Tiada bah

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Hujan kembali membasahi Karak. Agak lebat. Sehingga lewat malam, masih kedengaran saki baki titisan hujan. Saya kesejukan. Hari ini seperti hari-hari yang sebelumnya, saya tidak ke mana-mana. Menyelak lembaran akhbar sambil menonton televisyen. Keadaan banjir di daerah-daerah lain mula surut. Tidak mudah juga apabila ditimpa kesulitan yang sebegitu.

"Rumah cikgu banjir?" Soal pelajar saya di ruang sembang Facebook.

"Lebat hujan di Karak?" Tanya adik saya Marhamah yang berada di Kota Kinabalu.

"Syida boleh datang KL hari Selasa ni?" Aju teman serumah di Taman Tun Dr Ismail.

Ya, saya faham sahaja. Bukanlah niat mereka untuk menyibuk. Saya fikir rakyat Malaysia ini memang cukup prihatin sebenarnya. Kebetulan rumah orang tua saya tinggal sekarang di kawasan berbukit. Memang tidak terkena banjir. Namun, hujan sepanjang hari selama beberapa hari membuatkan saya duduk terperap sahajalah di dalam rumah.

Jemputan kahwin sahabat-sahabat tiada satu pun saya dapat penuhi. Umi tidak mungkin membenarkan saya memandu di dalam keadaan cuaca sebegini. Saya sendiri pun tidak yakin, apatah lagi umi. Bukan dekat. Di Kedah, di Pulau Pinang. Tidak perlu cerita tentang laluan ke utara, lebuh raya Karak itupun sudah cukup membimbangkan apabila hujan lebat.

Saya tidaklah begitu berani memandu. Cukup untuk menuju ke tempat yang penting sahaja. Umi dan abi meletakkan sepenuh kepercayaan. Walaupun pernah mengalami kemalangan kecil sewaktu mula-mula memandu dua tahun yang lepas. Alhamdulillah, dapat juga membantu mengambil dan menghantar adik-adik pulang ke asrama.

"Awak tolonglah apa yang patut," pesan along. "Along tiada di semenanjung, harapkan awaklah," minta along selalu.

Saya pun tidak tahu sampai bila saya mampu membantu. Boleh jadi, saya yang pergi dahulu.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...