Telefon pintar pada musim peperiksaan bawa padah

Teks : Syahidah Mahassan Gambar : Koleksi peribadi



Tak apalah, kalian lebih baik daripadaku,
Pesanku ikhlas, tidak membencimu,
Cuba dihitung masa masa yang digunakan, benarkah dimanfaatkan untuk mendapat A+ tersebut.
Maaf, itu bukti kau hanya mengejar A+.
Istighfar, betulkan niat.
6 November 2014,
Taman Tun Dr Ismail.

Pelajar kini agak sukar mengawal hobi melayari internet dan menggunakan sepenuhnya telefon bimbit sebagai sahabat. Ini gejala yang membimbangkan. Penggunaan tanpa kawalan membawa padah.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Jom Istighfar

Teks : Syahidah Mahassan Gambar : Carian Goggle


Astaghfirullahalazim. =(

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Cerpen Mawar (Majalah Wadah Siswa)

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Koleksi peribadi


Alhamdulillah, cerpen saya yang berjudul "Mawar" akhirnya tersiar juga di majalah Wadah Siswa bilangan 20. Cerpen empat muka surat ini adalah olahan saya sebagai seorang guru di sekolah menengah. Peristiwa pelajar senior di asrama yang mempunyai konflik dengan guru di sekolah.

Ini cerpen pertama saya, hasil didikan Puan Monalita Mansor dan ahli kelas Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif. Saya yang berijazah dalam bidang sains ini tidak pernah mengikuti kelas penulisan secara formal. Bengkel penulisan pertama saya juga banyak membantu. Saya jadi terkenang kembali saat saya mengikuti program selama dua minggu di utara tanah air. Itulah kali pertama dan kali terakhir saya berkesempatan bertemu dengan arwah Ustaz Azizi Abdullah di Yan, Kedah.

InsyaAllah mereka mengubah persepsi saya terhadap bidang penulisan.

Saya berharap, saya tidak menulis untuk diri sendiri. Menulis demi agama dan kebenaran. Sebaiknya, dengan niat untuk mengajak orang ke arah kebaikan.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Bahagia dengan senyum

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, Allah tetap juga menurunkan hujan yang membawa seribu rahmat buat seisi alam. Syukur diucapkan, setelah tempoh kemarau dan jerebu yang agak lama berlaku.


Senyumlah, senyumlah, dan senyumlah. Setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya. Tentunya kita manusia yang sering leka, beringatlah apa-apa pun, Allah jua tempat kembali. Tiada sedikit pun menjadi milik kita. Semuanya milik mutlak Allah Maha Pencipta.

Insya-Allah, dengan sedekah paling mudah dan murah ini, bukan kita sahaja yang bahagia, malah kita dapat pula membahagiakan orang lain.



Di sini, saya kongsikan sebuah buku tazkirah berbentuk motivasi yang diadaptasi dari catatan penulis iaitu Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Facebook beliau. Wahai anakku, hadiah daripada ayah dan bonda. Senyumlah 2. Beliau mengingatkan anak hari ini adalah bakal ayah dan ibu pada masa hadapan. Apa jua nasihat yang didengari pada hari ini akan menjadi pedoman baginya untuk menasihati anaknya pada masa hadapan.

Buku ini ditulis dalam tiga bahagian utama. Bahagian yang pertama ialah Allah dan Islam. Antara isi kandungannya ialah kepentingan solat. Betapa tergopoh-gapah dalam solat itu tidak layak kita lakukan. Bahagian yang kedua pula tentang ayah bonda dan sahabat serta bahagian yang terakhir tentang kehidupan.

Mengapa perlunya berbicara soal solat di awal bab. Solat adalah amalan pertama yang dihitung di akhirat kelak. Solat itu mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Perisai dan tunjang kekuatan. Waktu sujudlah kesempatan yang ada untuk memohon sebanyak-banyaknya. Bagaimana mahu diperkenankan doa, andai solat kita tidak dijaga sebaiknya.

Insya-Allah, perbetulkan solat. Senyum. Pasti bahagia. =)

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Izin Allah jua

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, biiznillah, dengan izin Allah.

Jari-jemari masih mampu menaip. Mata masih dapat melihat huruf-huruf pada papan kekunci tablet. Telinga tetap juga mendengar suara rakan di sebelah. Hidung masih memberi laluan oksigen untuk masuk ke dalam tubuh. Alhamdulillah. Syukur, setinggi-tinggi ucapan buat Maha Pencipta. Meningkatnya umur kita, tanda Allah memberi lebih banyak masa dan peluang untuk kita berubah menjadi lebih baik.



Bertambahnya usia, membuktikan kita berpeluang bertaubat atas dosa silam sepanjang kita menghirup oksigen ciptaan-Nya. Tiada apalah yang kita miliki, kepada Dia kita akan kembali. Semoga dengan ujian yang datang di bumi Malaysia sejak akhir-akhir ini membuatkan lebih ramai umat Islam sendiri kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Jauhilah kepura-puraan.



Pelbagai misteri menyelubungi kehilangan pesawat MAS, jerebu yang semakin pulih, dan banyak lagi peristiwa yang pasti ada hikmah dan kebaikan untuk semua. InsyaAllah, sama-sama kita doakan supaya dijauhi fitnah dajal. Wallahua'lam.



http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Amanah

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

"Atiqah, kejutkan semua orang. Sekarang  juga." Terkebil-kebil Atiqah melihat saya dari dalam khemahnya. Saya yang tidak sabar terus sahaja mengejutkannya yang sedang tidur di khemah paling hujung di dataran. "Cepat, semua berkumpul." Saya mengarah lagi. Kesunyian tapak perkhemahan diganggu oleh suara saya yang agak kuat. Dua orang pelajar banin dari tapak perkhemahan di sebelah kiri memandang ke arah saya. Barangkali giliran mereka bertugas menjaga kawasan tapak perkhemahan.

Tapak perkhemahan banin dan banat tidak begitu jauh. Namun, masih dalam kawalan. Kebetulan seorang guru lelaki juga turut serta di dalam salah satu khemah berdekatan khemah pelajar banin. Cepat-cepat Atiqah bangun bergerak mengejutkan teman-teman yang ada dalam lima khemah yang lain. "Bangun, bangun. Cikgu nak jumpa." Terpisat-pisat mata masing-masing apabila dua puluh empat pelajar banat berbaris menghadap saya dan guru-guru yang lain.

"Cikgu nak semua orang jujur malam ni." Saya bersuara tanpa membuang masa. "Siapa ada bawa gajet, mengaku sekarang," kata saya sambil memandang lurus ke arah pelajar banat yang ada. Tiada seorang pun yang berani menjawab. Tidak sampai sejam mereka tidur, ada pula yang mengganggu.



"Tak ada, cikgu," beberapa orang pelajar bersuara sambil menggelengkan kepala. Pelajar yang lain senyap sahaja entahkan sedar entahkan tidak.

"Betul tak ada ni. Saya dapat aduan ada pelajar banat bawa telefon bimbit waktu solat Maghrib tadi." Saya berkata sambil memandang seorang demi seorang pelajar. Ada yang menundukkan kepala tidak berani bertentang mata.

"Betul cikgu, saya yakin tiada yang bawa," bersungguh-sungguh Atiqah selaku penghuluwati menyatakan pendiriannya. "Percayalah kami, cikgu." Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Penghuni kem yang lain sudah nyenyak diulit mimpi. Saya tahu pelajar-pelajar mengantuk. Mereka telah diperingatkan bahawa barang larangan tidak boleh dibawa.

"Saya mahu ada yang mengaku juga malam ni. Berdirilah sampai esok kalau tak ada yang mengaku." Sungguh teruji rasanya, apabila mendapat aduan pelajar banat melanggar peraturan. Masing-masing menunduk. Kepenatan.

"Awak bawa telefon?" Seorang demi seorang disoal dengan soalan yang sama. Sehinggalah pelajar banat yang terakhir, masih tiada yang mengaku. "Amanahlah, amanah." Saya mengingatkan. "Cikgu bukan nak marah sangat. Tapi, kamu barisan kepimpinan sekolah. Pengawas pun buat hal. Macam mana nak jaga disiplin di sekolah nanti."

"Tolonglah, percaya pada kami. Tak ada yang bawa." Seorang pelajar meninggikan suara. "Periksalah khemah kami semua, tak ada." Malam bersejarah buat pelajar-pelajar ini. Malam bersejarah juga buat saya. Cikgu pun sebenarnya perlu sabar. Tidak boleh terus menuduh dan menyalahkan pelajar. Remaja ini tidak suka dirinya disiasat. Itu melanggar hak peribadi mereka. Walaupun memang mereka bersalah. Sekiranya mereka tidak bersalah, lagilah mereka tidak setuju dengan apa yang cikgu lakukan.

Alhamdulillah, tiada pelajar banat yang membawa telefon bimbit sepanjang tiga hari dua malam kem kepimpinan di Kem Lembah Pangsun di Hulu Langat pada tahun ini. Bimbang juga, barisan kepimpinan yang dilantik juga melanggar peraturan sekolah dan peraturan sewaktu program di bawah kelolaan sekolah. Saya juga perlu muhasabah diri. "Sabarlah, jadi cikgu perlu sabar." Nasihat fasilitator kepada saya pada hari terakhir kem. Semoga Allah sentiasa mengingatkan saya sebagai guru yang juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Muhasabah buat cikgu

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle/Koleksi peribadi 

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, hari ini masih berpeluang menghirup udara segar dan dapat pula bersarapan sepinggan nasi lemak. Sungguh, bersyukur itu tanda kita berterima kasih atas nikmat yang banyak.

