah." Seorang kakak senior cuba menduga.

Asing sangatkah dengan berpakaian begini. Malu biar bertempat. Andai benar seorang perempuan itu punya sifat malu, sungguh-sungguh dia akan menjaga dirinya. Masih ramai yang tidak faham konsep menutup aurat yang sebenar. Saya sama sekali tidak menyokong fesyen hijabista. Maaf, atas alasan apa sekali pun. Hijabista yang keterlaluan melanggar etika menutup aurat yang sebenar.

"Maaf ya Cik Syida. Di sekolah ini, guru wajib bertudung labuh," kata seorang penemuduga. Tambahnya lagi, "Andai kita mahu pelajar menjadi baik, gurulah yang perlu menjadi contoh." Tahun 2010, sekolah tempat saya mengajar di Klang sedikit sebanyak mengubah penampilan saya. Saya selalu terkenang-kenang guru senior di sana yang selalu mengingatkan saya tentang memelihara aurat.

"Hari ini kita akan membedah sebuah buku berjudul Jutawan Akhirat." Inilah topik usrah guru yang paling saya ingat. Walaupun saya tidak lagi bekerja di Klang, pesanan dan nasihat staf di sana selalu menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja keras mendidik anak bangsa.

Wanita bukan bahan eksploitasi. Membiarkan dirinya dieksploitasi secara sengaja atau pun tanpa sedar perbuatannya mendatangkan keuntungan kepada pihak lain. Jelas sekali manual kehidupan kita iaitu al-Quran menggariskan panduan berguna supaya wanita terpelihara. Hairan juga ya, wanita Islam berfesyen mengalahkan Barat.

Saya bukanlah hendak menghukum sesiapa. Soalnya di sini, ilmu semakin mudah diperoleh. Belajarlah untuk menapis budaya luar. Tidak perlu terikut-ikut fesyen yang bertentangan dengan konsep menutup aurat yang sebenar. Perkataan busana muslimah yang digunakan pada hari ini begitu mengelirukan.

Nama sahaja muslimah, tetapi aurat masih terbuka!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/


Rezeki dan nikah

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Syida, bila nak kirim kad," soal seorang sahabat.

"Tak mungkinlah awak tak pernah bercinta," tegur yang lain pula.

Mac 2014, umur saya genap 27 tahun. Saya sering ditanya dengan soalan cepu emas ini sejak saya tamat belajar dari Universiti Sains Malaysia lagi. Tidak dinafikan ada rakan sekelas yang sudah beranak dua. Setiap musim cuti sekolah tentulah berderet jemputan yang saya terima melalui ruang Facebook terutamanya.

"Syida, nanti datang ya kenduri akak," jemput Kak Wani sungguh-sungguh.

Bukanlah saya ingin mengatakan wanita sekarang tidak mengapa andai belum berkahwin. Ada pula yang memandang sinis nanti. Wanita bujang ramai yang berpendidikan dan berkerjaya. Ada kereta dan rumah sendiri. Banyak faktor yang menyebabkan perkahwinan tidak menjadi pilhan termasuklah kos hidup yang kian meningkat.

"Sebelum GST dimulakan, bernikah cepat," kata seorang pakar ekonomi tempatan.

"Aku tak tahulah sampai bila aku bertahan. Aku perlu tambah duit untuk harga petrol," kata Hidaya sahabat saya di Bangi. Juga belum bernikah.

Apa pun alasannya, ingat-ingatlah bukankah semua itu dikatakan rezeki. Rezeki bermakna hanya Allah yang tahu mengapa. Allah lebih tahu tahap kesediaan seseorang. Setelah berusaha, perlulah mohon doa kepada Allah. Saya bersyukur saya masih berpeluang untuk memperbaiki diri saya walaupun masih solo sehingga kini.

"Cikgu, betul ke ni," usik pelajar-pelajar. Tahun 2013 sahaja empat orang guru perempuan di sekolah saya bernikah. Semalam baru sahaja rakan serumah saya, Ustazah Jazaiyah bernikah di Bangi. Memang berterusanlah saya menjadi bahan usikan.

"Giliran Cikgu Syida lepas ni, " kata Ustazah Khadijah yang berkahwin pada 2 November yang lalu. Saya mengukir senyum. Alhamdulillah, saya senang melihat sahabat-sahabat ini gembira. Tidak perlulah cemburu buta andai solat Subuh pun belum mampu saya tunaikan dengan baik. Lagilah mahu menjadi isteri orang.

Renung-renungkan ya kawan-kawan yang belum bernikah. ♥

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Kita layak diuji

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



'Mama masuk wad lagi,' beritahu Kak Nisa melalui ruang sembang WhatsApp. 'Ani kata kanser tahap 4. Mek belum tahu hal ni.' Kakak sulung ayah saya, dipanggil mama. Usai mama dan suaminya, pulang dari Tanah Suci, saya lihat mereka berdua begitu tenang dan ceria. Ujian Allah itu bila-bila masa. Ada juga mama dimasukkan ke hospital sebelum itu.

Tidak pula anak-anak mama beritahu apa penyakit mama sebelum ni. "Bagusnya mak cik awak," kata sahabat saya apabila saya menunjukkan gambar mama sewaktu mahu dibawa ke bilik CT Scan. Melihat mama tetap bertudung di atas katil di hospital, hati ini tersentuh. Alhamdulillah, aurat itu tetap perlu dipelihara walau apa keadaan pun. Pegangan syariat itu tidak boleh dipandang sepi. Allah uji dengan kepayahan, sejauh mana kita akan berpegang teguh dengan pendirian.

Isnin ini mama akan melalui satu pembedahan. Kansernya mula merebak ka paru-paru dan hati. Semoga Allah permudahkan urusan. Saya berharap ahli keluarga mama bersabar dan tenang. 'Mohon doakan mama semua,' pinta anak-anak mama melalui WhatsApp. Ayah saya anak kedua daripada tujuh beradik. Masing-masing meluangkan masa menziarahi mama di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Kali terakhir keluarga besar ini berkumpul di rumah mama di Sri Gombak pada hari mama pulang dari Tanah Suci. Pantas masa berlalu. Tanpa sedar usia kita terus meningkat. Apa sahajalah yang kita mampu lakukan dengan harta dan wang yang ada apabila kita sakit. Wang tidak dapat membeli sihat. Wang juga tidak mampu membeli usia muda. Orang yang tidak sakit pula Allah uji dengan perkara lain.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Menggegam kejayaan

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Alhamdulillah, 92 peratus pelajar Tingkatan 3 mendapat A bagi subjek Matematik. Pertama kali mengajar kelas peperiksaan, mencabar juga.

'Terima kasih cikgu,' mesej seorang pelajar banin melalui WhatsApp.

Bukanlah ucapan itu yang saya pinta. Saya tahu pelajar-pelajar saya memang telah berusaha sehabis baik. Apa pun, perjalanan menuntut ilmu itu masih jauh. Banyak perkara yang perlu diteroka dan difahami.

"Cikgu, saya mahu menjadi doktor. Saya mahu ambil sains tulen," kata seorang pelajar banat.

"Kenapa?" Sengaja saya menguji.

"Saya minat, cikgu," balasnya pendek.

"Jawapan tu tak cukup jelas." Walaupun saya tidak mengambil bidang perubatan, saya tidak mahu pelajar-pelajar saya tergesa-gesa membuat keputusan tanpa matlamat yang jelas. Saya tahu bagaimana sukarnya sahabat saya yang telah pun berada dalam bidang ini. Minat tanpa kesungguhan tidak akan mendatangkan hasil yang memuaskan. Sekadar minat tetapi tiada usaha untuk membentuk minat lagilah sia-sia.

Belum tentu keputusan 9 A itu melayakkan diri untuk menjadi pelajar sains tulen lalu boleh mendorong diri terus menjadi seorang doktor. Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia tidak sama pendekatannya. Sebab itulah, pentingnya kita tahu tujuan hidup. Kerjaya hebat bukanlah matlamat hidup kita sebagai Muslim. Sebab itulah, perlunya kesedaran beragama.

