Harapan Januari

Teks : Syahidah Mahassan

Firdaus tenggelam dalam laut khusyuk. Berakhirnya solat Isyak, juraian air mata menuruni pipi sebaik tangan ditadah. "Ya Allah, aku hamba-Mu yang lemah. Kau ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku. Kau tempatkankah ibu bapaku di tempat-tempat orang yang soleh. Aku telah mensia-siakan orang tuaku ketika mereka masih hidup, ya Allah. Aku angkuh, aku menganggap diriku hebat, kau telah tarik mereka satu per satu. Kini, aku benar-benar ingin bertaubat, ya Allah." Teresak-esak Firdaus menangis di tikar sejadah.

Usai berdoa, Firdaus duduk menyandar di dinding bilik. Matanya meneroka ke sekeliling. Naskhah biru muda di atas rak yang tidak disusun dengan kemas itu dipandang. Hatinya terpanggil untuk bangun. Naskhah itu diambil di antara celah-celah buku agama milik ayahnya. Al-Quran berkulit biru itu agak berhabuk, dibersihkan lalu dibuka. Setelah dirinya makin tenang, Firdaus membaca surah Yasin dengan khusyuk. Firdaus sedaya upaya menghabiskan lapan puluh tiga ayat surah tersebut. Selesai sahaja bacaannya, Arif menjengah di muka pintu.

"Firdaus, mari makan," ajak Arif.

Firdaus menggeleng perlahan. "Saya tiada selera. Abang makanlah." Lemah suaranya.

Arif melangkah masuk lalu duduk di sebelah adiknya. "Firdaus, sudah lama adik berkurung di dalam bilik. Janganlah begini, kesihatan perlu dijaga," nasihat Arif lembut.

"Walid dan umi sudah pergi. Seorang demi seorang tinggalkan saya," luah Firdaus sebak.

"Abang kan masih ada," pujuk Arif.

Redup mata Firdaus memandang abangnya. "Seminggu sahaja lagi, Firdaus akan masuk Tingkatan 5. Firdaus tiada hati hendak belajar," bersungguh-sungguh Firdaus mengucapkannya. Arif terkedu seketika. Wajahnya nampak resah. Firdaus sedar akan perubahan pada wajah abangnya itu. "Apa abang hendak buat selepas ni?" Serak suara Firdaus bertanya.

Arif menggeleng perlahan. "Abang akan bekerja, tapi..." Terdengar Arif mengeluh sebelum dia menyambung kata. "Abang tetap akan meneruskan pengajian. Tinggal semester akhir," beritahu Arif.

Firdaus memandang Arif dengan segaris senyuman. Arif menarik nafasnya perlahan. Tangan Firdaus dipegang. "Sabarlah. Ada hikmah semua ini. Kita mesti reda. Doa banyak-banyak," kata Arif. Jelas begitu tinggi harapan pada nada suaranya.

Firdaus menarik nafasnya dalam-dalam. Air mata yang menitis disapu dengan jari. Tidak berhenti membasahi pipinya. Arif kehilangan kata-kata. Bahu adiknya diusap lembut. Firdaus memejamkan matanya seketika, bagaikan mengumpul semangat. Nafasnya dihela perlahan.

"Insya-Allah, abang. Kita sama-sama mendoakan," Firdaus bersuara semula.

*****

Balqis yang berjalan di sebelah Nazihah sesekali mengerling pada sahabatnya. Comel pula dia melihat wajah Nazihah di sebalik tudung labuh itu. "Tiada pun. Saya mahu bayar yuran," rungut Balqis. Agak lama mereka menunggu tetapi bayang Cikgu Zila pun mereka tidak nampak.

Nazihah dan Balqis sudah menghadap bilik guru. Pada waktu mereka hampir berputus asa, Nazihah terpandang Cikgu Zila yang seakan-akan sedang berbincang sesuatu yang penting dengan pengetua di pejabat. Lengan Balqis dicuit.

"Balqis, mari kita pergi ke sana," ajak Nazihah.

"Mana?"

"Itu, di dalam pejabat," tunjuk Nazihah. Langkah diatur berhati-hati. Nazihah dan Balqis merapatkan telinga pada pintu pejabat.

"Cikgu Zila, saya setuju dengan cadangan itu," kata pengetua sambil mengangguk perlahan. Katanya lagi, "Saya mahu Firdaus berjumpa dengan saya terlebih dahulu."

Nazihah dan Balqis mengerutkan dahi. Membatu di sebalik pintu. Cikgu Zila berdehem sedikit, Nazihah dan Balqis mengundur sedikit ke belakang. "Awak berdua ni mengintip saya dan pengetua, ya," sindir Cikgu Zila. Cikgu Zila kelihatan anggun bertudung labuh hijau pucuk pisang. Walaupun masih baru bertugas di sini, dia sangat rapat dengan pelajar-pelajarnya.

"Kami kebetulan sahaja lalu di sini, cikgu," kata Balqis. Cikgu Zila tergelak melihat Balqis yang sudah menggigit bibirnya, pasti takut dimarah.

"Kami kan pengawas berkaliber, mesti memantau cikgu," gurau Nazihah.

Cikgu Zila mengukir senyum sambil berkata, "Panggilkan Firdaus, ya. Katakan pengetua ingin berjumpa dengannya di pejabat."

"Baik, cikgu. Kami menurut perintah." Balqis dan Nazihah menjawab serentak.

*****

Jam dua petang, Nazihah dan Balqis sudah pun berada di dalam kelas 5 Asim. "Nazihah, awak rasa kenapa ya pengetua panggil Firdaus?" soal Balqis setelah duduk di kerusinya. Nazihah mengangkat kening. "Cikgu Zila tidak pula memberitahu kita tadi," kata Balqis.