Saya baru sahaja selesai membawa barisan kepimpinan pelajar ke kem di Hulu Langat. Ternyata bukan sahaja pelajar yang mendapat semangat baru setelah mengikuti kem kepimpinan tersebut, saya sendiri dapat belajar beberapa perkara. Ini termasuklah bagaimana cara berkesan untuk mendidik pelajar.



Insya-Allah, saya akan kongsikan pada entri yang seterusnya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Bagaimana kita bersyukur

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

Assalamualaikum,

Sudah tertangguh entri satu sahaja bagi mencukupkan 44 entri. Alhamdulillah, hari ini dapat juga peluang menaip. Semalam, saya bergerak awal dari Batu Talam, Raub ke Kuala Lumpur seawal jam tujuh pagi. Sekolah tempat saya mengajar bercuti Tahun Baru Cina sejak Jumaat yang lepas sehingga hari Isnin. Dapatlah empat hari bersama keluarga di Pahang Darul Makmur.

Setiap hari Rabu, saya perlu mengajar subjek Matematik di kelas Tingkatan 1 Asim dan 2 Hafs serta subjek Sains di kelas Tingkatan 4 Hafs. Tidak sukar mengajar Matematik menengah rendah memandangkan saya ada pengalaman sejak tahun 2012. Saya tidak lagi merujuk nota dan buku rujukan semasa mengajar. Berbeza dengan subjek Sains, saya masih membuka buku rujukan dan mencari bahan-bahan tambahan memandangkan topik-topik yang ada lebih panjang perbincangannya.

Saya gembira berpeluang mengaitkan Sains dengan kelebihan penciptaan Allah subhanahu wataala. Saya bukanlah ustazah dan tidak mahir Bahasa Arab mahupun tafsir al-Quran. "Allah mencipta sisem saraf dan sistem endokrin yang sangat kompleks. Hanya Allah tahu hikmah di sebalik setiap ciptaan-Nya." Bersungguh-sungguh pelajar 4 Hafs mendengar, maklumlah sedang bersemangat bergelar pelajar Tingkatan 4.



"Cikgu, bila nak belajar medula oblongata ni?" Seorang pelajar bertanya tidak sabar. Subtopik yang seterusnya ialah otak manusia dan strukturnya. Asas struktur utama dalaman otak terdiri daripada serebrum, serebelum dan medula oblongata. Setiap bahagian itu mempunyai fungsi tertentu. Fungsi utama otak adalah menerima ransangan daripada organ deria seperti telinga, mata dan kulit, menterjemahnya lalu menghantar semula ke bahagian badan untuk bertindak balas.



"Cantiknya aturan Allah. Kita mesti mensyukuri nikmat penciptaan ini. Orang yang menjerumuskan diri dalam gejala dadah sebenarnya akan merosakkan fungsi asal otak dan juga sistem badan seperti sistem saraf dan sistem endokrin." Saya menjelaskan perkaitan bahaya dadah terhadap fungsi kedua-dua sistem itu yang akan menjadi lemah akibat pengambilan dadah.



"Macam mana nak fokus dalam pelajaran, apabila mental menjadi lemah. Otak tidak lagi dapat berfikir secara rasional dan logik." Ramai anak muda di luar sana mengambil jalan mudah dan tidak berfikir panjang dalam berbuat sesuatu perkara. Pengaruh rakan sebaya dan budaya persekitaran yang tidak sihat menyebabkan mereka lupa diri. Menjadi tanggungjawab semua untuk memperbetulkan perkara ini. Saya doakan pelajar-pelajar saya dapat menerima apa yang saya ajar dengan izin Allah.

Insya-Allah. Rasydan, Firdaus, Afiq Aiman, Muhib, Adham, Muhammad, Zuhdi, Nik Ameen, Azhad, Farhan, Izzat Amir, Hanif, Anna, Hayatun, Athirah, Fatimah, Farah dan Darirah Irdina dari kelas 4 Hafs dapat menjadi huffaz profesional pada suatu hari nanti. =)

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Sayang agih agihkan

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Saya membawa Ustazah Aminah ke bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Petaling Jaya. Mujur berdekatan dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya, jadi mudahlah saya mencari. "Syida, nanti tolong saya isi borang permohonan baru," minta Aminah bersungguh-sungguh. Ustazah Aminah yang baru sahaja tamat pengajian di Mesir belum ada akaun KWSP. Saya pula sudah mempunyai akaun KWSP sejak tahun 2010 lagi.

"Saya nak buat pertukaran alamat dan isi nama penama." Pegawai yang bertugas di kaunter terus sahaja memberikan borang kepada saya.

"Nanti datang semula ambil nombor giliran. Boleh ke kedai di kantin untuk buat salinan kad pengenalan," kata pegawai tersebut sambil menunnjukkan arah kantin di bahagian kiri.

"Aminah, saya tak tahulah nak isi peratusan agihan ni berapa." Ustazah Aminah hanya menggeleng. Setelah menyenaraikan penama atau pun nama waris, pencarum juga perlu menyatakan secara jelas peratusan agihan untuk setiap nama.

"Kita tanya pegawai kaunterlah." Saya sendiri mencadangkan setelah tidak mendapat jawapan.



Ada lebih kurang 15 kaunter yang disediakan, cepat jugalah giliran kami berurusan di kaunter. "Cik, ruang agihan peratusan untuk penama ni mesti diisi," minta pegawai kaunter.

"Saya tak tahu nak isi berapa, encik," balas saya pendek.

"Isi 50 peratus untuk ayah, 50 untuk mak pun boleh," cadangnya kepada saya. "Biasanya pencarum KWSP akan meletakkan peratusan agihan yang lebih tinggi untuk ibu. Apabila ada masa, boleh ubah."

Hairan pula saya mendengarnya. "Biasalah Syida. Setiap orang ada masalah yang berbeza-beza," kata Ustazah Aminah.

"Betul juga, ya." Macam-macam kes yang berlaku sebenarnya melibatkan wang. KWSP melaporkan masih ramai pencarum tidak meletakkan penama atau pun waris. Apabila masalah berlaku melibatkan kematian, waris akan mengalami masalah untuk mendapatkan hak mereka. Mujur juga saya membaca di akhbar, dapatlah juga informasi tentang perkara ini. Alhamdulillah, selesai juga urusan.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Krisis

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Cikgu, kenapa cikgu tak jadi doktor?" Zuhdi bertanya sambil mengukir senyum.

"Sebab cikgu tak pandai." Saya menjawab pendek, tidak mahu berbual panjang.

Dia yang perlu menunggu giliran di wad kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaysia sudah tidak sabar-sabar dirawat. Mata sudah mengantuk, badan pun cukup penat. Ramai juga pesakit yang ada. Nama pun wad kecemasan, macam-macamlah kes kecemasan yang berlaku. Usai keluar dari bilik rawatan, dia berkata, "Cikgu, saya lapar."

Alahai, bimbang juga dibuatnya. Manalah saya tahu sangat hendak menjaga orang sakit. Dapatlah dibelikan roti dan air mineral buat alas perut. Belum masuk waktu Subuh lagi, kedai serbaneka di dalam kawasan hospital pun belum dibuka. Lagipun, pesakit diarrhea tidak boleh mengambil sebarang makanan.


Menjaga kesihatan dan kebersihan diri itu sangat penting. Negara kita pernah digemparkan dengan kes-kes kematian yang berpunca dari keracunan makanan. Memilih makanan yang halal itu suatu perkara, mendapatkan yang bersih juga penting. Pengusaha premis makanan yang tidak mengambil berat isu kebersihan, sebenarnya boleh diambil tindakan oleh pihak berwajib.

Cumanya, apa boleh buat. Kadang-kadang manusia sering melakukan kesilapan. Tidak mungkinlah disengajakan mendatangkan mudharat terhadap orang lain. Allah melarang kita buat begitu. Wallahua'lam.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Rindu

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle


Nyayian lagu sendu terdengar-dengar dari arah tangga. Dicari-cari orangnya tidak pula berjumpa. Siapa pula yang menangis petang-petang ini.

"Awak nampak tak siapa yang menangis?"

Aisha yang baru selesai menggunakan telefon awam menggelengkan kepala sambil berkata, "Saya nampak ada orang lalu depan lif, cikgu."

Maklumlah, satu sekolah sudah biasa dengan situasi percubaan pelajar baru menyesuaikan diri tinggal di asrama. "Cikgu rasa cikgu tahu siapa," saya membalas lalu meninggalkan Aisha. Belum sebulan lagi sekolah bermula, nampaknya masih ada pelajar yang teringat akan ayah ibu dan kampung halaman.

"Ibu, ada orang kacau Ali," kata seorang pelajar banin Tingkatan 1 di telefon berhadapan kelas 3 Asim. Saya mengukir senyum melihat keletahnya di sebalik pintu. Pada waktu kelas Matematik yang pertama minggu lepas, ada juga saya menegurnya. Apabila diberitahu pelajar ini sukar menyesuaikan diri dengan sekolah, barulah saya tahu perkara sebenar.

"Hendak jadi murabbi, mesti sabar." Ustazah Khadijah berpesan. Saya ini tahap kesabarannya ada batasan juga. Perlu belajar lagi nampaknya. "Mesti pandai pujuk," katanya lagi. Teknik pujuk memujuk ini memang saya tidak tahu bagaimana. Cukuplah latihan dan tugasan yang saya berikan disiapkan.

"Cikgu Syida garang sangat," adu seorang pelajar. Lucu juga, gara-gara meninggikan suara sedikit, disangka pula saya sedang marah. Niat asal hanya untuk menegur supaya masuk ke kelas. Lain pula jadinya.

"Waktu inilah, dapat tahu. Layak atau tidak menjadi murabbi." Kata-kata yang menusuk jauh di lubuk hati. Insya-Allah, perlu skil juga untuk memastikan semua pelajar Tingkatan 1 ini dapat fokus dalam pelajaran supaya tidak terlalu berfikir tentang rumah.