Menjadikan bilangan A dan kerjaya sebagai sasaran utama hanya membuatkan kita kecewa di tengah jalan. Perlunya hidup ini kita mengenal siapa Pencipta. Mahu mencapai redha Allah perjalanannya tentulah berliku. Tak semudah mengatakan saya minat. Ada sahaja pelajar aliran sains yang kecundang di tengah jalan.

Kita mahu pelajar berfikir dahulu sebelum membuat keputusan. Pentingnya sokongan ibu bapa dalam hal ini. Perlu juga pelajar bijak pandai ini mendalami bidang agama supaya kita ada tempat rujuk permasalahan kelak. Insya-Allah. Semoga semuanya berjaya.

 http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Ulasan Asas Blog

Teks : Syahidah Mahassan

"Wah, akak ada blog ya," kata seorang sahabat.

Sebenarnya saya bukanlah mula berblog pada tahun ini. Sejak saya mempunyai akaun Frienster dan Multiply lagi saya sudah berblog. Sekitar tahun 2006 semasa menuntut di Kolej Matrikulasi Melaka. Pernah juga menggunakan Wordpress dan yang paling lama Blogspot. Jadi, asas senggaraan blog saya memang sudah tahu. Semuanya agak berbeza apabila mengikuti Kelas Asas Blog dan Penulisan.

Saya dapati kebanyakan peserta kelas ialah suri rumah yang berhenti kerja dan mahu meningkatkan potensi diri melalui pembelajaran atas talian yang lebih mudah. Perkara ini mengubah persepsi awal saya sewaktu mula-mula mengikuti kelas. Tanpa saya sedari, saya dapat banyak info bagaimana menjana pendapatan dari rumah.

Saya menganggap tidak salah saya melabur wang bagi mempelajari skil dan teknik baru. Ilmu yang baik, apabila digunakan dengan cara yang betul, boleh menjadi asbab keupayaan kita untuk menjadi manusia hebat. Saya cukup terkesan dengan kesungguhan ibu-ibu dalam kelas yang saya sertai ini. Mereka bersungguh-sungguh mengatur kehidupan seharian semata-mata untuk menuntut ilmu.

Insya-Allah, saya akan jadikan ini pembakar semangat untuk saya memperbaiki dan menambah baik potensi diri. Apa yang menarik melalui kelas ini ialah guru akan memantau perjalanan kelas secara atas talian. Melalui medium ini, saya bebas melakukan tugasan saya pada bila-bila masa terluang. Asalkan saya ada sambungan Internet dan gajet di sisi.

Selama ini asyik berblog syok sendiri, lebih baiklah saya berblog dan memberi manfaat kepada pengunjung laman ini. Tanpa teknik yang betul, kita sendiri yang rugi. Maka, bergurulah untuk menjadi lebih baik. Asalkan tidak melanggar syariat Allah, saya dapat pula menyampaikan panduan berguna untuk orang lain.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Kembali ke sekolah!

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Cikgu!" Laung seorang pelajar lelaki dari arah surau sekolah. Tangannya melambai ke arah saya. Saya menoleh sambil mengukir senyum.

"Cikgu tidak kenal saya. Cikgu tidak mahu pandang pun," tegur Afiq sewaktu saya berada di hadapan dewan makan. Tidak mahu Afiq berkecil hati, saya melambai ke arahnya.

"Cikgu, sihat?" tanya Andi apabila bertemu di tangga. Saya menunjukkan tanda bagus sambil menyoal kembali, "Awak?" Senyum lebar Andi menandakan dia baik-baik sahaja.

Usai saya memasuki bilik guru, Nazihah dan pelajar perempuan yang lain menghampiri, "Cikgu, salam." Belum cukup seminit saya duduk di tempat kerja saya.

Sewaktu saya menaiki tangga ke tingkat satu, "Cikgu, Amirul mahu belajar Sains," tegur Faiz.

"Belajar? Awak kan ada kelas hafazan," saya menjawab. Hari ini 16 Disember 2013, sekolah kembali dibuka. Memandangkan pelajar perlu bersedia menghadapi peperiksaan hafazan yang dibuat sebelum sesi persekolahan 2014 bermula.

Ukhwah yang terbina ini selalu saya rindui. Terkenang-kenang apabila pulang bercuti ke kampung. Masakan tidak, pelajar-pelajar saya selalu buat saya ketawa. "Cikgu jangan marah ya," kata seorang pelajar. "Saya tidak buat lagi selepas ini," sungguh-sungguh berjanji. Hendak buat apa lagi, saya pun manusia. Ada masanya memang saya pun ketawa sekali.

Adakalanya, saya akan menerima surat kecil seakan-akan nota ditampal di meja saya. Selalunya kiriman mohon maaf. 'Cikgu, saya minta maaf sebab tidak menyiapkan kerja sekolah.' Nota berpelekat berwarna. Untung juga kadang-kadang lengkap dengan hadiah. Memang pandai mengambil hati.

Saya sangat berharap mereka semua menjadi insan berguna. Saya tidak terlalu mengharap mereka skor dalam subjek yang saya ajar. Apa yang penting, tahu membawa diri itu lebih baik. Bonuslah, andai mampu cemerlang akhlak dan pelajaran serentak.

Proses membangunkan masyarakat itu lebih sukar berbanding mengajar tajuk algebra dalam Matematik!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Agama hanya pada nama

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Koleksi peribadi/Carian Goggle


Sedikit sahaja yang mahu, ramai yang hanya pandai berkokok, tetapi tidak mahu mengais. Sekitar Pulau Pinang, pemandangan dari seberang. Sekadar hiasan.

25 februari 2011, sekitar jam 4 - 5 petang.

Terminal Bas Bentong dipenuhi dengan pengguna tegar pengangkutan awam. Bunyi bising kenderaan bersimpang-siur di bandar kecil ini. Bas berwarna merah yang tertulis Kuala Lumpur memasuki terminal. Pengguna mula membuat barisan. Saya mempercepatkan langkah menghampiri. Seorang nenek tua sibuk menghulur kertas-kertas kepada penumpang. Nenek itu duduk di hadapan sekali. Bas sudah penuh dengan pelajar-pelajar sekolah. Pulang bercuti barangkali.

Tempat duduk di sebelah nenek itu tadi masih kosong. Saya tiada pilihan. Perjalanan ke Kuala Lumpur dengan bas kadang-kadang mengambil masa 45 minit. Saya duduk sahaja di sebelahnya. "Adik, ambil ini," kata nenek ini dalam Bahasa Melayu yang tidak fasih sambil menghulur sekeping kertas. Saya menatap kertas berbahasa Inggeris itu. Berkerut dahi saya membaca tajuknya.

The content itself is about Christian. Saya tertanya-tanya selama ni memang semudah ini kertas-kertas sebegini boleh disebarkan. Andai umat Islam yang melakukan dakwah menyampaikan Islam, tentu lebih baik. Pandai pula saya mengata orang, apalah yang saya sendiri pernah sumbangkan untuk Islam. Kasihan sungguh. Orang lain yang lebih bersungguh-sungguh. Saya sekadar melihat sepintas lalu. Entah kenapa, terasa berat kepala memikirkannya.



Usai bas bergerak, saya mengeluarkan sebuah buku berjudul Islamic Civilisation dari beg sandang. Sukar juga rasanya andai orang tiada kefahaman membaca kertas tadi. Kenapalah apa yang ada di dalam fikiran ini tidak terluah. Bukankah saya sepatutnya berbual dengan nenek itu. Semuanya tersekat di kerongkong. Saya hanya mampu menghela nafas perlahan. Ya Allah, selemah ini sahajakah saya.

Walaupun mungkin agak tidak bertepatan untuk memberi kefahaman asas tentang Islam, buku berbahasa Inggeris itu awal-awalnya yang sempat saya baca berkisar tentang peranan aqal dalam tindakan manusia. Seterusnya kisah-kisah nabi menyeru kaum masing-masing ke arah kebaikan, seperti Nabi Nuh, Nabi Lut dan lain-lain. "Nenek, ambil ini," ucap saya sambil memandang lurus ke arah mukanya.

