27 Disember 2013

Teks : Syahidah  Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Usai bersiap untuk solat Mahgrib, saya lihat telefon bimbit bergetar tanpa bunyi di atas rak baju. Apabila disemak peti masuk, ada panggilan tidak berjawab daripada umi. Hairan juga saya, umi jarang menelefon pada waktu solat begini. "Kakak, balik Pahang malam ni juga. Abi terhempap kayu!". Umi cepat-cepat memberitahu apabila saya menelefonnya semula.

Sebenarnya, saya tidak bercadang untuk pulang ke kampung dalam masa yang terdekat. Maklumlah, duduk menyewa di ibu kota. Pandai-pandailah berjimat. Setelah berbincang dengan adik, De Jaid, kami membuat keputusan untuk terus bertolak ke Raub. Asalnya selepas saya mengambil De Jaid di stesen LRT Taman Bahagia, kami mahu ke Hospital Kuala Lumpur melawat ibu saudara yang menghidap kanser usus.

"Abi dan Khairul menebas di belakang rumah." Saya mengulang cerita umi kepada De Jaid.

"Umi biasalah risau. Insya-Allah abi selamat," balas De Jaid positif. Biasalah orang lelaki selalu lebih tenang. Walhal saya tahu dalam hatinya tentu bimbang. Dua jam perjalanan dari Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ke Raub, Pahang malam itu terasa lain sahaja. Tidak tahu hendak digambarkan apa yang ada di dalam hati.

Tiba sahaja di Raub, De Jaid terus meluru masuk ke bilik abi. Abi bersandar pada dinding. Seperti selalu, riak wajahnya tenang sambil bercerita, "Entah macam mana, tiba-tiba batang pokok tu terkena jari kaki ni." Melihat kaki abi yang bengkak, sebak rasanya.

"Esok bawa abi ke hospital, ya," minta umi.

Kaki kanan abi berbalut putih. Alat penyokong membantu abi bergerak. Jari tengah kakinya patah. Tentulah sukar abi hendak memandu. "Ujian. Sikit saja ni," kata abi mengingatkan kami. Ya, ujian Allah beri. Kita sebagai hamba mesti reda. Siapalah kita untuk mendabik dada merasakan kita sudah cukup hebat. Sedangkan andai Allah tidak izinkan, belum tentu kita dapat menikmati rezeki yang diperoleh setiap hari.

http://syahidahmahassan.blogspot.com

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...