"Saya tak nak sekolah di sini." Nekad pelajar ini memberitahu. Beruntung sebenarnya pelajar-pelajar sekolah sekarang. Ibu bapa mudah berhubung dengan pihak sekolah untuk bertanyakan perihal anak masing-masing. Harap-harap, seminggu dua lagi tiada lagi pelajar yang menangis tidak mahu masuk ke kelas. Tertinggal pula pelajaran nanti. Rugi!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Parti Bersatu Bersekolah

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Disiarkan di Harakah, Bil 1899, 28 Muharam-2 Safar 1435 / 2-5 Dis 2013

Sajak bertajuk Parti Bersatu Bersekolah

Parti Bersatu Sekolah

Kami bersatu,
Demi anak-anak kami,
Kerana sayang.

Mereka pencorak masa hadapan negara,
Kami mahu mereka ditarbiyyah,
Bukan dibelasah mahupun dikerah,
Sehabis-habisnya.

Mereka generasi bijak pandai,
Tidak akan tertipu lagi,
Moga tenang kami kelak,
Andai berjaya kami mencorak,
Dapatlah doa mereka kirimkan.

Mereka bukan mangsa,
Mereka adalah harapan dan penyejuk mata,
Lalu kami tubuhkan,
Parti Bersatu Sekolah,
Demi membela nasib anak bangsa.

Kami digelar,
PBS di seluruh negeri.

Cikgu Syahid,
Bentong, Pahang.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Keadilan dan kepedulian

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Salah siapa?

Tidak pedulisme, mungkin satu perkataan baru buat anda. Apa yang pasti elemen ini begitu kuat aku lihat dalam masyarakat mutakhir ini. Tidak pedulismenya kita pada jiran tetangga menyebabkan masalah keadilan sosial kian meruncing. Tidak pedulismenya ibu bapa menyebabkan anak-anak terabai keperluan kasih sayang. Dalam arena Malaysia ke arah pembangunan dan pembaharuan Wawasan 2020, wajarkah pembangunan negara dalam pelbagai bidang diteruskan dengan mengenepikan pembangunan jiwa ? Masyarakat kian parah dengan gejala negatif yang tidak pernah berkurang malah terus-menerus bercambah bagaikan cendawan.

Bukan lagi suatu mimpi anak berumur sebelas tahun mampu menonton rakaman video lucah bersama abangnya yang baru berumur 12 tahun. Kepercayaan pincang ibu bapa mahupun sesiapa sahaja yang terdekat terhadap anak sendiri mengakibatkan tiada pemantauan serius terhadap aktiviti harian anak-anak kerana kesibukan mencari harta dunia. Pengharapan seratus-peratus dalam tugas mendidik dengan mudah diletakkan di bahu guru-guru mahupun pembantu rumah yang pastinya tidak mungkin dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik ibu bapa kandung sendiri. Tujuh jam anak-anak di sekolah bukanlah masa puncak untuk melentur buluh dari rebungnya, peranan ibu bapa lagi tujuh belas jam menjadi persoalan.

Kepelbagaian karenah anak-anak di sekolah apabila di selidik, dengan mudahnya dapat dikesan berlaku pergolakan di rumahnya sendiri. Ibu bapa yang mahu guru-guru memberi komitmen kepada anaknya di sekolah seharusnya turut melangsaikan tugasnya bersama-sama anak-anak. Ambillah peluang dan turutilah nasihat bagaimana berbezanya keluarga bahagia dengan keluarga yang porak-peranda. Seorang anak kecil di bangku sekolah rendah tidak mampu meluahkan perasaannya secara terus kepada kita sebagai orang tua. Apa yang mereka lakukan untuk menarik perhatian orang di sekeliling ialah dengan berbuat kesalahan demi kesalahan supaya ada yang sudi menunjukkan kasih sayang.

Salah tempat kasih sayang ditujukan, ranaplah masa depan anak-anak ini. Solat tidak dijaga, bacaan al-Qurannya entah ke mana. Rugilah umat Islam sekiranya seorang demi seorang anak bangsa hanyut dibuai keasyikan duniawi. Terbahak-bahaklah musuh Islam melihat kejahilan kita. Anak-anak sekalipun sebenarnya tidak boleh menyalahkan ibu bapa apabila dewasa kelak kerana kita berhak memilih dalam hidup ini. Mahu menjadi golongan mu'minin atau sebaliknya. Hidayah perlu dicari, bukan dinanti. Kesilapan menuding jari sesama sendiri hanya akan merugikan kesatuan umat Islam. Hal ini sering dilihat di kaca televiyen mahupun media-media yang lain.

Anak, ibu bapa, guru, jiran tetangga serta barisan kepimpinan negara keseluruhannya tidak seharusnya memandang enteng keadilan dan keperluan mendidik antara satu sama lain. Tidak betul namanya jika anak dipaksa solat lima hari semalam, dihantar ke sekolah agama beratus-ratus ringgit sebulan, tetapi sekalipun tidak pernah menunjukkan diri sendiri dalam menjalankan tanggungjawab beribadah. Tidak ditunjukkan diri sebagai role model terbaik. Tidak betul juga jika diperhabiskan jutaan ringgit untuk kempen merokok sekiranya kepimpinan teratas juga menjadikan rokok sebagai kawan baik!

Keadilan itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika tidak, jadilah anak menyaman bapa, bapa menyaman anak sendiri. Tanpa segan silu. Institusi kekeluargaan yang punah melahirkan masyarakat yang rosak dengan seribu satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Berterima kasihlah kepada Allah dan jauhkanlah diri dan keluarga kita daripada perkara yang melalaikan. Tiang agama iaitu solat usah diperkecilkan keberkatannya. Ramadhan yang dirindui kedatangannya ini nanti sambutlah dengan penuh keinsafan. Wallahua'lam.

Artikel ini disiarkan di laman sesawang Iluvislam. Waktu itu saya menggunakan nama pena Zeolite.

Syaaban 1431 H
Meru, Klang

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Peluang yang terabai

Teks : Syahidah Mahassan





Ya Allah, mana hendak dicari ini. Semuanya penuh. Bercampur-campur lelaki perempuan. Entahkan bersaudara entahkan sekeluarga. Tidak mungkin satu dewan yang ada lapan gelanggang badminton ini saudara semahram. Tidak mungkin. Saudara seislam tentu sahaja betul. Salah siapa tidak menyediakan ruang yang lebih sesuai. Bukankah kita negara kita negara Islam. Negara yang mencatatkan agama rasminya agama Islam. Menjadi anggota pelbagai organisasi Islam antarabangsa pula.

"Puan, ada tempat kosong untuk saya dan anak berdua?" Berusaha saya mencari.

"Dari mana datang?" Saya pula yang ditanya kembali.

"Dari Taman Melati. Pinggir bandar," saya membalas sambil membetulkan seluar anak.

Patutkah kasihan dengan mereka atau dengan diri sendiri. Mereka tidak punya pilihan bukan. Samalah dengan saya sendiri. Manalah tempat tidur malam ini. Agaknya mereka terlebih dahulu menjadi mangsa bah. Nampaknya sudah berhari-hari mereka berlantaikan gelanggang beralaskan tikar. Itupun bukan semua dapat tempat yang sesuai. Entahkan selesa entahkan tidak bersesak-sesak begini.

"Taman Melati pun banjir?" Berkerut dahinya sambil bertanya.

Ikut hati mahu saja duduk di dalam rumah yang digenang air. Mana mungkin. Air sahaja paras tengkuk. Dokumen penting yang dapat diselamatkan pun belum kering dibawa ke sini. Apalah yang terjadi dengan barang-barang di dalam rumah. Agaknya seplastik besar cawan polisterina yang disangkut di belakang pintu dapur berenang-renang di dalam ruang dapur.

"Puan dari mana?" Giliran saya pula bertanya.

"Tempat biasa. Indera Mahkota." Kain tuala yang menutupi kepalanya dibetulkan. Ada juga yang mengambil inisiatif sendiri untuk menjaga aurat di dalam susah payah ini. Alhamdulillah, saya fikir semuanya buat tidak kisah. Keadaan terdesak, siapa tahu. Sedangkan pada waktu biasa-biasa tiada musibah pun, orang Islam tidak ambil peduli menjaga batas aurat.

"Puan kenal pak cik di sana?" Saya bertanya sambil menumpang duduk di atas tikar.

Boleh juga saya melepaskan lelah setelah berjam-jam di atas bot bomba tadi. Anak pun sudah terkulai kepenatan tertidur di pangkuan agak lama. Tumpang sebentar walaupun tidak disuruh. Untung juga pandai berbasa-basi. Bukan sengaja mengambil kesempatan. Mahu merehatkan diri sebentar memandangkan entah sampai bila perlu berkampung di dewan orang ramai yang sesak.

Tersentuh hati melihat warga emas yang berkerusi roda. Siapalah yang membantunya datang ke sini. Pasti sukar bergerak dalam keadaan sebegitu. Apa ya hendak dibuat. Hujan turun itu asal diingat-ingat maksudnya membawa rahmat. Apakah ibrah yang Allah mahu tonjolkan pada semua. Banjir kali ini benar-benar menggugah rasa. Kawasan penempatan yang tidak pernah diharungi air pun terkena tempiasnya. Bukan calang-calang, banjir lumpur pula.

"Satu taman perumahan dengan saya. Sebatang kara," balasnya sambil menutup badan kanak-kanak lelaki di sebelahnya dengan kain selimut biru putih. Anaknya mungkin. Entahlah, ramai sungguh orang dalam dewan ini. Bermacam ragam. Pelbagai peringkat umur. Tua, muda, lelaki, wanita, dewasa dan kanak-kanak. Hendak dikata berselang-seli atau dijaga batasnya tidak juga. Apalah yang saya fikir. Bukan mudah bila sudah jadi begini.