"Terima kasih," balasnya lalu menyimpannya di dalam beg. Sempat juga saya baca kertas yang diberikannya tadi. Ada informasi  tentang New Testament in Christian. Ternyata apa yang dibuat tu, kesungguhannya itu mengetuk fikiran saya. Walaupun tidak sepatutnya saya kagum dengan caranya. Bukan mudah andai dia perlu berulang-alik menaiki bas semata-mata untuk menyebarkan kertas itu. Perjalanan ke Kuala Lumpur ini terasa lebih panjang daripada biasa. Saya belajar sesuatu. Bila saya fikir mahu buat, sepatutnya saya lakukan sahaja. Selagi mana perkara itu tidak melanggar syariat, malah mendatangkan mafaat buat Islam. Semoga pertemuan ini membuka hati nenek itu untuk mengenali Islam.

Setibanya di Kuala Lumpur, saya menghayun langkah lebih laju ke stesen LRT. Laluan LRT Titiwangsa menuju ke Taman Melati. Tidak sabar untuk tiba ke destinasi.

Tiada bah

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Hujan kembali membasahi Karak. Agak lebat. Sehingga lewat malam, masih kedengaran saki baki titisan hujan. Saya kesejukan. Hari ini seperti hari-hari yang sebelumnya, saya tidak ke mana-mana. Menyelak lembaran akhbar sambil menonton televisyen. Keadaan banjir di daerah-daerah lain mula surut. Tidak mudah juga apabila ditimpa kesulitan yang sebegitu.

"Rumah cikgu banjir?" Soal pelajar saya di ruang sembang Facebook.

"Lebat hujan di Karak?" Tanya adik saya Marhamah yang berada di Kota Kinabalu.

"Syida boleh datang KL hari Selasa ni?" Aju teman serumah di Taman Tun Dr Ismail.

Ya, saya faham sahaja. Bukanlah niat mereka untuk menyibuk. Saya fikir rakyat Malaysia ini memang cukup prihatin sebenarnya. Kebetulan rumah orang tua saya tinggal sekarang di kawasan berbukit. Memang tidak terkena banjir. Namun, hujan sepanjang hari selama beberapa hari membuatkan saya duduk terperap sahajalah di dalam rumah.

Jemputan kahwin sahabat-sahabat tiada satu pun saya dapat penuhi. Umi tidak mungkin membenarkan saya memandu di dalam keadaan cuaca sebegini. Saya sendiri pun tidak yakin, apatah lagi umi. Bukan dekat. Di Kedah, di Pulau Pinang. Tidak perlu cerita tentang laluan ke utara, lebuh raya Karak itupun sudah cukup membimbangkan apabila hujan lebat.

Saya tidaklah begitu berani memandu. Cukup untuk menuju ke tempat yang penting sahaja. Umi dan abi meletakkan sepenuh kepercayaan. Walaupun pernah mengalami kemalangan kecil sewaktu mula-mula memandu dua tahun yang lepas. Alhamdulillah, dapat juga membantu mengambil dan menghantar adik-adik pulang ke asrama.

"Awak tolonglah apa yang patut," pesan along. "Along tiada di semenanjung, harapkan awaklah," minta along selalu.

Saya pun tidak tahu sampai bila saya mampu membantu. Boleh jadi, saya yang pergi dahulu.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Agama tidak diwarisi

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Suasana pagi masih dikepung kesejukan, saat hujan membasahi bumi setelah beberapa hari. Penghujung musim tengkujuh yang masih bersisa, tidak seperti yang saya lewati tahun-tahun sebelumnya. Pahang Barat turut terkena tempiasnya. Saya masih berteleku di atas sejadah. Selesai solat Subuh dan berdoa, saya mengambil al-Quran di atas rak buku. Surah al-Kahfi. Rutin setiap kali Jumaat. Saya mula belajar mengamalkan surah ini daripada pelajar-pelajar saya di sekolah.

Kelmarin saya menghantar abi, umi, adik saya Akmar dan Jannah ke Low-Cost Carrier Terminal di Sepang. Perjalanan ke Kota Kinabalu. Abang sulung saya Nizam, adik saya Mujahid dan Marhamah ada di sana. Sunyi pula tinggal di rumah, walhal apabila sepuluh adik-beradik berkumpul, bunyi bising mengalahkan orang di medan perang. Ada sahaja yang hendak digaduhkan. Betullah orang kata, yang jauh pasti dirindui. Mujur ada Khairul. Khairul adik saya yang keenam mengikuti pengajian di Institut Perguruan Pengkalan Chepa, Kelantan sedang bercuti. 

Malam tadi Khairul jatuh motor. Patutlah saya jumpa kain kasa berserakan di biliknya. Bau minyak gamat menusuk. Tidak pula saya bertanya. Saya mahu dia bercerita sendiri. Baru sekejap saya tinggalkan Khairul di rumah. Ada-ada sahaja yang berlaku. Bukannya lapan tahun umurnya. Lapan belas tahun. Apa pun, ada satu perkara tentang Khairul yang saya kagumi. Setiap kali azan di Masjid Karak berkumandang. Cepat-cepat dia bersiap menaiki motor ke masjid. Menuruti tingkah abi dan juga arwah datuk yang juga begitu.

Saya faham sahaja, iman tidak dapat diwarisi. Namun, arwah datuk saya yang pergi pada tahun 2007 yang lalu itulah, yang setiap kali Subuh akan mengejut anak dan cucu supaya bersegera ke masjid. Setiap kali kami sekeluarga berkumpul di rumah datuk terletak di Felda Sungai Koyan. Apabila tidak berjemaah di surau, kami berjemaah pula di ruang tamu di rumah. Ruang tamu rumah datuk memang luas. Cukup untuk semua.

Datuk saya yang kami panggil tok ayah telah pergi. Beliau telah laksanakan tugasnya. Orang kampung pasti kenal dengan dirinya. Tegas tetapi orangnya murah hati. Waktu kematiannya yang tidak sempat saya hadiri, kata umi ramai sungguh orang datang berziarah. Bukanlah saya hendak memuji lebih-lebih keluarga sendiri di laman ini. Sekadar berkongsi, hidup kita ini usah disangka lama lagi. Kita tidak pernah tahu solat terakhir kita yang mana satu. Saya tidaklah mengatakan saya ini bagus. Saya cuma mahu kita sama-sama berusaha menjadi lebih bagus. Bukan untuk saya pun. 

Untuk semua. Ya, semua!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Ulasan Menguak Tirai Itu

Teks : Nur Syahidah Wan Mahassan

Menguak tirai itu

Cerpen ini mengisahkan seorang ibu muda yang tak ketahuan sambil memegang bayi di perhentian bas merungut tidak disayangi oleh suami. Rupa-rupanya ibu muda ini isteri kedua yang cemburukan isteri yang pertama. Seorang pencuci tandas yang melihat kehadiran ibu muda ini mula menasihatinya dengan menceritakan kisah isteri Nabi Muhammad s.a.w. Baginda wafat di pangkuan isteri iaitu Saidatina Aishah. Cerpen ini  membawa saya mengingat-ingatkan kembali kisah agung ini. Kisah isteri nabi yang mulia. Sangat penting seorang wanita berusaha sehabisnya untuk meneladani isteri-isteri nabi yang bukan sahaja sabar, malah menghargai satu sama lain. Cerpen karya Puan Monalita Mansor ini tersiar di dalam majalah Tunas Cipta Ogos 2013.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Si Pemuda Tampan, Hijrah Kasih dan ulasan

Teks : Syahidah Mahassan

Saya tertarik untuk membaca cerpen karya Puan Monalita Mansor yang berjudul Si Pemuda Tampan. Tiga kali saya ulang, kerana cerpen tanpa dialog ini sarat dengan elemen mendidik. Diselitkan dengan cara tersendiri dari awal cerpen sehinggalah tamat. Betapa pentingnya kita fahami bahawa hidup di muka bumi hanyalah singgahan. Fikir-fikirkan apa sebenarnya yang boleh kita bawa andai nyawa tidak lagi dikandung badan.

Cerpen ini tidak meletakkan nama watak. Watak 'saya' yang digunakan mencari-cari sebenarnya saat kematian telah tiba, hanya doa dan amalan yang boleh membantunya. Sebab itulah surah Yasin yang dibaca membuatkan 'saya' begitu tenang. 'Saya' tidak dapat mengharapkan apa-apa daripada perempuan cantik andai perempuan itu tidak dapat mendoakannya.

