Malu biar bertempat

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Syida, awak pakai tudung macam ni, awak yakinkah boleh istiqamah." Seorang kakak senior cuba menduga.

Asing sangatkah dengan berpakaian begini. Malu biar bertempat. Andai benar seorang perempuan itu punya sifat malu, sungguh-sungguh dia akan menjaga dirinya. Masih ramai yang tidak faham konsep menutup aurat yang sebenar. Saya sama sekali tidak menyokong fesyen hijabista. Maaf, atas alasan apa sekali pun. Hijabista yang keterlaluan melanggar etika menutup aurat yang sebenar.

"Maaf ya Cik Syida. Di sekolah ini, guru wajib bertudung labuh," kata seorang penemuduga. Tambahnya lagi, "Andai kita mahu pelajar menjadi baik, gurulah yang perlu menjadi contoh." Tahun 2010, sekolah tempat saya mengajar di Klang sedikit sebanyak mengubah penampilan saya. Saya selalu terkenang-kenang guru senior di sana yang selalu mengingatkan saya tentang memelihara aurat.

"Hari ini kita akan membedah sebuah buku berjudul Jutawan Akhirat." Inilah topik usrah guru yang paling saya ingat. Walaupun saya tidak lagi bekerja di Klang, pesanan dan nasihat staf di sana selalu menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja keras mendidik anak bangsa.

Wanita bukan bahan eksploitasi. Membiarkan dirinya dieksploitasi secara sengaja atau pun tanpa sedar perbuatannya mendatangkan keuntungan kepada pihak lain. Jelas sekali manual kehidupan kita iaitu al-Quran menggariskan panduan berguna supaya wanita terpelihara. Hairan juga ya, wanita Islam berfesyen mengalahkan Barat.

Saya bukanlah hendak menghukum sesiapa. Soalnya di sini, ilmu semakin mudah diperoleh. Belajarlah untuk menapis budaya luar. Tidak perlu terikut-ikut fesyen yang bertentangan dengan konsep menutup aurat yang sebenar. Perkataan busana muslimah yang digunakan pada hari ini begitu mengelirukan.

Nama sahaja muslimah, tetapi aurat masih terbuka!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/


Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...