Kembali ke sekolah!

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Cikgu!" Laung seorang pelajar lelaki dari arah surau sekolah. Tangannya melambai ke arah saya. Saya menoleh sambil mengukir senyum.

"Cikgu tidak kenal saya. Cikgu tidak mahu pandang pun," tegur Afiq sewaktu saya berada di hadapan dewan makan. Tidak mahu Afiq berkecil hati, saya melambai ke arahnya.

"Cikgu, sihat?" tanya Andi apabila bertemu di tangga. Saya menunjukkan tanda bagus sambil menyoal kembali, "Awak?" Senyum lebar Andi menandakan dia baik-baik sahaja.

Usai saya memasuki bilik guru, Nazihah dan pelajar perempuan yang lain menghampiri, "Cikgu, salam." Belum cukup seminit saya duduk di tempat kerja saya.

Sewaktu saya menaiki tangga ke tingkat satu, "Cikgu, Amirul mahu belajar Sains," tegur Faiz.

"Belajar? Awak kan ada kelas hafazan," saya menjawab. Hari ini 16 Disember 2013, sekolah kembali dibuka. Memandangkan pelajar perlu bersedia menghadapi peperiksaan hafazan yang dibuat sebelum sesi persekolahan 2014 bermula.

Ukhwah yang terbina ini selalu saya rindui. Terkenang-kenang apabila pulang bercuti ke kampung. Masakan tidak, pelajar-pelajar saya selalu buat saya ketawa. "Cikgu jangan marah ya," kata seorang pelajar. "Saya tidak buat lagi selepas ini," sungguh-sungguh berjanji. Hendak buat apa lagi, saya pun manusia. Ada masanya memang saya pun ketawa sekali.

Adakalanya, saya akan menerima surat kecil seakan-akan nota ditampal di meja saya. Selalunya kiriman mohon maaf. 'Cikgu, saya minta maaf sebab tidak menyiapkan kerja sekolah.' Nota berpelekat berwarna. Untung juga kadang-kadang lengkap dengan hadiah. Memang pandai mengambil hati.

Saya sangat berharap mereka semua menjadi insan berguna. Saya tidak terlalu mengharap mereka skor dalam subjek yang saya ajar. Apa yang penting, tahu membawa diri itu lebih baik. Bonuslah, andai mampu cemerlang akhlak dan pelajaran serentak.

Proses membangunkan masyarakat itu lebih sukar berbanding mengajar tajuk algebra dalam Matematik!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...