Hijrah Kasih pula dimulakan dengan majlis akad nikah antara Hijrah dan Asweeta. Hijrah Kamarulzaman seorang mat rempit yang selalu menumpangkan motosikalnya untuk Asweeta. Sahabat baik ini diminta oleh nenek Asweeta untuk berkahwin secara tiba-tiba. Nenek Asweeta tentu bimbangkan cucunya yang seperti belangkas dengan anak teruna orang ke hulu ke hilir.

Realitinya, ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak-anak bergaul tanpa kawalan boleh mendatangkan fitnah. Sebab itu Islam mengajar kita supaya ada batas pergaulan dan ikhtilat yang perlu dijaga walaupun dikatakan teman tetapi mesra. Cerpen ini ditamatkan dengan kematian Hijrah dalam suatu kemalangan yang sebenarnya telah lama menganggap Asweeta lebih daripada seorang kawan.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Ceritakan pengalaman di universiti

Teks : Syahidah Mahassan

Anda mesti pernah mengikuti apa-apa persatuan, terlibat dengan program, minggu suai kenal, sukan, kegiatan luar kampus, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Sampaikan cerita anda kepada pelajar pada masa yang sesuai. Pelajar-pelajar ini sangat suka mengetahui pengalaman orang yang lebih dewasa. Cuma, tidak perlulah membuka pekung di dada, ceritakan perkara yang mendatangkan manfaat. Itu lebih baik melainkan anda bijak berbicara bagi mengelak sebarang kesalahfahaman pelajar.

Mereka tentu seronok mendapat guru yang banyak pengalaman. Pengalaman ini dapat memberi  motivasi dan perangsang. Selain itu, menimbulkan sifat ingin tahu pelajar. Secara tindak langsung kita mengajar mereka berfikir untuk menjadi lebih baik. Bukan mudah kita mendapatkan pelajar generasi gajet memberi tumpuan seratus peratus di dalam kelas.

Pada tahun 1998 dan 1999, saya pernah mewakili Sekolah Kebangsaan Karak dalam pertandingan menulis dan membaca tulisan Jawi. Apabila saya menceritakan kepada pelajar, mereka tertanya-tanya bagaimana pula cikgu Matematik dan Sains ini boleh tahu menulis Jawi. Cikgu di sekolah bukankah perlu bertugas sebagai pengawas peperiksaan dan boleh jadi subjek yang perlu diawasi ialah subjek Pengajian Islam. Pelajar lebih bersemangat apabila kita yang berada di hadapan mereka walhal kita tidak pun memberitahu mereka jawapan.

Lain pula kisahnya pada tahun 2000 sehingga 2002 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bentong. Saya selalu bercerita kepada pelajar bahawa guru subjek Bahasa Arab saya sangat tegas. Namun, saya sangat suka belajar dengan ustaz tersebut kerana bahasa tersebut adalah bahasa syurga. Kita perlu mendorong pelajar menyukai semua subjek yang kita pelajari kerana ada keberkatannya di situ. Generasi gajet yang kita kenal sekarang tidak suka sebenarnya dibanding-bandingkan. Jadi, pandai-pandailah memujuk mereka supaya suka menuntut ilmu dan tidak memilih-milih guru.

Semasa di tingkatan empat, saya memilih sains tulen. Saya maklumkan kepada pelajar menengah atas berdasarkan pengalaman saya sendiri bagaimana hendak fokus, teknik belajar dan sebagainya. Penting kita manfaatkan minat pelajar terhadap pengalaman kita supaya mereka tahu bagaimana untuk diaplikasikan sendiri. Subjek-subjek seperti Matematik Tambahan, Biologi, Fizik dan Kimia misalnya. Sampaikan sahaja tips sendiri, mana tahu ada pelajar yang boleh mengikuti cara kita.

Ceritakan semua kronologi, sewaktu di matrikulasi,di universiti dan pengalaman bekerja kita.

Awas, jangan sampai abaikan silibus pula!

Semangat senior!

Teks : Syahidah Mahassan

Assalamualaikum,

"Tidak sangka cikgu minat menulis," tegur anak muridku di ruang sembang Facebook.

Setelah saya intai blog rakan sekelas atas talian yang lain. Sebenarnya mereka lagi sibuk berbanding saya yang bujang ini. Aduhai, tanggungjawab mereka lebih besar termasuklah guru saya Puan Monalita. Tugas sebagai ibu dan isteri memang banyak. Ini bermakna saya tiada alasan untuk tidak mengemas kini blog. Asalkan ada kesungguhan, disiplin dan minat.

Saya mengenali Puan Monalita buat pertama kali di satu bengkel di Wangsa Melawati. Peserta-peserta bengkel memang ada yang sudah memiliki novel masing-masing di pasaran. Saya sempat berbual dengan beberapa orang peserta. Secara kebetulan, duduk bersebelahan dengan penulis yang sebaya dengan saya, jadi tidaklah segan untuk berbual.

Masa bengkel yang agak terhad, jadi tidaklah dapat untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Mujur ada Facebook, dapatlah juga saya cari mereka. Mahu dapatkan semangat menulis ini, saya perlu lihat status-status terkini mereka di Facebook dan blog mereka. Barulah ada idea. Baiklah, setakat ini dahulu ya.

Jumpa lagi!

Guru muda mesti bermotivasi

Teks : Syahidah Mahassan

Sebagai seorang guru, saya perlu sentiasa belajar, belajar dan belajar. Jadi, saya juga berharap anda membuat pekara yang sama. Selain menambah baik ilmu subjek yang kita ketahui, penting juga untuk kita memperbanyak ilmu mendidik. Pengalaman saya sendiri, saya selalu mendapatkan buku-buku yang banyak di pasaran lalu saya ubah suaikan mengikut tempat saya mengajar. Percaya atau tidak, buku-buku tips mendidik anak juga boleh dibaca oleh guru memandangkan kita berada dalam suasana mendidik.

Tidak rugi, walaupun anda masih bujang seperti saya. Insya-Allah, ada gunanya nanti dengan ilmu teori yang kita baca itu. Sebenarnya kita telah lama berpengalaman mendidik. Seorang kakak atau abang pasti berpengalaman membantu mendidik adik-adik di rumah. Saya berpengalaman mengajar adik-adik menulis, mengaji, mengira dan membaca memandangkan saya punya adik-beradik yang ramai iaitu seramai sepuluh orang. Sebagai anak yang kedua dalam keluarga, tentulah ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu dan ayah saya.

Bagaimana dengan seorang guru yang tiada adik-beradik. Ya, bukankah anda juga belajar mendidik diri sendiri. Jadi, tiada masalah kerana semua orang ada pengalaman mendidik. Terus memotivasikan diri dengan bahan-bahan yang positif akan mendorong kita lebih bersemangat untuk hadir ke sekolah setiap hari. Walaupun bermacam-macam karenah pelajar, ibu bapa, rakan sekerja dan majikan yang perlu dihadapi. Tenangkan fikiran, ingat semula bahawa kita punya tugas besar dalam membangunkan masyarakat.

Ya, tugas membangunkan masyarakat!

Ibu bapa sekarang kebanyakan bekerja atas tuntutan hidup dan kos sara hidup yang meningkat. Ibu bapa sangat mengharapkan guru-guru dapat membantu anak-anak mereka. Jadi, kepercayaan ibu bapa terhadap kita sebagai guru perlu kita ambil sebagai motivasi untuk berjaya.

Selamat mencuba!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Harapan Januari

Teks : Syahidah Mahassan

Firdaus tenggelam dalam laut khusyuk. Berakhirnya solat Isyak, juraian air mata menuruni pipi sebaik tangan ditadah. "Ya Allah, aku hamba-Mu yang lemah. Kau ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku. Kau tempatkankah ibu bapaku di tempat-tempat orang yang soleh. Aku telah mensia-siakan orang tuaku ketika mereka masih hidup, ya Allah. Aku angkuh, aku menganggap diriku hebat, kau telah tarik mereka satu per satu. Kini, aku benar-benar ingin bertaubat, ya Allah." Teresak-esak Firdaus menangis di tikar sejadah.

