Menjadi guru yang disayangi

Teks : Syahidah Mahassan

Assalamualaikum,

Ada rakan di laman Instagram bertanya kepada saya. Bagaimana persediaan menjadi seorang guru. Zaman sekarang tidak lagi sama seperti zaman kita sebelum ini. Juga terdapat perbezaan apabila kita bertugas di sekolah rendah dan di sekolah menengah, di bandar dan di luar bandar, di semenanjung dan di Sabah Sarawak, di sekolah kerajaan dan di sekolah swasta.

Pelajar sekarang ialah pelajar bijak pandai, serba tahu dan cepat belajar. Ini disebabkan pendedahan dunia teknologi dan persekitaran sekeliling yang sangat dekat dengan mereka. Kemudahan telefon bimbit dan Internet yang ada di rumah masing-masing membolehkan mereka berhubung dengan dunia luar, berbual sesama rakan sebaya, dan mengetahui isu-isu semasa termasuklah isu politik.

Sebab itulah, saya katakan mereka bijak dan pandai. Boleh jadi, mereka lebih tahu berbanding kita tentang sesuatu isu dan masalah semasa. Mereka juga cepat meluahkan rasa di hati di Facebook, Twitter, Instagram, Wechat dan banyak lagi laman sosial yang membolehkan mereka berbual melalu video dan ruang sembang sesama rakan.

Di sekolah tempat saya mengajar, pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit. Ini kerana pihak sekolah berpendapat telefon bimbit akan mengurangkan fokus pelajar terhadap pembelajaran. Ini memandangkan mereka perlu menyeimbangkan antara hafalan al-Quran dan juga akademik. Namun, ini kata kita sebagai guru. Pelajar sekolah menengah ini tidak beranggapan sebegitu. Mereka menganggap kita mengongkong dan menyekat kebebasan kita.

Kebiasaannya guru muda yang baru berijazah, juga memiliki dan mengetahui gajet yang sama seperti pelajar-pelajar ini. Ingin saya ingatkan, tidak salah kita bergaul rapat dengan pelajar. Ada had dan garis panduan yang perlu diambil kira walaupun kita menganggap mereka seperti adik kita sendiri. Mereka tetap anak muda, remaja yang sentiasa perlu dibantu.

Janganlah kerana terlalu syok bersahabat dengan pelajar sehinggakan kita menjerumuskan mereka di dalam dunia angan-angan yang berterusan. Tugas pendidik itu bukan setakat mengajar malah perlu pergi lebih jauh dalam menasihati dan memperbetulkan apa yang salah. Boleh juga dikatakan tugas kita seolah-olah sebagai ibu bapa atau pun abang dan kakak kepada pelajar ini di sekolah.

Tidak salah menyayangi, bukan menambah benci!

Bersabarlah dengan bebanan tugas. Insya-Allah, bergelar jutawan akhirat!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...