Agama tidak diwarisi

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Suasana pagi masih dikepung kesejukan, saat hujan membasahi bumi setelah beberapa hari. Penghujung musim tengkujuh yang masih bersisa, tidak seperti yang saya lewati tahun-tahun sebelumnya. Pahang Barat turut terkena tempiasnya. Saya masih berteleku di atas sejadah. Selesai solat Subuh dan berdoa, saya mengambil al-Quran di atas rak buku. Surah al-Kahfi. Rutin setiap kali Jumaat. Saya mula belajar mengamalkan surah ini daripada pelajar-pelajar saya di sekolah.

Kelmarin saya menghantar abi, umi, adik saya Akmar dan Jannah ke Low-Cost Carrier Terminal di Sepang. Perjalanan ke Kota Kinabalu. Abang sulung saya Nizam, adik saya Mujahid dan Marhamah ada di sana. Sunyi pula tinggal di rumah, walhal apabila sepuluh adik-beradik berkumpul, bunyi bising mengalahkan orang di medan perang. Ada sahaja yang hendak digaduhkan. Betullah orang kata, yang jauh pasti dirindui. Mujur ada Khairul. Khairul adik saya yang keenam mengikuti pengajian di Institut Perguruan Pengkalan Chepa, Kelantan sedang bercuti. 

Malam tadi Khairul jatuh motor. Patutlah saya jumpa kain kasa berserakan di biliknya. Bau minyak gamat menusuk. Tidak pula saya bertanya. Saya mahu dia bercerita sendiri. Baru sekejap saya tinggalkan Khairul di rumah. Ada-ada sahaja yang berlaku. Bukannya lapan tahun umurnya. Lapan belas tahun. Apa pun, ada satu perkara tentang Khairul yang saya kagumi. Setiap kali azan di Masjid Karak berkumandang. Cepat-cepat dia bersiap menaiki motor ke masjid. Menuruti tingkah abi dan juga arwah datuk yang juga begitu.

Saya faham sahaja, iman tidak dapat diwarisi. Namun, arwah datuk saya yang pergi pada tahun 2007 yang lalu itulah, yang setiap kali Subuh akan mengejut anak dan cucu supaya bersegera ke masjid. Setiap kali kami sekeluarga berkumpul di rumah datuk terletak di Felda Sungai Koyan. Apabila tidak berjemaah di surau, kami berjemaah pula di ruang tamu di rumah. Ruang tamu rumah datuk memang luas. Cukup untuk semua.

Datuk saya yang kami panggil tok ayah telah pergi. Beliau telah laksanakan tugasnya. Orang kampung pasti kenal dengan dirinya. Tegas tetapi orangnya murah hati. Waktu kematiannya yang tidak sempat saya hadiri, kata umi ramai sungguh orang datang berziarah. Bukanlah saya hendak memuji lebih-lebih keluarga sendiri di laman ini. Sekadar berkongsi, hidup kita ini usah disangka lama lagi. Kita tidak pernah tahu solat terakhir kita yang mana satu. Saya tidaklah mengatakan saya ini bagus. Saya cuma mahu kita sama-sama berusaha menjadi lebih bagus. Bukan untuk saya pun. 

Untuk semua. Ya, semua!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...