Usai berdoa, Firdaus duduk menyandar di dinding bilik. Matanya meneroka ke sekeliling. Naskhah biru muda di atas rak yang tidak disusun dengan kemas itu dipandang. Hatinya terpanggil untuk bangun. Naskhah itu diambil di antara celah-celah buku agama milik ayahnya. Al-Quran berkulit biru itu agak berhabuk, dibersihkan lalu dibuka. Setelah dirinya makin tenang, Firdaus membaca surah Yasin dengan khusyuk. Firdaus sedaya upaya menghabiskan lapan puluh tiga ayat surah tersebut. Selesai sahaja bacaannya, Arif menjengah di muka pintu.

"Firdaus, mari makan," ajak Arif.

Firdaus menggeleng perlahan. "Saya tiada selera. Abang makanlah." Lemah suaranya.

Arif melangkah masuk lalu duduk di sebelah adiknya. "Firdaus, sudah lama adik berkurung di dalam bilik. Janganlah begini, kesihatan perlu dijaga," nasihat Arif lembut.

"Walid dan umi sudah pergi. Seorang demi seorang tinggalkan saya," luah Firdaus sebak.

"Abang kan masih ada," pujuk Arif.

Redup mata Firdaus memandang abangnya. "Seminggu sahaja lagi, Firdaus akan masuk Tingkatan 5. Firdaus tiada hati hendak belajar," bersungguh-sungguh Firdaus mengucapkannya. Arif terkedu seketika. Wajahnya nampak resah. Firdaus sedar akan perubahan pada wajah abangnya itu. "Apa abang hendak buat selepas ni?" Serak suara Firdaus bertanya.

Arif menggeleng perlahan. "Abang akan bekerja, tapi..." Terdengar Arif mengeluh sebelum dia menyambung kata. "Abang tetap akan meneruskan pengajian. Tinggal semester akhir," beritahu Arif.

Firdaus memandang Arif dengan segaris senyuman. Arif menarik nafasnya perlahan. Tangan Firdaus dipegang. "Sabarlah. Ada hikmah semua ini. Kita mesti reda. Doa banyak-banyak," kata Arif. Jelas begitu tinggi harapan pada nada suaranya.

Firdaus menarik nafasnya dalam-dalam. Air mata yang menitis disapu dengan jari. Tidak berhenti membasahi pipinya. Arif kehilangan kata-kata. Bahu adiknya diusap lembut. Firdaus memejamkan matanya seketika, bagaikan mengumpul semangat. Nafasnya dihela perlahan.

"Insya-Allah, abang. Kita sama-sama mendoakan," Firdaus bersuara semula.

*****

Balqis yang berjalan di sebelah Nazihah sesekali mengerling pada sahabatnya. Comel pula dia melihat wajah Nazihah di sebalik tudung labuh itu. "Tiada pun. Saya mahu bayar yuran," rungut Balqis. Agak lama mereka menunggu tetapi bayang Cikgu Zila pun mereka tidak nampak.

Nazihah dan Balqis sudah menghadap bilik guru. Pada waktu mereka hampir berputus asa, Nazihah terpandang Cikgu Zila yang seakan-akan sedang berbincang sesuatu yang penting dengan pengetua di pejabat. Lengan Balqis dicuit.

"Balqis, mari kita pergi ke sana," ajak Nazihah.

"Mana?"

"Itu, di dalam pejabat," tunjuk Nazihah. Langkah diatur berhati-hati. Nazihah dan Balqis merapatkan telinga pada pintu pejabat.

"Cikgu Zila, saya setuju dengan cadangan itu," kata pengetua sambil mengangguk perlahan. Katanya lagi, "Saya mahu Firdaus berjumpa dengan saya terlebih dahulu."

Nazihah dan Balqis mengerutkan dahi. Membatu di sebalik pintu. Cikgu Zila berdehem sedikit, Nazihah dan Balqis mengundur sedikit ke belakang. "Awak berdua ni mengintip saya dan pengetua, ya," sindir Cikgu Zila. Cikgu Zila kelihatan anggun bertudung labuh hijau pucuk pisang. Walaupun masih baru bertugas di sini, dia sangat rapat dengan pelajar-pelajarnya.

"Kami kebetulan sahaja lalu di sini, cikgu," kata Balqis. Cikgu Zila tergelak melihat Balqis yang sudah menggigit bibirnya, pasti takut dimarah.

"Kami kan pengawas berkaliber, mesti memantau cikgu," gurau Nazihah.

Cikgu Zila mengukir senyum sambil berkata, "Panggilkan Firdaus, ya. Katakan pengetua ingin berjumpa dengannya di pejabat."

"Baik, cikgu. Kami menurut perintah." Balqis dan Nazihah menjawab serentak.

*****

Jam dua petang, Nazihah dan Balqis sudah pun berada di dalam kelas 5 Asim. "Nazihah, awak rasa kenapa ya pengetua panggil Firdaus?" soal Balqis setelah duduk di kerusinya. Nazihah mengangkat kening. "Cikgu Zila tidak pula memberitahu kita tadi," kata Balqis.

"Sebenarnya, aku ada terdengar Izzat dan Naseem berbual sebelum waktu Fizik tadi," kata Nazihah sambil duduk bersebelahan Balqis. "Kata Naseem, kapal terbang yang dinaiki ayah dan ibu Firdaus gagal dikawal dengan baik semasa dalam perjalanan ke Filipina," tambah Nazihah lagi.

"Kasihannya. Jadi dia tinggal dengan siapa sekarang?" tanya Umaimah yang tiba-tiba muncul dari belakang. Nazihah menggeleng. "Patutlah aku nampak dia sedih sahaja," kata Umaimah menghampiri mereka. Syaheerah, Anna, Nadia dan Dalili yang ada di dalam kelas turut mendekati.

"Aku rasa baik kita minta Zuhdi dan Muhib buat kutipan derma kilat," cadang Balqis sungguh-sungguh. Pelbagai perasaan menyelubungi hati mereka. Sedih bercampur simpati. Balqis, penolong ketua pengawas tidak pernah kekeringan idea. Dia sentiasa mahu membantu sahabat yang dalam kesusahan. Pelajar-pelajar lain mengangguk mendengar cadangan Balqis.

Balqis mencuit lengan Nazihah sambil berkata, "Cepatlah beritahu Firdaus. Nanti Cikgu Zila marahkan kita." Nazihah mengangguk perlahan. Sempat lagi dia mengerling pada Firdaus yang ada di hadapan. Pelajar-pelajar lelaki yang lain masing-masing membuat kerja sendiri. Lagi 15 minit kelas sesi petang akan bermula.

*****

Firdaus menghampiri bilik pengetua. Tangannya diletakkan di muka pintu. Hatinya tertanya-tanya sebab pengetua memanggilnya. Kesalahan apa yang dilakukan. Pengawas pula yang memberitahu. Pintu diketuk.

"Masuk!" Pengetua bersuara dari dalam. Berdebar-debar, kakinya melangkah masuk. "Firdaus, duduk." Pengetua yang sedia menunggu memandang tepat ke arahnya. Pengetua mengambil sepucuk surat di sudut kiri mejanya sambil berkata, "Cikgu Zila dan saya baru berbincang tentang awak pada waktu rehat tadi."

Firdaus memandang pengetua dengan penuh tanda tanya. "Saya dapat tahu awak masih belum membayar duit buku kerja. Saya sangka abang awak sudah bekerja," kata pengetua. Pengetua yang sedikit botak di tengah menampakkan wajahnya seperti seorang profesor. Kaca mata yang dipakainya menambahkan lagi rupanya.

"Abang saya masih berbaki satu semester dalam bidang perubatan di Universiti Malaya, cikgu," jelas Firdaus.

"Baiklah. Begini Firdaus, awak dan abang tidak perlu bimbang dengan kos pembelajaran awak di sini. Yuran SPM pun tidak perlu bimbang," tambah pengetua lagi. Matanya tertumpu ke arah Firdaus. Sampul surat berwarna coklat muda di tangannya disuakan kepada Firdaus. "Ambil ini. Sedikit sumbangan daripada Kelab Guru Sekolah Aman Perdana untuk buat belanja."

Lama Firdaus terdiam sebelum berkata, "Terima kasih, cikgu." Bibirnya mengukir senyum. Firdaus sudah tidak terkata apa-apa.