Jadi, hukum Tuhan hanya boleh dijaga pada waktu senang sahajakah. Terbayang-bayang di ruang minda video mengisahkan kesusahan rakyat Palestin dan Syria yang dibom sana sini tetap juga mempertahankan syariat walau nyawa sudah di hujung tanduk. Ya Allah, semudah inikah bangsa seagama saya ini memandang erti hukum hakam Tuhan. Menutup aurat itu wajib bagi yang baligh setahu saya.

"Ramai yang pakai tudung, tetapi sedikit yang menutup aurat!" Terngiang-ngiang di telinga suara Ustaz Saiful sewaktu menghadiri kuliah Maghrib di surau Taman Melati baru-baru ini. "Bukan perintah manusia, Allah suruh," katanya dengan nada tegas sambil melihat hadirin di hadapannya satu-persatu. Inilah buktinya barangkali. Malaysia baru diuji dengan bah, sudah lintang pungkang seluruh isi negara.

Di Amerika, bukan sekali dua negara itu didatangi ribut taufan. Soalnya bukan lagi sebab negara kaya tidak akan terkena bencana alam, tetapi sejauh manakah manusia mengambil iktibar melalui persekitaran. Kaya atau miskin, tetap sahaja akan berlaku. Bumi juga ada peraturannya sendiri. Lihat sahaja Jepun dengan teknologi nuklearnya. Reaktor nuklear yang bermasalah mengambil tempoh yang lama untuk dibersihkan pencemaran yang berlaku. Terpaksa pula kontraktor pembersihan di sana mencari gelandangan untuk membersihkan kawasan dengan kos yang rendah.

Jauh pula saya berfikir. Tempat tidur malam ini pun tidak lagi diketahui di mana. Ikut rasa mahu saja terlentang baring di lantai ini. Namun, kata hati seolah-olah tidak membenarkan. Tidak mengapalah asalkan dapat duduk, supaya lena anak tidak terganggu.  Ya Allah, solat Isyak saya bagaimana. Esok pagi waktu Subuh apatah lagi. Bagaimana orang-orang Muslim ini solat dalam keadaan yang terhad ruang dan keadaannya.

Bukankah sering dikongsi-kongsikan teman-teman di laman sosial digelar muka buku yang saya melayukan sendiri perkataanya, tentang gambar-gambar orang solat di mana-mana. Satu video berlatarkan Mesir di dataran Rabaah dengan sejumlah besar Muslim di sana bersolat secara jemaah. Ini berlaku ekoran mereka berpakat berkumpul selama mungkin meminta pimpinan negara padang pasir itu bertindak demi kesejahteraan Mesir bumi anbiya'.

Tidak dilupa gambar geng motosikal besar yang tidak mahu digelar mat rempit berbaju hitam tebal berhenti solat di lebuh raya dan jalan-jalan di mana-mana. Bukankah Islam itu tidak rumit sebenarnya. Bukankah Islam itu lengkap peraturan dan kemudahan beserta cara bagaimana solat itu tetap juga perlu dilaksanakan. Termasuk di dalam rukun Islam lagi-lagilah kalimah solat itu sendiri begitu banyak wujudnya di dalam kitab mulia bergelar al-Quran.

"Ambillah ini. Buat menghilang haus." Sebotol air mineral 500 ml bertukar tangan. Saya ambil sahaja tanpa rasa malu. Mahu juga cadangnya meminta dari tadi. Untung-untung dapat roti sekali. "Ini sahaja yang tinggal. Esok selepas Subuh waktu sarapan adalah makanan disediakan." Roti berperisa kacang merah saya ambil daripadanya. Agaknya orang ini telahannya menembusi minda saya. Faham-faham sahaja saya yang kelaparan.

Kasihan anak saya. Tidak dapatlah dia makan malam ini. Sudah tertidur lama. Mahu dikejut, bimbang pula. "Sembang-sembang ni. Nama tak tahu. Saya Kak Hasnah." Dia yang murah hati memperkenalkan diri.

"Ain. Ain Mariana." Saya mengukir senyum membalas keikhlasannya bersahabat. "Bila Kak Hasnah datang ke pusat pemindahan ni?" Kawasan perumahan Inderan Mahkota memang tempat wajib banjir di daerah Kuantan. Setiap tahun, penduduk kawasan itu selalu berjaga-jaga. Saya menjangka pasti Kak Hasnah datang lebih awal.

"Semalam lagi. Air naik terlalu cepat. Saya sekeluarga sedang tidur." Bersungguh-sungguh dia bercerita. " Kami tak sempat buat apa-apa. Selepas kejutkan anak-anak, terus sahaja kami keluar dari rumah."

"Samalah juga dengan saya, kak," kata saya sambil menganggukkan kepala.

"Kami harungi air dalam gelap. Jiran-jiran pun tak dapat buat apa-apa." Seorang wanita di sebelah Kak Hasnah menyampuk perbualan kami. Dia tadinya berbaring, sekarang bangun pula menyertai saya dan Kak Hasnah. "Suami saya telefon pihak berkuasa. Tiada yang mengangkat." Jujurnya memaklumkan kepada kami berdua.

"Bantuan lewat sampai," adu Kak Hasnah sambil memandang saya dengan wajah sayu. Perkara sebeginilah yang selalu menyebabkan bertambah susahnya orang sedang kesusahan. Hendak mengadu kepada siapa lagi. Astaghfirullahalazim. Bukankah Allah sentiasa mendengar hamba-Nya yang mengingatinya.

"Kak, saya hendak solat. Boleh saya tumpangkan anak saya sekejap di sini." Saya terus sahaja meminta izin untuk bangun.

"Ain tidur sahajalah di sini nanti. Nanti akak suruh suami cari tempat lain. Tahulah dia usahakan," Kak Hasnah menepuk tikar biru berbunga putih yang kami semua duduki. "Kasihan anak Ain sudah terlelap. Menangis pula dia nanti jika dialih." Ya Allah, sungguh malunya saya kerana hanya tahu mengeluh. Sedangkan baru sahaja saya berniat untuk beribadat, sudah datang pertolongan dari-Mu.

Sungguh Kau Maha Mendengar niat dan detikan hati ini. Kau sampaikan ilham buat Kak Hasnah membantu diri yang sedang kesusahan. Mata saya meliar di segenap ruang dewan. Di hujung penjuru kiri dewan di bahagian belakang nampaknya ada papan tanda bertulis tandas yang bersimbol wanita. Perlahan-lahan saya berjalan sambil cuba menyelit di dalam dewan yang padat bagaikan tin sardin ini.

Usai membersihkan diri seadanya dan berwhuduk, saya mendekati semula tempat Kak Hasnah tadi. "Ambil kain batik ni. Agak besar untuk dibuat kain. Tudung labuh akak ni awak buat kain telekung," kata wanita yang dipanggil Kak Sal di sebelah Kak Hasnah sambil menyerahkan peralatan solat kepada saya.

"Terima kasih, kak. Terima kasih." Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata betapa bersyukurnya saya hari ini. Dapat juga saya solat walaupun di tengah-tengah manusia yang pelbagai ragam di dalam dewan. Sudah lewat malam, ramai yang sudah tidur. Mujur lampu dewan masih terbuka. Lebih memudahkan mangsa banjir untuk bergerak. Bercampur lelaki perempuan begini, lebih baiklah lampu dipasang. Kak Hasnah dan Kak Sal juga akhirnya melelapkan mata masing-masing.

Sungguh-sungguh saya bersolat malam itu. Tidak saya peduli bunyi berdengkur penghuni dewan atau apa sekalipun. Hanya Allah sebaik-baik tempat mengadu. Terasa malu pula selama ini tidak pula saya mengambil kesempatan untuk bangun malam. Dewan ini jugalah akhirnya menjadi saksi seorang hamba Allah yang tidak tahu manusia manakah yang dapat membantunya.

Selesai solat Isyak, saya lanjutkan dengan solat sunat. Saya memang tidak dapat menerima keadaan untuk tidur di dalam dewan begini. Biarlah anak saya sahaja tidur cukuplah. Tidak perlu lagi saya meminta lebih. Bukanlah niat memandang rendah kepada penghuni yang lain. Pihak berwajib sepatutnya menyediakan ruang khas dan mengambil kira soal syariat Allah. Bencana alam memang tidak dapat dielak, tetapi manusia yang dikurniakan akal sepatutnya berfikir. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa semuanya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Ya hanana

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Alhamdulillah, walaupun hari ini cuti umum, dapat juga saya menghadiri program sambutan maulid Nabi di sekolah. Jam tujuh lagi pelajar-pelajar sudah sedia berkumpul di surau sekolah. Beberapa buah nasyid qasidah dipersembahkan oleh pelajar sementara menanti ketibaan penceramah jemputan.

Akhlak Nabi Muhammad ialah akhlak yang dipuji-puji di dalam al-Quran. Akhlak baginda juga contoh terbaik untuk diteladani oleh umat Islam. Siapalah kita andai selawat ke atas baginda pun tidak mahu dilakukan, bagaimana mahu mendapat syafaat baginda. Berakhlak mulia itu sepatutnya sepanjang masa, bukanlah semata-mata di hadapan manusia.

Akhir-akhir ini proses pencarian ilmu itu kelihatan lebih mudah. Namun, tetap sahaja ada yang berkelakuan menyimpang dari kebiasaan. Ramai yang menghafal al-Quran, tetapi tidak mengamalkan kandungannya. Ada yang pandai membaca al-Quran, tetapi tidak mahu membacanya. Ada pula yang tidak tahu membaca al-Quran, namun tidak mengambil inisiatif untuk membacanya.