"Sebenarnya, aku ada terdengar Izzat dan Naseem berbual sebelum waktu Fizik tadi," kata Nazihah sambil duduk bersebelahan Balqis. "Kata Naseem, kapal terbang yang dinaiki ayah dan ibu Firdaus gagal dikawal dengan baik semasa dalam perjalanan ke Filipina," tambah Nazihah lagi.

"Kasihannya. Jadi dia tinggal dengan siapa sekarang?" tanya Umaimah yang tiba-tiba muncul dari belakang. Nazihah menggeleng. "Patutlah aku nampak dia sedih sahaja," kata Umaimah menghampiri mereka. Syaheerah, Anna, Nadia dan Dalili yang ada di dalam kelas turut mendekati.

"Aku rasa baik kita minta Zuhdi dan Muhib buat kutipan derma kilat," cadang Balqis sungguh-sungguh. Pelbagai perasaan menyelubungi hati mereka. Sedih bercampur simpati. Balqis, penolong ketua pengawas tidak pernah kekeringan idea. Dia sentiasa mahu membantu sahabat yang dalam kesusahan. Pelajar-pelajar lain mengangguk mendengar cadangan Balqis.

Balqis mencuit lengan Nazihah sambil berkata, "Cepatlah beritahu Firdaus. Nanti Cikgu Zila marahkan kita." Nazihah mengangguk perlahan. Sempat lagi dia mengerling pada Firdaus yang ada di hadapan. Pelajar-pelajar lelaki yang lain masing-masing membuat kerja sendiri. Lagi 15 minit kelas sesi petang akan bermula.

*****

Firdaus menghampiri bilik pengetua. Tangannya diletakkan di muka pintu. Hatinya tertanya-tanya sebab pengetua memanggilnya. Kesalahan apa yang dilakukan. Pengawas pula yang memberitahu. Pintu diketuk.

"Masuk!" Pengetua bersuara dari dalam. Berdebar-debar, kakinya melangkah masuk. "Firdaus, duduk." Pengetua yang sedia menunggu memandang tepat ke arahnya. Pengetua mengambil sepucuk surat di sudut kiri mejanya sambil berkata, "Cikgu Zila dan saya baru berbincang tentang awak pada waktu rehat tadi."

Firdaus memandang pengetua dengan penuh tanda tanya. "Saya dapat tahu awak masih belum membayar duit buku kerja. Saya sangka abang awak sudah bekerja," kata pengetua. Pengetua yang sedikit botak di tengah menampakkan wajahnya seperti seorang profesor. Kaca mata yang dipakainya menambahkan lagi rupanya.

"Abang saya masih berbaki satu semester dalam bidang perubatan di Universiti Malaya, cikgu," jelas Firdaus.

"Baiklah. Begini Firdaus, awak dan abang tidak perlu bimbang dengan kos pembelajaran awak di sini. Yuran SPM pun tidak perlu bimbang," tambah pengetua lagi. Matanya tertumpu ke arah Firdaus. Sampul surat berwarna coklat muda di tangannya disuakan kepada Firdaus. "Ambil ini. Sedikit sumbangan daripada Kelab Guru Sekolah Aman Perdana untuk buat belanja."

Lama Firdaus terdiam sebelum berkata, "Terima kasih, cikgu." Bibirnya mengukir senyum. Firdaus sudah tidak terkata apa-apa.

Pengetua mengangguk perlahan. Wajah Firdaus dipandang. "Oh ya. Saya harap kejadian pada kem cuti sekolah yang lalu tidak berulang, Firdaus," kata pengetua memecah kesunyian. "Saya dapat tahu awak bergaduh dengan beberapa orang pelajar perempuan. Saya tidak mahu awak beremosi," nasihat pengetua sungguh-sungguh.

Firdaus menarik nafas panjang. Disangkanya pengetua tidak tahu hal itu. "Baik, cikgu. Saya   berjanji," kata Firdaus. Kepalanya menunduk. Pengetua memandang wajah pelajarnya itu. Pelajarnya yang bernama Firdaus itu diharap tabah mengharungi hidup yang mendatang. Bukan mudah hidup bagaikan layang-layang yang putus talinya. Cuma, keyakinan bahawa Allah sebaik-baik tempat bergantung adalah punca kejayaan yang sebenar.

*****

Nazihah merenung dinding di hadapannya. Dia mengelamun jauh. Fikirannya teringat dengan peristiwa di pejabat tadi.

"Nazihah, aku mahu cakap sesuatu dengan kau." Suara Firdaus mematikan lamunannya.

"Lupakan sahajalah. Kau memang suka bergurau," balas Nazihah sambil menundukkan kepala. Dia tidak mahu memanjangkan cerita.

"Aku tidak mahu main-main lagi. Aku mahu belajar. Aku harap kau, Balqis dan yang lain-lain pun begitu," kata Firdaus sambil matanya memandang ke arah lain.

"Insya-Allah. Kita semua usaha, doa." Nazihah membalas. Matanya mengecil ketika bibirnya mengurai kata sambil tersenyum.

"Aku pun sama," ujar Balqis selepas menjadi pendengar sejak tadi.

Tersentuh Nazihah dan Balqis apabila Cikgu Zila memaklumkan kini Firdaus hanya tinggal berdua dengan abangnya sejak nahas kapal terbang itu berlaku. Ya, Januari ini. Harapan kembali memberi semangat buat pelajar-pelajar 5 Asim yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Semoga semuanya Allah bantu supaya cemerlang dunia dan akhirat.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

2 ulasan:

Hamba Allah yang Hensem kagi c berkata...

Assalamualaikum cikgu...haha ternyata budak yg cikgu mentionkan dapat keputusan yang amat membanggakan!!!haha stylee

syahidah berkata...

=)

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...