Pengetua mengangguk perlahan. Wajah Firdaus dipandang. "Oh ya. Saya harap kejadian pada kem cuti sekolah yang lalu tidak berulang, Firdaus," kata pengetua memecah kesunyian. "Saya dapat tahu awak bergaduh dengan beberapa orang pelajar perempuan. Saya tidak mahu awak beremosi," nasihat pengetua sungguh-sungguh.

Firdaus menarik nafas panjang. Disangkanya pengetua tidak tahu hal itu. "Baik, cikgu. Saya   berjanji," kata Firdaus. Kepalanya menunduk. Pengetua memandang wajah pelajarnya itu. Pelajarnya yang bernama Firdaus itu diharap tabah mengharungi hidup yang mendatang. Bukan mudah hidup bagaikan layang-layang yang putus talinya. Cuma, keyakinan bahawa Allah sebaik-baik tempat bergantung adalah punca kejayaan yang sebenar.

*****

Nazihah merenung dinding di hadapannya. Dia mengelamun jauh. Fikirannya teringat dengan peristiwa di pejabat tadi.

"Nazihah, aku mahu cakap sesuatu dengan kau." Suara Firdaus mematikan lamunannya.

"Lupakan sahajalah. Kau memang suka bergurau," balas Nazihah sambil menundukkan kepala. Dia tidak mahu memanjangkan cerita.

"Aku tidak mahu main-main lagi. Aku mahu belajar. Aku harap kau, Balqis dan yang lain-lain pun begitu," kata Firdaus sambil matanya memandang ke arah lain.

"Insya-Allah. Kita semua usaha, doa." Nazihah membalas. Matanya mengecil ketika bibirnya mengurai kata sambil tersenyum.

"Aku pun sama," ujar Balqis selepas menjadi pendengar sejak tadi.

Tersentuh Nazihah dan Balqis apabila Cikgu Zila memaklumkan kini Firdaus hanya tinggal berdua dengan abangnya sejak nahas kapal terbang itu berlaku. Ya, Januari ini. Harapan kembali memberi semangat buat pelajar-pelajar 5 Asim yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Semoga semuanya Allah bantu supaya cemerlang dunia dan akhirat.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Panggilan nama bagi guru baru

Teks : Syahidah Mahassan

Pelajar selalu tertanya-tanya akan kemunculan guru baru di sekolah mereka. Pengalaman saya sendiri, kebiasaannya pada hari pertama di sekolah baru, kita tidak dapat menjangka sikap sebenar pelajar. Jadi, sebab itulah, perlunya kita bersedia dengan tips-tips tertentu menghadapi mereka. Antara tips yang saya pelajari semasa mengajar di sekolah rendah pada tahun 2010, hari pertama di dalam kelas merupakan gambaran awal pelajar terhadap kita. 

Terpulang kepada diri masing-masing bagaimana untuk menyesuaikan diri. Sebenarnya pada hari pertama di dalam kelas, seboleh-bolehnya dapatkan dahulu senarai nama penuh pelajar di dalam kelas tersebut. Kemungkinan kita ada empat kelas berbeza yang perlu dimasuki pada hari pertama. Sangat penting kita mempunyai keempat-empat senarai nama pelajar, kerana terdapat nama-nama pelajar yang seakan-akan sama antara satu sama lain yang boleh mengelirukan.

Lebih baik sekiranya anda dapat mengingati nama ayah mereka sekali. Di sekolah, lebih baik kita memanggil pelajar dengan nama penuh. 

Contohnya nama pelajar ini Harith Hafizi bin Ahmad. 

Elakkan hanya memanggil Fizi, Hafz atau gelaran-gelaran lain oleh rakan-rakannya. Panggillah Harith Hafizi. 

Ini penting bagi menunjukkan ketegasan dan mengalih tumpuan pelajar hanya terhadap sesi pembelajaran kita. Cara ini berkesan. Sebenarnya pelajar sangat suka nama mereka dipanggil. Ini menunjukkan kita peduli dan ambil tahu tentang dirinya. Sama ada dirinya sedang mengelamun, terlelap ataupun sedang berbual dengan rakan. Panggil sahaja,

Harith Hafizi!

Pasti, tumpuannya kembali ke arah kita dan fokus dengan sesi yang sedang kita lakukan di dalam kelas.

Ingat, generasi pelajar hari ini tidak sama dengan kita!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Teksi

Teks : Syahidah Mahassan

25 Februari, 3.10 petang

Aku turun ke perhentian bas agak lewat. Jadi, bas dah terlepas. Seorang pak cik India menghampiriku lalu mengajak aku menaiki teksinya. Aku buat-buat tengok dompet. Tidak pernah selama ni aku naik teksi ke Bentong. Fikir-fikir aku sudah lewat, aku naik sahaja teksi ni, pak cik ni kata RM 3 sahaja bayar nanti. Aku pun naiklah. Tiba sahaja di Sungai Dua, pak cik ni membelok ke kiri jalan. Aku mula menggelabah.

'Kenapa perlu masuk ke kiri?'

Pak cik ni sedar agaknya ketakutan aku tu, "Adik takut ke?"

Aku pun buat-buat tanya, "Uncle nak ambil orang ya?" sambil mataku memandang ke luar tingkap. Aku tidak berani menghadapkan mukaku ke arahnya.

"Haah, kan ada perhentian bas di depan tu," jawabnya sambil menunjukkan ke arah kiri jalan.

Melepasi sahaja Sungai Dua. Kami bertiga di dalam teksi. Sebelum tiba di simpang ke Bentong, tiba-tiba pak cik ni berkata,

"Adik tutup tingkap belakang, ada kawan beritahu kat Bentong nak hujan," sungguh-sungguh dia menyuruhku.

Alamak, di luar tidak gelap pun. Ketakutan aku terus bertambah, tetapi aku tutup juga tingkap kecuali tingkap sebelah kiri aku tidak ditutup habis.

Aku pun buat-buatlah tanya untuk mengurangkan kerisauan apabila kami menghampiri dengan kawasan kilang-kilang.

"Uncle tahu tak HH Chemical Industries di mana?"

Pak cik ni pun terangkanlah.....

Sampai sahaja di kawasan bandar Bentong, betul-betul hujan. Kemudian pak cik ni tidak pula terus ke stesen bas, dia membelok pula ke taman perumahan. Ada dua penumpang India. Aku cuba berlagak tenang.

Hujan masih lebat. Sampai sahaja di stesen bas, aku terus turun. Pak cik tu sangat baik, siap turunkan aku bawah bumbung. Jadi aku tidak terkena hujan. Kemudian bersungguh-sungguh dia beritahu aku mana bas yang aku perlu naik. Sebenarnya aku sudah pun tahu perlu naik bas mana.

'Nampak sangat pak cik ni perasan ketakutan aku`

Sebenarnya aku yang syak wasangka lebih. Menyesal.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Menjadi guru yang disayangi

Teks : Syahidah Mahassan

Assalamualaikum,

Ada rakan di laman Instagram bertanya kepada saya. Bagaimana persediaan menjadi seorang guru. Zaman sekarang tidak lagi sama seperti zaman kita sebelum ini. Juga terdapat perbezaan apabila kita bertugas di sekolah rendah dan di sekolah menengah, di bandar dan di luar bandar, di semenanjung dan di Sabah Sarawak, di sekolah kerajaan dan di sekolah swasta.

Pelajar sekarang ialah pelajar bijak pandai, serba tahu dan cepat belajar. Ini disebabkan pendedahan dunia teknologi dan persekitaran sekeliling yang sangat dekat dengan mereka. Kemudahan telefon bimbit dan Internet yang ada di rumah masing-masing membolehkan mereka berhubung dengan dunia luar, berbual sesama rakan sebaya, dan mengetahui isu-isu semasa termasuklah isu politik.

Sebab itulah, saya katakan mereka bijak dan pandai. Boleh jadi, mereka lebih tahu berbanding kita tentang sesuatu isu dan masalah semasa. Mereka juga cepat meluahkan rasa di hati di Facebook, Twitter, Instagram, Wechat dan banyak lagi laman sosial yang membolehkan mereka berbual melalu video dan ruang sembang sesama rakan.