Maka, bagaimanalah mahu berakhlak dengan akhlak Rasulullah andai tidak boleh mengambil peluang untuk membaca al-Quran. Beruntunglah mereka yang dapat mencontohi akhlak Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalan. Alhamdulillah, moga kita sebahagian daripadanya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Pengaruh

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Cikgu, nak button badge Rab1a macam Afiq tu," minta Amirul Aiman usai saya keluar dari kelas 2 Hafs. " Cikgu bagi Afiq. Saya nak juga."

"Mana cikgu nak cari ya. Itu masa cikgu pergi konsert amal Rab1a di Bangi tahun lepas," balas saya kepada Amirul Aiman.

"Cikgu juallah. Saya nak beli," katanya lagi sambil mengekori saya yang mahu ke bilik guru.

Peristiwa di Mesir bukanlah cerita biasa-biasa, tetapi melibatkan suatu sistem pemerintahan yang terlalu lama dipegang oleh pemimpin yang sama. Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dari sekolah ini ramai juga yang ke Timur Tengah. Mereka mengambil jurusan perubatan, pengajian Islam seperti Takhasus Qiraat dan sebagainya. Ada juga pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah yang ke sana dengan pembiayaan sendiri bagi mendalami bidang pengajian Islam di sekolah khas.

Biasalah apabila ada senior-senior yang berada di Mesir, Jordan dan Abu Dhabi, pelajar junior tentu sahaja mendapatkan informasi terkini daripada sahabat yang sedang menuntut ilmu di sana. Dalam masa yang terdekat ini pun, ada dua orang pelajar banin (lelaki) yang akan ke sana iaitu Nickdzul dan Amir Zakwan yang baru berumur 16 tahun. Saya sangat berharap mereka dapat mengutip ilmu pengetahuan sebanyak-banyaknya di bumi anbiya' tersebut.

Insya-Allah, saya percaya ibu bapa pelajar ini hanya mahu yang terbaik buat anak-anak. Nick dan Amir pula saya tahu mereka dapat menjaga diri masing-masing. Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Pemimpin yang terpimpin

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle/Koleksi peribadi

Tahun baru, azam baru. Jadi semangat juga baru. Isnin baru-baru ini senarai kepimpinan pengawas diumumkan dalam perhimpunan sekolah. Ada muka-muka baru yang dilantik dan ada juga pengawas yang dikekalkan. "Selamat bertanggungjawab," ucap saya kepada Atiqah yang dipilih menjadi penolong ketua pengawas bagi sesi 2014. Saya hanya sempat mengajar Atiqah pada tahun lepas bagi subjek Sains Tingkatan 4.

"Cikgu." Atiqah yang masih terkejut atas pelantikan tersebut tidak terluah apa yang hendak dikatakan.

"Kelak akan dipersoalkan amanah ni," pesan guru penolong kanan kepada barisan kepimpinan.


"Tak apakah kita letakkan nama pelajar ni dalam kumpulan usrah ni. Selalunya dia jadi ketua." Ustazah Hidayah yang prihatin menyatakan pandangan.

"Andai seorang pemimpin tidak boleh dipimpin, dia bukanlah pemimpin yang baik." Sengaja saya memberikan pendapat sebegini. Tiada salahnya apabila seorang pemimpin itu mendengar pula apa-apa pandangan bersesuaian daripada orang bawahan. Selama ini boleh jadi tanpa disedari, orang yang di bawah ini mempunyai idea dan ilmu yang lebih baik.

Bagi menyelesaikan permasalahan bersama, sangat penting adanya semangat saling menasihati supaya seorang pemimpin itu tidak syok sendiri. Nama pun amanah, tidak boleh dipandang lekeh. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan. Ada yang pandai berbicara tetapi gerak kerjanya sederhana. Ada pula yang gerak kerjanya cemerlang tetapi pengucapan awamnya masih perlu diperbaiki.

Insya-Allah, pelajar-pelajar yang bergelar remaja ini akan menjadi seseorang yang hebat di dunia ini malah tidak pula mengabaikan akhirat. Perlahan-lahanlah guru mendidik, namun perkara yang salah tetap juga perlu diperbetulkan. Masih jauh perjalanan yang mesti ditempuhi oleh anak muda ini.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Azam 2014

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

Tahun 2014 ini, saya mengambil cuti awal atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Tempoh cuti yang agak lama yang pernah saya lakukan sepanjang bekerja di sebuah sekolah menengah di Taman Tun Dr Ismail. Sekembalinya saya ke sekolah, bertimbun jugalah kerja yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah, guru-guru lain banyak membantu.


Seperti tahun lepas, saya masih lagi menjadi guru kelas bagi kelas 2 Hafs. Asalnya tahun lepas mereka datangnya dari kelas 1 Hafs. Ada 26 pelajar sahaja di dalam kelas ini dengan enam pelajar banat (perempuan) dan 20 pelajar banin (lelaki). Seorang pelajar banat iaitu 'Aqilah Hanis yang telah berpindah digantikan dengan kedatangan pelajar baru iaitu Faiz. Belum sempat saya berkenalan dengan pelajar baru ini.


Subjek yang dipertanggungjawabkan juga masih sama iaitu Matematik dan Sains. Bertugas sejak tahun 2012 lagi di sini, maka tidaklah sekekok sewaktu mula-mula dahulu apabila perlu mengajar subjek Kimia bagi kelas Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Maklumlah, cikgu baru tidak biasa. Sekarang ini, alhamdulillah. Kelas-kelas yang dipertanggungjawabkan pelajar-pelajarnya sudah biasa dengan saya kecualilah pelajar Tingkatan 1.


"Cikgu Syida, lama tak jumpa," tegur Nadya Natasha apabila melihat saya.

"Saya ingat cikgu pindah," kata Saralisa di sebelahnya pula.

Biasalah lama tidak bertemu, walhal baru beberapa hari sahaja saya tiada. Seronok sebenarnya mengenali mereka semua. Macam-macam ragam di dalam kelas dan di luar kelas. Paling seronok tentulah apabila dapat bersembang. Insya-Allah, tahun ini semoga lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Saya harap dapat membantu pelajar-pelajar ini sebaiknya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tugasan tatabahasa (Cerpen Si Manis)

Teks : Syahidah Mahassan

Saya diberi tugasan untuk menyenaraikan perkataan yang menggunakan 'di', kemudian bezakan sekiranya perlu dijarakkan dan dirapatkan dengan kata nama dan perbuatan. Berikut adalah senarai perkataan tersebut yang diambil daripada cerpen Si Manis karya Puan Monalita Mansor.

di-perbuatan

dicubitnya
diacukan
diputar
disembunyikan
diikat
dibiarkan
diberitahu
dibimbangi
ditunggangi
dikorbankan
dipaparkan
diperolehi
dinobatkan
dirisau
diingat
dikahwini
digariskan
diberitahu
dicubit
disangkut
ditunjuk
disiapkan
ditutup
diletakkan
dicium
diulanginya
dilaknat

di-kata nama

di atas
di depan
di tulang
di dalam
di muka
di bahagian
di bawah
di situ
di belakang
di wall
di kedua-dua

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tugasan tatabahasa (Cerpen Syarat Ghasidah Segaraga dan Malasnya Mata)

Teks : Syahidah Mahassan

Berikut adalah perbezaan penggunaan 'di' pada perkataan tertentu. Perlu dijarakkan apabila bergabung dengan kata nama dan dirapatkan apabila bergabung dengan perbuatan.

1) Syarat Ghasidah Segaraga

di-perbuatan (dirapatkan)

dipatuhi
ditanda tangani
dizahirkan
diizinkan
dirasakan
ditiupkan
dipesongkan
dihimpun
dibenihkan
dijual
disangkutkan
disengajakan
direka-reka
ditakluk
dimiliki
diajari
dipujuknya
dilonggokkan
diisyaratkan
dikembalikan
dibeli
didodoi
dicincang
dijadikan
dicium
dimakan
diambil
disuratkan
diperkenalkan
dipotong
diberi
ditulis

di-kata nama (dijarakkan)

di sini
di sana
di dalam
di hujung
di depan
di bawahnya
di pinggan
di cawan
di cepu
di awal
di antara
di mahligai
di atas
di meja
di mana
di sebalik
di kerusi
di depan
di tengahnya
di kandang

2) Malasnya Mata

di-perbuatan

ditanya
ditegakkan
diletakkan
disangkutkan
dihulurkan
diberikan
disiapkan
ditekuni
disusunnya
diketepikan
dipadamkan
diletakkan
diteruskan
dipersilakan
dipermudahkan
diagak
diisi
dipanggil
diaturnya
dianggap
ditanggap salah
diduganya
dicegah
dikesan
ditakuti
dilaluinya
dilagukan
dikurniakan
dipulaukan
dicurah
diampunkan

di-kata nama

di meja
di kerusi
di depannya
di atas
di Bilik Guru
di kepalanya
di akhbar
di dada
di hujung
di tempatnya
di tahap
di sebalik
di tempat
di cuping
di hati
di atas
di luar
di sini

Kedua-dua cerpen ini adalah koleksi E-book Rautan Takdir karya Puan Monalita Mansor. Selamat belajar!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tugasan tatabahasa (Cerpen Rautan Takdir dan Gulai Aya untuk Ayah)

Teks : Syahidah Mahassan

Mendapat tugasan bahasa! Berikut adalah perbezaan penggunaan 'di' pada perkataan tertentu. Perlu dijarakkan apabila bergabung dengan kata nama dan dirapatkan apabila bergabung dengan perbuatan.

1) Rautan Takdir

di-perbuatan

diperangkap
didengar
disandangnya
digiat
diterangi
dihantar
disandingkan
dibeli

di-kata nama

di dinding
di hadapanku
di dalam
di sini
di sekolah
di pergelangan
di sofa
di pejabatku
di belakangku
di telingaku
di luar bilikku
di atas
di balik pintu
di luar bilik
di tengah
di tikar
di Tanah Suci
di abad
di alam

2) Gulai Aya untuk Ayah

di-perbuatan

dilitupi
dirasakan
diperkenankan
dihantar
dikawal
dikeluarkannya
dikongsi
ditebang
ditanam
dipakai
dipegang
dituntun
dibuatkan
diziarah
ditanya
dijodohkan
dijarak
diikutkan
dibacakan

di-kata nama

di depan
di dalam
di situ
di kepala
di atad
di sebelahku
di dadaku
di baju
di rumah
di hari
di tikar
di pelupuk
di dada
di pantai
di tekakku
di tengah malam
di sepanjang

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Harapan yang tertinggal

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Adik, bangun. Dah pukul 5 pagi ni," kata umi sambil menggerak-gerakkan adik yang masih berselimut. Adik mengiring ke kiri. Selimutnya ditarik menutup muka. Akmar di sebelahnya terkebil-kebil menggosok mata. "Bangun, dik. Nanti terlambat," kata umi lagi tidak berputus asa. "Dah, pergilah masuk ke bilik air." Umi memandang lurus ke arah Akmar yang masih duduk di tepi katil.

Akmar bangun perlahan-lahan sambil mengambil tuala yang bersidai di sebelah almari. Umi memicit-micit ibu jari kaki kanan adik supaya adik sedar. Kata umi cara itu berkesan untuk membolehkan orang bangun tidur. Pernah juga saya mencubanya beberapa kali. "Sejuk," kata Akmar yang baru keluar dari bilik air. Menggigil kesejukan.

Umi terkocoh-kocoh menyiapkan sarapan di dapur. "Tak sempat nanti. Jam 6.30 pagi awak dah kena ada di sekolah." Laju umi menutur sambil menggoreng pisang di dalam kuali. Adik yang baru selesai solat Subuh bersiap berbaju putih dan berkain hijau. Lengkap dengan tudung labuh berlencana SMA Al Falah.

Saya mengambil kunci kereta dan terus ke ruang parkir. Enjin kereta dihidupkan dan cermin kereta diturunkan sedikit. Akmar dan adik tergopoh-gapah memasuki ke dalam kereta. Masing-masing memegang senaskhah al-Quran tafsir dan menyandang beg sekolah di belakang. Saya terus memandu ke arah jalan besar.

Suasana pagi yang gelap tanpa lampu jalan, terpaksalah juga dilalui. Ada  pula motosikal di hadapan yang tidak memasang lampu. Mujur tidak berlanggar. Pagi-pagi begini, nampak jugalah budak-budak sekolah menunggu bas di kiri dan kanan jalan. Entah jam berapa agaknya bas tiba nanti. Kira-kira 8 kilometer sampailah saya di sekolah.

Tepat jam 6.30 pagi. Usai selesai, saya pulang semula ke rumah. "Adik dan Akmar tak bawa bekal!" kata umi sebaik saya memasuki rumah. "Tertinggal. Sama-samalah tolong ingatkan. Tak mampu semua umi nak buat." Saya pun tidak pula memeriksa masa keluar dari rumah tadi.

Abi yang baru selesai mengaji menyudahkan ayat yang terakhir. " Nanti jam 7.30 pergi hantar bekal tu. Masa tu dah habis kelas hafazan," cadang abi.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Ulasan E-book Rautan Takdir

Teks : Syahidah Mahassan

Alhamdulillah, selesai juga saya membaca semula keseluruhan E-book Rautan Takdir karya Puan Monalita Mansor ini. Memandangkan saya ini bukanlah berlatar belakang sastera, dapatlah juga saya faham sedikit demi sedikit perkataan seperti naratif, imbas kembali, imbas muka dan banyak lagi. Asasnya sebenarnya telah pun dipelajari di sekolah lagi. Bak kata Puan Monalita asas cerpen 'Aku sebatang pensel' misalnya.

Lucu juga ya. Saya fikir saya tidak pernah mempelajari sastera. Rupa-rupanya Cikgu Zaleha, Cikgu Saroya, Cikgu Maznah dan ramai lagi guru Bahasa Melayu saya sudah pun memperkenalkan dunia penulisan ini kepada saya. Saya sahaja yang tidak menyedarinya. Baiklah, berikut adalah ulasan ringkas setiap cerpen yang ada dalam E-book ini.

1. Kesasar dalam terang

Anak yang tidak beradab dengan ibunya, Hani sering diserang penyakit misteri seperti meracau-racau tidak tentu hala. Solusi terbaik terletak dalam diri seseorang apabila mahu menjadi tenang terutamanya dengan menjaga solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Reda ibu sangat penting untuk mencapai reda Allah. Sikap kasar Hani terhadap ibunya akhirnya memakan diri. Hati ibu mana yang tidak terusik melihat anak sendiri tidak sihat. Itulah ibu, redanya boleh membuatkan kita tenang.

2. Apa sahaja mahumu

Cerpen dewasa ini mengisahkan pertemuan semula Dato' Azmi dan Cik Hairiah di suatu majlis makan malam yang gemilang. Tidak disangka rupa-rupanya Dato' Azmi bersungguh melamar Hairiah dan memperkenalkan dengan keluarganya.  Terkenang-kenang kembali saat suka duka kisah zaman sekolah yang mencuit hati. Tidak pula Hairiah menolak kesudian Dato' Azmi itu.

3. Teh segelas

Ibu Izzati tidak menyangka sama sekali bahawa penebar roti canai di warung yang sering dikunjungi anaknya itu pelajar universiti. Berbeza darjat tidak bermakna kita boleh memandang rendah terhadap orang lain. Izzati berkelakuan pelik kerana sering memesan roti canai dan teh yang membuatkan ibunya bimbang. Hafiz, si penebar roti canai membantu ayah mengendalikan warung sementara pulang bercuti semester.

4. Garisan Abdullah

Abdullah tetap juga bersikap keanak-anakan kerana menyangka neneknya seorang yang pilih kasih walaupun dia telah bergelar doktor. Segala-galanya terjawab apabila neneknya memerlukan rawatan di hospital tempatnya bertugas. Neneknya hanya mahu Abdullah sendiri yang merawatnya. Fahamlah Abdullah bahawa selalu ada sebab-sebab tertentu mengapa sesetengah orang bersikap pilih kasih.

5. Inilah doa inilah pinta

Haniza selalu berburuk sangka terhadap suaminya sendiri kerana tidak pulang ke rumah selama beberapa hari. Setelah dimaklumkan oleh seorang teman suaminya, barulah dia tahu suaminya kemalangan. Namun begitu, Haniza berhadapan pula dengan masalah lain. Suaminya didapati hilang ingatan dan berjudi nombor ekor.

6. Menguak tirai itu

Seorang ibu muda yang bermadu dinasihati oleh seorang tukang cuci supaya bersabar menjalani alam rumah tangga. Selain itu, dinasihatkan juga supaya mengambil iktibar kisah-kisah isteri Nabi Muhammad yang sangat mujahadah dalam urusan keluarga. Diceritakan bagaimana akhirnya Nabi wafat dipangkuan isteri baginda sendiri.

7. Seanggun capsicum

Fuad selalu sahaja mengejek Shufarina yang bertubuh gempal. Cerpen ini berlatarkan sekolah, boleh juga dikatakan kisah cinta monyet.

8. Lirih doa untuk dia

Cerpen ini agak sarat cara penceritaannya. Peristiwa pengislaman Abul ' Ash dengan keyakinan dan kebenaran demi mempertahankan akidah Islam. Wajar sekali kita mengambil iktibar kesukaran para sahabat mempertahankan iman memandangkan kaum musyrikin sentiasa berusaha mematahkan hasrat Nabi Muhammad menyebarkan kebenaran. Islam hari ini begitu mudah dipandang remeh adakah kerana Islam kita hanya pada kad pengenalan tanpa amalan dan penambahbaikan.

9. Si manis

Tanggungjawab seorang lelaki yang bergelar suami itu tentunya berat. Bukan sahaja soal memberi nafkah, malahan soal mendidik isteri supaya berpegang teguh dengan nilai islami. Watak dalam cerpen ini dilihat berusaha mendidik isterinya supaya menutup aurat, suatu perkara penting supaya tidak terpalit dosa kerana mempamerkan aurat sesuka hati.

10. Malasnya mata

Satu pelajaran baru buat saya tentang penyakit strabismus atau juling mata yang dialami pelajar sekolah. Kebimbangan Cikgu Zalifah dengan kelakuan Zahirah di dalam kelas akhirnya terjawab apabila mengetahui anak muridnya ada masalah mata. Nampaknya saya sendiri perlu berhati-hati andai terdapat pelajar yang difikirkan tidak fokus rupa-rupanya ada masalah kesihatan. Jangan pula dijadikan alasan di dalam kelas Matematik saya. "Cikgu, saya ada penyakit strabismus!" Jenuh dibuatnya nanti.

11. Syarat Ghasidah Segaraga

Mengambil idea dari kisah Tiga Abdul, cerpen ini diolah dalam bentuk yang saya sukai. Betapa pentingnya dalam sesebuah perhubungan kekeluargaan itu adanya sifat saling memaafkan, sabar dan tidak berdendam. Tiga Abdul versi faham agama. Itu yang boleh saya katakan. Ghasidah yang menasihati bakal suaminya, Abdul Wahub supaya tidak mengikut telunjuk nafsu syaitan yang sering menggoda manusia menjauhi kebaikan.

12. Gulai aya untuk ayah

Seorang suami yang sudah lewat usia begitu merindui arwah isterinya. Arwah yang pandai mengambil hati, pandai mengurus rumah tangga dan pandai juga mendidik anak-anak. Dendam keluarga tidak bawa ke mana. Si suami mengenang kembali nasihat arwah supaya menjaga hukum Tuhan itu lebih baik daripada berebut harta.