Di sekolah tempat saya mengajar, pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit. Ini kerana pihak sekolah berpendapat telefon bimbit akan mengurangkan fokus pelajar terhadap pembelajaran. Ini memandangkan mereka perlu menyeimbangkan antara hafalan al-Quran dan juga akademik. Namun, ini kata kita sebagai guru. Pelajar sekolah menengah ini tidak beranggapan sebegitu. Mereka menganggap kita mengongkong dan menyekat kebebasan kita.

Kebiasaannya guru muda yang baru berijazah, juga memiliki dan mengetahui gajet yang sama seperti pelajar-pelajar ini. Ingin saya ingatkan, tidak salah kita bergaul rapat dengan pelajar. Ada had dan garis panduan yang perlu diambil kira walaupun kita menganggap mereka seperti adik kita sendiri. Mereka tetap anak muda, remaja yang sentiasa perlu dibantu.

Janganlah kerana terlalu syok bersahabat dengan pelajar sehinggakan kita menjerumuskan mereka di dalam dunia angan-angan yang berterusan. Tugas pendidik itu bukan setakat mengajar malah perlu pergi lebih jauh dalam menasihati dan memperbetulkan apa yang salah. Boleh juga dikatakan tugas kita seolah-olah sebagai ibu bapa atau pun abang dan kakak kepada pelajar ini di sekolah.

Tidak salah menyayangi, bukan menambah benci!

Bersabarlah dengan bebanan tugas. Insya-Allah, bergelar jutawan akhirat!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Hujan berlarutan

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



'Doakan kami, kawasan kampung berdekatan dinaiki air. Hujan tidak berhenti.'

Semalam, mesej pesanan ringkas itu kubaca perlahan-lahan. Bah di sesetengah kawasan di Kuantan memang menggusarkan kami sekeluarga di Bentong.

Mesej seterusnya dibaca lagi, 'Kami masih boleh belajar. Kuliah masih seperti biasa.'

Alhamdulillah. Adikku Juwairiah ataupun kami panggil Kak Nur yang menuntut di Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Tanjung Lumpur Kuantan sentiasa memaklumkan kepada kami situasi di sana.

Hari ini, Kak Nur mesej lagi. 'Cahaya matahari sudah kelihatan.'

Alhamdulillah.

Musibah. Ya, kita menganggap ia musibah!

Astaghfirullahalazim!

Benar, ia musibah. Memang benar.

Fikir-fikirkan semula hikmah apakah yang mahu Allah ingatkan dalam situasi ini. Setiap kejadian yang berlaku mesti ada sebab musabab yang kita jarang fikirkan.

Setiap hari, kami menonton berita di televisyen bagi mendapatkan cerita terkini. Moga mangsa banjir terus bersabar dan dipermudahkan urusan.

Wallahua'lam.

Siapa saya?

Teks : Syahidah Mahassan

Nur Syahidah nama diberi,
Lahir di Pahang tempat sendiri,
Mahu berjaya hidup berdikari.
Salah dan silap harap dimaafi.

Belajar sains hingga universiti,
Bukanlah niat bangga diri,
Asas ilmu perlu disantuni,
Hidup bermanfaat amalan diberkati.

Menjadi guru mahu berbakti,
Sayangkan anak bangsa sendiri,
Perlu sabar dan bermotivasi tinggi,
Barulah tenang dan suka hati.

Minat menulis, membaca dan berimaginasi,
Merangka isi, penuh menjiwai,
Harap bermanfaat segala isi,
Buat tauladan hidup insani.

Alhamdulillah,

Assalamualaikum semua,

Setelah sekian lama blog ini bersawang, Insya-Allah saya akan kembali aktif dengan azam baru. Saya sangat suka membaca sehinggakan apa yang dibaca mempengaruhi telahan saya tentang sesuatu perkara. Saya dapat rasakan kadang-kadang saya terlalu serius dan skema apabila bersembang dengan rakan-rakan.

Ya, mereka kata saya terlalu serius!

Tidak mengapa. Kini, saya tidak lagi ambil kisah pandangan orang terhadap saya. Kritikan perlu diambil sebagai cerminan untuk saya menjadi lebih baik. Pujian pula perlu saya hadapi dengan berhati-hati. 

Pujian boleh menjadi ujian!

Sebenarnya, saya seorang yang pemalu. Sebab itulah blog ini sunyi. Saya mahu menulis, tetapi sikap pemalu yang menebal menyebabkan saya tidak mahu blog ini diketahui oleh kawan-kawan.

Malu untuk perkara sia-sia, rugi!

Saya mahu menulis perkara yang baik-baik, untuk dibaca oleh semua. Jadi, saya tidak boleh malu untuk menulis.

Insya-Allah, matlamat saya mengikuti Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif kali ini ialah supaya saya dapat mempelajari dengan lebih baik cara untuk menulis dengan berkesan. Saya berharap dapat menjadi manusia yang bermanfaat untuk kebaikan orang lain. Moga tulisan yang baik menjadi asbab saya beroleh redha Allah.

Saya akhiri pengenalan serba ringkas ini dengan serangkap pantun.

Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama,
Hidup bukan untuk temberang,
Kelak Allah tanya semuanya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Key chain




http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Raub

Apa lagi tentang Raub kalau bukan emas, ya, di Raub masih ada emas, sama seperti kita belajar dalam buku teks zaman sekolah.

Cuma lokasi sebenar aku pun tak pasti. Di bandar Raub? Mungkin.

Emas, emas, emas negeriku milik orang~

Apa yang tinggal? Semuanya dikaut.

Konotasi

Finding!

and believe in yourself!
~KTokMuda~

Cabaran

Guru itu tugasnya bukan sekadar mengajar. Sungguh tugas mengajar itu mudah. Cabarannya sebagai muadib. Tugas memperbetulkan akhlak. 

Semoga Allah permudahkan dan pelihara pelajarku daripada mehnah dunia.

 =) Sayang mereka. Semuanya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Sabar

Salam,

Bukan mudah untuk aku pasakkan rasa sabar dalam diri. Selesai sahaja mesyuarat Unit Pembangunan Sahsiah Pelajar, banyak hal yang bermain dalam fikiran. Bukan mudah, dan aku tahu pelajar aku faham kenapa aku tak suka.

Ya, aku perlu sabar. Sambil berusaha untuk memperbaiki diri. Aku masih ingat pesan Ahli Lembaga Pengelola Sekolah semasa bertugas di Meru.

Kita mahu pelajar kita jadi baik, guru perlu jadi baik terlebih dahulu.

Dan, aku faham, begitu jugalah ibu bapa yang mahu anak anak menjadi baik. Ibu bapa juga perlu koreksi diri.

Aku sedih kerana masih tidak dapat menjadi contoh buat pelajar aku. =(. Sungguh.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Realiti

Salam,

Kita selalu fikir kita akan dapat apa yang kita mahu. Ya, bagus apabila kita mencatat, merancang, berusaha untuk mencapai cita-cita tersebut.

Realitinya, kita hamba-Nya, Hanya Dia sebaik-baik perancang.

Jadi, apabila apa yang kita mahu tidak tercapai, ingat balik, kita berusaha tadi asalnya demi apa, untuk siapa.

Astaghfirullahalazim.

Istighfar balik. Allah uji kita. Kita rebah. Ikhlaskah kita sebenarnya?

Akhir-akhir ni, perlu muhasabah diri, banyak perkara yang aku cakap aku tak buat. Aku tegur pelajar-pelajar aku, sebenarnya aku pun sama. =(

"Cikgu nak pindah ke?"

Hmmm, Insyaallah rezeki itu di mana mana, setakat ni, aku masih di sini. Pinggir TTDI. Ya.

Terima kasih sayang. Aku sayang kalian, aku anggap semua macam adik-adik aku sendiri. Aku tak dapat bayangkan aku pergi, mesti aku sedih. Cuti sekolah, aku rindu. Sungguh. Pelik. Tapi benar.

Terima kasih 3 Nafi'. Selalu ingatkan cikgu tanpa kalian sedar.

Farhad, Amir, Razin, Azhad, Adham, Farhan, Meor, Izzat, Arif, Daus, Afiq, Naseem, Muhib, Zuhdi, Nazihah, Syaheerah, Nadia, Umaimah, Anna, Dalili.

Taqdir, Allah hantar aku tempat baik baik, mengapa aku masih tidak bersyukur? =(

Sungguh, aku sedih sangat tentang suatu perkara. Aku perlu redha. Allah sebaik baik perancang. Insyaallah yang baik baik menanti di hadapan.