13. Rautan Takdir

Watak Jannah dan Firdaus memang serasi. Jodoh, Allah yang tetapkan. Itulah kisah dalam cerpen ini yang tidak sukar untuk saya fahami.

14. Hijrah kasih

15. Si pemuda tampan

Dapat saya simpulkan bahawa Puan Monalita Mansor mengambil berat soal nilai-nilai murni dalam setiap cerpen yang dihasilkan. Ada sentuhan penulisan islami yang sangat perlu difahami. Betapa masyarakat kita pada hari ini mengalami keruntuhan moral yang amat membimbangkan. Sebagai seorang guru di sekolah, saya sangat khuatir dengan bahan bacaan yang dipilih oleh pelajar saya di sekolah. Saya sangat berharap mereka dapat memilih bahan yang baik untuk dihadam maknanya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tangisan ilmu

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Selesai solat Isya', adik tak bangun bangun. Adik duduk terus di atas sejadah. Hairan pula saya. "Adik menangis!" Ain bersuara separuh menjerit.

"Menangis, kenapa pula?" Saya bertanya ingin tahu sambil menjengah ke muka pintu bilik.

Ain yang duduk di sebelah adik menoleh ke belakang sambil berkata, "Tadi sebelum solat dia susun buku ikut jadual. Semuanya dah masukkan dalam beg."

"Kenapanya, dik?" Saya bertanya lagi seraya mendekati adik.

"Banyak sangat subjek kena belajar." Tersedu-sedan adik mengadu. Mengalir perlahan air matanya menuruni pipi. "Macam mana nak belajar."

"Sabarlah, menuntut ilmu mana ada yang senang." Umi bersuara dari arah ruang tamu lalu duduk berhampiran pintu bilik. Tidak pula umi masuk ke dalam bilik. "Boleh juga umi belajar daripada anak-anak tentang agama. Bukan saja saja suruh sekolah agama," kata umi sedikit sebak. "Adik seorang saja tak duduk asrama. Tak mudah juga nak hantar ambil tiap-tiap hari," kata umi lagi sambil melipat baju. "Kebetulan sekolah tu paling dekat dengan rumah kita yang sekarang. Duduk asrama nanti payah pula nak jaga makan minum."

Adik yang menghidap Nephrotic Syndrome sejak lapan tahun yang lalu satu-satunya anak abi dan umi yang tidak didaftarkan ke asrama. "Mak kena jadi doktor," pesan doktor dari Unit Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur. Adik tidak boleh mengambil sebarang makanan dan minuman, apatah lagi makanan ringan. Umi bimbang sungguh adik curi-curi membeli makanan ringan di kedai.

"Setakat nak belajar akademik, mana-mana pun boleh belajar," umi bersuara lagi. "Dapat juga doakan umi abi bila dah tak ada esok." Adik bermula tahun 2014 ini bersekolah di Sekolah Menengah Agama Al Falah kira-kira 8 km dari rumah. Mudahlah abi untuk mengambil dan menghantar ke sekolah. "Kak Akmar pun ada sekali kan." Akmar, kakak yang berbeza tiga tahun dengannya tahun ini abi tukarkan dari Sekolah Menengah Agama Al Wosto di Temerloh ke SMA Al Falah supaya dapat membantu adik di sekolah.

"Tabahkan hati, kuatkan semangat," tegas umi bersemangat. "Awak tak payah menoreh getah macam umi sekolah dulu dulu." Cerita yang umi selalu ulang-ulang, tetapi tetap segar penuh motivasi. "Umi dulu makan sekali sehari saja sebab tak cukup duit. Itu pun masak sendiri. Cari kayu api sendiri. Awak tak merasa."

Adik menyeka air matanya dengan tangan. Tak juga bangun bangun. Masih duduk di atas sejadah. "Kak Akmar boleh saja belajar. Subjek diniyyah dan akademik boleh saja belajar serentak. Sabarlah." Umi terus memberi motivasi. Saya hanya mendengar. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan akhir tahun 2013 dan PMR Akmar kedua-duanya baik. Mula-muka Akmar bersekolah di SMA Al Wosto dulu, Akmar pun ada masalah menyesuaikan diri.

Walaupun di sekolah fasiliti dan tenaga pengajarnya terhad, saya sangat kagum dengan warga sekolah. Guru, staf dan organisasi ibu bapanya sentiasa berusaha merangka program yang terbaik untuk kecemerlangan akhlak dan pelajaran pelajar-pelajar. "Memang  ada temuduga nak masuk sini. Saya tetap beri peluang kepada yang berminat supaya semua kawasan ada orang boleh jadi imam," janji pengetua.

Saya suka dengan kata-kata pengetua ini. Sangat berpandangan jauh. Beliau memikirkan kepentingan dan keperluan adanya generasi pelapis dididik dan diasuh dengan agama. Tidaklah masyarakat setempat kehilangan tempat rujuk soal dan permasalahan agama apabila ustaz ustazah yang sudah berumur tidak dapat lagi menjalankan tanggungjawab.

Insya-Allah, adik boleh. "Kerja sekolah?" Saya melihat adik sibuk membelek buku teks Bahasa Arab. "Kakak tahu ni." Sengaja saya memberitahu supaya adik tidak fikir subjek tu susah dipelajari.

"Tahulah. Ustazah ajar tadi," balasnya sambil mengukir senyum.

"Yalah tu. Awak tak siapkan pun. Soalan ni minta betulkan kalimah ni salah huruf." Saya memberitahu.

"Tadi adik belajar koordinator dalam Geo," katanya lagi.

"Oh, adik belajar tajuk koordinat tu dalam Geografi," kata Ain.

"Tahulah. Cikgu suruh berkenalan dengan kawan satu kelas. Kemudian tulis koordinat meja dalam buku ni," katanya lagi sambil menunjukkan kotak-kotak yang dilukis di dalam buku bergaris satu. Setiap kotak ditulis koordinat tertentu.

"Guru kelas masuk tak hari ni?" Umi bertanya. " Name tag tak dapat lagi kan."

"Cikgu masuk lantik ketua kelas dan penolong. Belum dapat lagi name tag." Adik memberitahu.

"Baguslah tu. Nanti dapatlah." Alhamdulillah, hari keempat adik sudah dapat menyesuaikan diri.

"Adik dah ada kawan. Ramai kawan kelas adik orang KL dan Selangor," bersungguh-sungguh bercerita.

"Duduk asramalah ya," saya menduga.

"Ada seorang dari Johor," katanya lagi.

"Biasalah tu. Sekolah asrama. Memang ada yang datang dari jauh. Ada tak yang tak berulang macam adik?"

"Ada. Rumah dia dekat belakang sekolah," kata adik sambil ketawa kecil.

Umi dan abi yang sedang duduk di sofa sekadar mendengar celoteh adik bercerita. Semoga adik dipermudahkan. Insya-Allah.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Barang naik

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Kain rentang di persimpangan jalan itu tidak berkibar. Awan gelap memayungi seluruh kawasan Batu Talam. Rintik-rintik halus hujan mula turun. Saya yang sedang memandu kereta membelok ke kanan jalan. Rumah kedai milik orang Melayu terletak di kanan jalan berhadapan dengan bangunan Tenaga Nasioanal Berhad. Saya membelek-belek naskhah Sinar Harian dan Kosmo yang ada. Hanya dua naskhah ini yang tinggal.

Saya meninjau isi dalam kedai di sudut kiri. Ada dua kotak minyak masak peket 1 kg. Setiap kotak ada 17 peket. Bermakna stok minyak semasa kedai ini lebih kurang 34 kg sahaja. Tiada minyak masak di dalam botol dipamer. Botol 1 kg, 3 kg mahupun 5 kg. "Minyak masak ni tak untung sangat jual." Terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata staf senior sewaktu bertugas di pejabat perdagangan dulu.

"Setiap 17 kilogram tu, entah berapa sen untungnya." Cerita staf yang lain. "Barang keperluan. Mesti ada. Pelaris, orang cari."

Beberapa bungkus tepung gandum kegunaan am bersusun di rak. Gula kasar. Susu pekat manis. Beras timbang adalah juga. Mungkin tidak sampai 15 kilogram stok beras yang ada. Kedai di kampung, barang keperluan cukup-cukup sahaja. "Masalah sekarang ni, semua mahal!" Mak cik berbaju kurung biru muda mengadu sambil membayar harga.

"Belum dua minggu sekolah, hampir 600 duit habis untuk yuran anak," kata pak cik yang sedang memilih susu tepung di rak belakang. Sengaja agaknya cakap kuat-kuat. Satu kedai dengar. "Senang-senang suruh rakyat berjimat." Berani sungguh pak cik ni bersuara. Saya baru sepuluh hari tinggal di sini kerana perlu membantu ayah yang tidak dapat memandu. Kasihan juga melihat orang kampung.

Dua bungkus roti berperisa saya ambil dari rak di sebelah kanan kaunter pembayaran. Satu berperisa kacang merah dan satu lagi berperisa kelapa. Boleh juga dibuat makan minum petang cicah air teh. Sebungkus RM 2.60. Campu Sinar Harian dan Kosmo, saya serahkan sekeping not merah kepada pak cik yang menjaga kaunter.

Usai menerima baki, saya keluar dari kedai. Seorang lelaki lewat 30-an memasuki kedai sambil mendukung kanak-kanak perempuan. "Ayah, nak tu." Tangannya menujuk ke arah rak yang penuh dengan segala jenis makanan ringan berbungkus cantik. Makanan itu juga menjadi perhatian.

Tidak betah saya berlama-lama, macam-macam menerjah kotak fikiran. Peniaga yang mencari rezeki. Bapa yang menyekolahkan anak-anak. Ibu yang berbelanja barang dapur. Anak yang mahu makan sedap. Apa agaknya dalam fikiran pihak berkenaan tentang golongan marhaen. Tidak ada hati perutkah mereka dengan mengatur kenaikan harga sesuka hati yang mengakibatkan perubahan rantaian harga di peringkat kampung begini. Saya tinggalkan kedai itu, pulang ke rumah dalam keadaan pening lalat. "Bukan salah peniaga, harga barang naik." Itu keputusan saya dalam hati.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Misi cinta

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Kaki abi terhempap kayu!" Umi memberitahu melalui telefon. "Awak bincanglah dengan De Jaid, balik ya," minta umi yang kebimbangan. "Nanti hantar abi ke hospital."  Cepat-cepat saya bersiap. Pulang ke Pahang. Malam itu juga. Perjalanan ke kampung malam itu terasa lain benar.

Meluru kami masuk ke dalam rumah setibanya di kampung. Bengkak kaki kanan abi. Sebak dibuatnya. Umi menampal halia yang ditumbuk di atas kaki abi buat sementara waktu. "Macam mana boleh jadi ni, abi?" Terus sahaja De Jaid bertanya.

"Abi tebang pokok, sambil tengok batang pokok tu tumbang, tak sedar pangkal pokok terkena kaki sendiri," kata abi.

"Selalunya umi tengok bila abi menebas. Tak sangka pula jadi macam ni," kata umi pula. Malam tu semua berkerumun di katil abi. Khairul yang juga menolong abi menebas turut memberitahu apa yang berlaku.

"Doktor kata, jari tengah patah," abi bercerita usai pulang dari Hospital Raub. Perlahan-lahan abi bergerak dibantu alat penyokong di kiri dan kanan yang diapit di bawah lengan. Kain putih berlilit melindungi kaki kanan abi. "Ujian, Allah bagi." Abi mengingatkan semua. Terhincut-hincut abi berjalan.

Khairul menumbuk-numbuk tanah di dalam lesung batu sambil memasukkan sedikit demi sedikit ketulan tanah. "Tak jumpalah umi. Tanah basah," adunya kepada umi. Hujan yang turun membasahi kawasan Batu Talam ini menyebabkan dia tidak dapat mencari tanah yang kering. Ruang tamu hari ini menjadi tempat menyelesaikan satu misi.

"Tumbuklah," umi memberi cadangan. Tanah yang terlalu lembap tidak dapat digunakan. "Dah siap tu, tapis." Umi memberi arahan lanjut. Khairul mengangguk tanda faham. "Kita dapatkan debu," kata umi sambil cuba meramas-ramas ketulan tanah yang sederhana besar dengan tangannya. "Senang sikit nak tumbuk."

"Ustazah Narimah yang ajar dulu cara bertayamum," Khairul bersuara sambil membuat gaya menepuk-nepuk lantai.  Saat menepuk lantai, Khairul membaca, "Bismillahirrahmanirrahim." Lafaz niat tayamum dibaca. Tangannya diangkat, dirapatkan kedua-dua belah tangan. Dilagakan sekali supaya debu tanah menipis di telapak tangan. "Lepas tu, buat macam ni," dia menerangkan bersungguh-sungguh sambil meraup tapak tangannya ke seluruh muka. "Niat dalam hati jangan lupa," dia mengingatkan.

Tapak tangannya menepuk semula lantai, diulang seperti tadi. "Mulakan dengan sebelah kanan," dilanjutkan penerangan lalu debu disapu dari hujung jari tangan kanan sehingga ke paras siku menggunakan tangan kiri. Diulang semula di sebelah kiri tangan menggunakan tangan kanan. Usai siap mengikut aturannya, dilanjutkan dengan bacaan doa' sama seperti berwhuduk. Abi tekun mendengar Khairul menunjukkan cara bertayamum.

"Khairul boleh ingat ya." Abi mengukir senyum. "Cara tu dia belajar masa di sekolah rendah. Hampir 7 tahun yang lalu," abi menambah. Alhamdulillah, Khairul anak abi dan umi yang ketujuh ini memang seorang yang fokus. Sebab itu dia mudah ingat hal-hal macam ni. Abi tidak dapat hendak berwhuduk seperti biasa memandangkan kecederaan kaki yang dialami sehari sebelumnya.

"Kaki ni masih berbalut. Jadi, air tak kena apabila berwudhuk," kata abi.

"Ya, sebab itu kita diajar untuk bertayamum," umi menambah sambil meletakkan debu tanah di atas sekeping kertas putih yang bersih. "Ain, ambil lagi dua helai kertas putih di atas meja tu," pinta umi kepada Ain.

"Kenapa nak lagi, umi?" Ain bertanya ingin tahu.

"Setiap debu atas kertas tu kita guna sekali sahaja," jelas umi sambil mengambil kertas daripada Ain.

"Muka, tangan kanan dan tangan kiri," tambah Khairul yang menjengah di muka pintu bilik.

Sementara abi bertayamum, umi berkata, "Ain, letakkan kerusi menghadap kiblat."

"Nak buat apa pula ni, umi?" Berkerut muka Ain kehairanan.

"Tengok ni," abi bersedia di hadapan kerusi menghadap kiblat. Ain terkebil-kebil melihat tingkah abi. Abi berdiri tegak lalu beristighfar perlahan, "Astaghfirullahalazim." Kedua-dua belah tangan diangkat. "Allahuakbar." Seketika kemudian abi duduk di atas kerusi. Setelah itu, abi mula merendahkan sedikit paras badan ke hadapan menandakan abi sedang rukuk. Abi duduk tegak semula untuk iktidal.

Paras badan kemudiannya diturunkan kembali. Kali ini lebih rendah daripada paras rukuk itu tadi. Ini menunjukkan abi sedang sujud. Abi duduk tegak semula dan kembali merendahkan badan. Rakaat yang pertama selesai dan diteruskan dengan rakaat yang kedua. Bagi tahiyyat awal, abi duduk sahaja. Rutin yang sama diulang sehingga cukuplah empat rakaat solat Zohor yang telah disempurnakan. Tahiyyat akhir, lalu memberi salam.

"Setiap bacaan waktu sujud, rukuk dan sebagainya sama sahaja macam kita solat seperti biasa," kata Khairul kepada Ain di ruang tamu.

"Taklah susah sangat nak solat," kata Ain mengangguk-angguk tanda faham.

"Islam itu mudah," umi mengingatkan.

"Ain nak solat duduklah," kata Ain tersenyum-senyum.

"Keringanan untuk orang sakit macam abi. Baru boleh solat macam tu," balas umi menerangkan.

"Kenapa orang sakit pun kena solat?" Ain bertanya lagi.

"Solat tu tiang agama. Wajib." Khairul menegaskan.

"Tanpa solat, jiwa kita mati!" Sengaja saya menambah tanda tanya Ain. Umi mengukir senyum. Misi cinta. Misi bertemu yang Maha Berkuasa. Waktu susah. Waktu senang. Tidak sedikit pun kita boleh mengabaikan tanggungjawab ini.

"Maknanya kena ada ustazlah di hospital, untuk ajar orang sakit bersolat." Ain memberi cadangan. Semua orang, tidak kira ustaz atau bukan ustaz perlu berperanan. Bukan mudah hendak memberi kesedaran. Itu belum berbicara soal menutup aurat lagi. Semoga Allah permudahkan. Kesembuhan jiwa perlu selari dengan kesembuhan fizikal.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

27 Disember 2013

Teks : Syahidah  Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Usai bersiap untuk solat Mahgrib, saya lihat telefon bimbit bergetar tanpa bunyi di atas rak baju. Apabila disemak peti masuk, ada panggilan tidak berjawab daripada umi. Hairan juga saya, umi jarang menelefon pada waktu solat begini. "Kakak, balik Pahang malam ni juga. Abi terhempap kayu!". Umi cepat-cepat memberitahu apabila saya menelefonnya semula.

Sebenarnya, saya tidak bercadang untuk pulang ke kampung dalam masa yang terdekat. Maklumlah, duduk menyewa di ibu kota. Pandai-pandailah berjimat. Setelah berbincang dengan adik, De Jaid, kami membuat keputusan untuk terus bertolak ke Raub. Asalnya selepas saya mengambil De Jaid di stesen LRT Taman Bahagia, kami mahu ke Hospital Kuala Lumpur melawat ibu saudara yang menghidap kanser usus.

"Abi dan Khairul menebas di belakang rumah." Saya mengulang cerita umi kepada De Jaid.

"Umi biasalah risau. Insya-Allah abi selamat," balas De Jaid positif. Biasalah orang lelaki selalu lebih tenang. Walhal saya tahu dalam hatinya tentu bimbang. Dua jam perjalanan dari Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ke Raub, Pahang malam itu terasa lain sahaja. Tidak tahu hendak digambarkan apa yang ada di dalam hati.

Tiba sahaja di Raub, De Jaid terus meluru masuk ke bilik abi. Abi bersandar pada dinding. Seperti selalu, riak wajahnya tenang sambil bercerita, "Entah macam mana, tiba-tiba batang pokok tu terkena jari kaki ni." Melihat kaki abi yang bengkak, sebak rasanya.

"Esok bawa abi ke hospital, ya," minta umi.

Kaki kanan abi berbalut putih. Alat penyokong membantu abi bergerak. Jari tengah kakinya patah. Tentulah sukar abi hendak memandu. "Ujian. Sikit saja ni," kata abi mengingatkan kami. Ya, ujian Allah beri. Kita sebagai hamba mesti reda. Siapalah kita untuk mendabik dada merasakan kita sudah cukup hebat. Sedangkan andai Allah tidak izinkan, belum tentu kita dapat menikmati rezeki yang diperoleh setiap hari.

http://syahidahmahassan.blogspot.com

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...