Aku tahu di sini bukan tempat terbaik untuk mengadu. Aku harap ada salah dalam entri aku, minta tegur. Ingat balik tugas kita apa di muka bumi ni.

Banyak lagi kerja aku sebagai guru yang tak aku laksanakan, itu belum cerita peranan aku sebagai anak, sebagai kakak, sebagai adik. Banyak sangat kekurangan. Kelemahan. =(

Alhamdulillah, semua yang ada di sekeliling selalu mengingatkan aku. Terima kasih Khadijah, Syahirah, K Amy, Minah, Milah, Farha. Sungguh, aku sedih.

Nak ubat hati. Ambil masa. Lama. Sabarlah.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

17 : 32

Bukan nisbah, tapi pesanan yang Allah telah beri. Untuk kau dan aku yang sedang membaca.

17 : 32

Insyaallah.

Sama-sama kita ingat.

The code, 17 : 32

#Astaghfirullahalazim 

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Catatan

Assalamualalaikum, catatan diari terbuka yang kian dilupakan, sekarang dah ada teknologi yang lebih mudah dan percuma, gajet pasti dimiliki oleh sesiapa pun.

Apa pun catatan diari terbuka tetap menjadi pilihan hati. Walau tidak lagi semeriah dulu.

=)

Apa pun, semoga semuanya baik baik sahaja.

Apa ya, Syawal. Ya, Syawal. 1434 H. Masa itu tidak dapat diundur walau sesaat. Ramadhan, kita rajin beribadah mencari pahala. Jadi, harap harap amal yang baik dapat kita teruskan pada bulan Syawal, Zulakaedah, Zulhijjah dan seterusnya. Contohnya membaca al-Quran, merenung makna pada tafsirnya. Bukankah ia perkara yang baik. Amalan baik itu tidak terhad kita sempitkan perbuatannya hanya dalam bulan barakah itu semata mata.

Kita kan mahu mencari redha Allah. Maka, perlu berusahalah untuk mencapainya. =)

Apa yang baik, kita teruskan, kerana kita tidak tahu cukupkah sudah amalan fardhu yang kita laksanakan. Sempurnakah amalan fardhu yang kita lakukan. 

Ingat balik sirah Nabawiyah, sahabat sahabat dan sebagainya, bagaimana mereka berusaha untuk mencari redha Allah, mencari keampunan Allah, lagi kan kita, yang banyak dosa, yang banyak silapnya ini. =(

Wallahua'lam.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Bakat

Sangat berbakat. Moga kalian menjadi insan berguna. Insyaallah.
  Sentimental. Lucu. Mengesankan. Imbau. Kenangan. Kerjasama padu.
 
Keberkatan. Cemerlang Akhlak.
 

=(

Rezeki Ramadhan

Alhamdulillah.

1 Ramadhan 1434 H, anak saudaraku Maria Amatullah binti Muhammad Nizammuddin selamat dilahirkan.

10 Ramadhan 1434 H, adikku Muhammad Khairullah bin Wan Mahassan diterima masuk ke IPG Kota Bharu.

Syukur.

Aku tidak layak menangisi dunia ini sedang nikmat yang Kau beri terlalu banyak Ya Allah. =(

Bantulah aku, keluargaku andai kami leka dengan dunia ini Ya Allah.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Ramadhan 1434 H

Allahuakbar.

Mesir sedang diuji lagi. Ramadhan. Semoga Allah bantu Islam di seluruh dunia.

Alhamdulillah, abangku mendapat anak perempuannya yang pertama, 1 Ramadhan 1434 H.

Semoga Allah jauhi keluarga kami dari kelalaian dan kelekaan. Semoga yang baik baik menanti di hadapan.

Ramadhan Kareem.



http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Rezeki berkat

Hmmm, walaupun perangai mereka pelik-pelik, tidak boleh tidak, mereka selalu menghiburkan, =). Sungguh, aku tak sabar bertemu dengan mereka kembali. (Walhal keegoaanku sedikit pun tidak menyatakannya). Sorry guys.

Siapa lagi, kalau bukan anak muridku. Sedar tak sedar, inilah tempat paling lama aku bekerja. Seorang demi seorang bila aku teliti latar belakang masing-masing, rasa sedih pun ada. Kasihan, mereka remaja berpotensi yang punya seribu satu kisah silam yang aku sendiri tidak pernah bayangkan. Sabarlah, kalian tetap punya masa depan. Abaikan kata-kata dan pandangan negatif orang terhadap kalian. Percayalah, siapa yang berusaha, Insyaallah berjaya.

Kita bukan penuntut sijil, kita penuntut ilmu, aku sendiri, bukanlah pelajar pintar pada zaman persekolahanku. Apa yang aku tahu, motivasi dari keluargaku menjadi titik penting semangat juangku dalam pelajaran. Lahir dalam keluarga yang besar, seramai 10 orang adik-beradik menjadikan aku kuat untuk terus berusaha untuk menggembirakan kedua orang tuaku. Hanya ayah seorang yang bekerja menyara kami 10 beradik, tentulah agak payah. Ayahku yang kami gelar abi, tidak pernah sedikit pun mengeluh dalam usahanya mencari rezeki. Keberkatan dalam bekerja itu penting.

#Astaghfirullahalazim, aku terasa, terkena batang hidung sendiri. Kejadian baru-baru ini mungkin cara Allah ingatkan aku bahawa rezeki dan keberkatan bekerja itu saling berkait. Allahuakbar, aku telah mengabaikan tanggungjawab aku terhadap sesetengah pelajar. Maafkan chegu.................=(.. Aku perlu belajar daripada abi, bagaimana abi amanah dalam bekerja. Setiap sen gaji yang aku terima, sudahkah aku laksanakan tugas aku sebaiknya.

=(

'Pekerjaan chegu itu mulia', kata anak muridku. 

Tanpa mereka sedar, setiap perkataan yang aku dengar daripada mereka, terutama perkara yang menyentuh jiwaku, sangat mengesankan. Walhal kalian selalu membimbangkan.

Ya Allah, kau kuatkanlah hati-hati anak muridku dalam mendalami al-Quran, dalam menuntut kalam-Mu Ya Allah, mereka khalifah muda yang perlu dibantu. Andai mereka lalai, Kau tegurlah mereka. Mereka terlalu naif untuk memahami pancaroba dunia yang tidak mengenal makna ehsan ini.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Istighfarlah sahabat

Assalamualaikum, again, =)

Apabila aku selak-selak kembali entri lama, aku teringat kata-kata bahawa
"takut takut apa yang kita tulis tu tidak mendatangkan suatu faedah pun buat orang yang membacanya"

#Astaghfirullahalazim, sama-sama aku, dan kau yang sedang membaca beristighfar sebanyak-banyaknya. Apa ada kebenaran di sebalik apa yang kita taip, apa yang kita tweet, apa yang kita paparkan di Fb dan sebagainya.

Ternyata, kita masih boleh delete kesilapan-kesilapan di twitter, facebook andai kita menyedari kesilapan tersebut.

Namun, adakah kita pernah tahu bilakan ajal kita dijemput. #Astaghfirullahalazim. Takut takut dosa silam pada status kita dalam menyebarkan keburukan orang lain tak dapat dipadam, andai nyawa tidak lagi dikandung badan.

Mari merenung, dan beristighfar seketika. Kau yang sedang membaca, dan aku yang menaip di sini ayuh kita beristighfar. Wallahua'lam.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Insyaallah

Teringin sekali ke sana....
Menangis semahu-mahunya...

Layakkah aku....=(

Ampun ya Allah..=(
Aku mesti percaya, bukankah janji Allah itu pasti.
Insyaallah

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Saya sayang kamu

Paling suka yang ni..UAI..=)

Tulisan Jawi..=)

Terima kasih semua....=)

Kalian buat saya gembira...=)

Saya doakan kalian berjaya dunia akhirat...Jangan nakal-nakal tau..
=(..sangat terharu..I'm not that perfect.........=(
Hehehe...Peace yo!
http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Mac 2013

 Sudah cukupkah akan perubahan ini? =(

Sedih, =(
 
 Bila peluang tidak digunakan sebaiknya...=(

Perlu senyumkah? 

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...