Misi cinta

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Kaki abi terhempap kayu!" Umi memberitahu melalui telefon. "Awak bincanglah dengan De Jaid, balik ya," minta umi yang kebimbangan. "Nanti hantar abi ke hospital."  Cepat-cepat saya bersiap. Pulang ke Pahang. Malam itu juga. Perjalanan ke kampung malam itu terasa lain benar.

Meluru kami masuk ke dalam rumah setibanya di kampung. Bengkak kaki kanan abi. Sebak dibuatnya. Umi menampal halia yang ditumbuk di atas kaki abi buat sementara waktu. "Macam mana boleh jadi ni, abi?" Terus sahaja De Jaid bertanya.

"Abi tebang pokok, sambil tengok batang pokok tu tumbang, tak sedar pangkal pokok terkena kaki sendiri," kata abi.

"Selalunya umi tengok bila abi menebas. Tak sangka pula jadi macam ni," kata umi pula. Malam tu semua berkerumun di katil abi. Khairul yang juga menolong abi menebas turut memberitahu apa yang berlaku.

"Doktor kata, jari tengah patah," abi bercerita usai pulang dari Hospital Raub. Perlahan-lahan abi bergerak dibantu alat penyokong di kiri dan kanan yang diapit di bawah lengan. Kain putih berlilit melindungi kaki kanan abi. "Ujian, Allah bagi." Abi mengingatkan semua. Terhincut-hincut abi berjalan.

Khairul menumbuk-numbuk tanah di dalam lesung batu sambil memasukkan sedikit demi sedikit ketulan tanah. "Tak jumpalah umi. Tanah basah," adunya kepada umi. Hujan yang turun membasahi kawasan Batu Talam ini menyebabkan dia tidak dapat mencari tanah yang kering. Ruang tamu hari ini menjadi tempat menyelesaikan satu misi.

"Tumbuklah," umi memberi cadangan. Tanah yang terlalu lembap tidak dapat digunakan. "Dah siap tu, tapis." Umi memberi arahan lanjut. Khairul mengangguk tanda faham. "Kita dapatkan debu," kata umi sambil cuba meramas-ramas ketulan tanah yang sederhana besar dengan tangannya. "Senang sikit nak tumbuk."

"Ustazah Narimah yang ajar dulu cara bertayamum," Khairul bersuara sambil membuat gaya menepuk-nepuk lantai.  Saat menepuk lantai, Khairul membaca, "Bismillahirrahmanirrahim." Lafaz niat tayamum dibaca. Tangannya diangkat, dirapatkan kedua-dua belah tangan. Dilagakan sekali supaya debu tanah menipis di telapak tangan. "Lepas tu, buat macam ni," dia menerangkan bersungguh-sungguh sambil meraup tapak tangannya ke seluruh muka. "Niat dalam hati jangan lupa," dia mengingatkan.

Tapak tangannya menepuk semula lantai, diulang seperti tadi. "Mulakan dengan sebelah kanan," dilanjutkan penerangan lalu debu disapu dari hujung jari tangan kanan sehingga ke paras siku menggunakan tangan kiri. Diulang semula di sebelah kiri tangan menggunakan tangan kanan. Usai siap mengikut aturannya, dilanjutkan dengan bacaan doa' sama seperti berwhuduk. Abi tekun mendengar Khairul menunjukkan cara bertayamum.

"Khairul boleh ingat ya." Abi mengukir senyum. "Cara tu dia belajar masa di sekolah rendah. Hampir 7 tahun yang lalu," abi menambah. Alhamdulillah, Khairul anak abi dan umi yang ketujuh ini memang seorang yang fokus. Sebab itu dia mudah ingat hal-hal macam ni. Abi tidak dapat hendak berwhuduk seperti biasa memandangkan kecederaan kaki yang dialami sehari sebelumnya.

"Kaki ni masih berbalut. Jadi, air tak kena apabila berwudhuk," kata abi.

"Ya, sebab itu kita diajar untuk bertayamum," umi menambah sambil meletakkan debu tanah di atas sekeping kertas putih yang bersih. "Ain, ambil lagi dua helai kertas putih di atas meja tu," pinta umi kepada Ain.

"Kenapa nak lagi, umi?" Ain bertanya ingin tahu.

"Setiap debu atas kertas tu kita guna sekali sahaja," jelas umi sambil mengambil kertas daripada Ain.

"Muka, tangan kanan dan tangan kiri," tambah Khairul yang menjengah di muka pintu bilik.

Sementara abi bertayamum, umi berkata, "Ain, letakkan kerusi menghadap kiblat."

"Nak buat apa pula ni, umi?" Berkerut muka Ain kehairanan.

"Tengok ni," abi bersedia di hadapan kerusi menghadap kiblat. Ain terkebil-kebil melihat tingkah abi. Abi berdiri tegak lalu beristighfar perlahan, "Astaghfirullahalazim." Kedua-dua belah tangan diangkat. "Allahuakbar." Seketika kemudian abi duduk di atas kerusi. Setelah itu, abi mula merendahkan sedikit paras badan ke hadapan menandakan abi sedang rukuk. Abi duduk tegak semula untuk iktidal.

Paras badan kemudiannya diturunkan kembali. Kali ini lebih rendah daripada paras rukuk itu tadi. Ini menunjukkan abi sedang sujud. Abi duduk tegak semula dan kembali merendahkan badan. Rakaat yang pertama selesai dan diteruskan dengan rakaat yang kedua. Bagi tahiyyat awal, abi duduk sahaja. Rutin yang sama diulang sehingga cukuplah empat rakaat solat Zohor yang telah disempurnakan. Tahiyyat akhir, lalu memberi salam.

"Setiap bacaan waktu sujud, rukuk dan sebagainya sama sahaja macam kita solat seperti biasa," kata Khairul kepada Ain di ruang tamu.

"Taklah susah sangat nak solat," kata Ain mengangguk-angguk tanda faham.

"Islam itu mudah," umi mengingatkan.

"Ain nak solat duduklah," kata Ain tersenyum-senyum.

"Keringanan untuk orang sakit macam abi. Baru boleh solat macam tu," balas umi menerangkan.

"Kenapa orang sakit pun kena solat?" Ain bertanya lagi.

"Solat tu tiang agama. Wajib." Khairul menegaskan.

"Tanpa solat, jiwa kita mati!" Sengaja saya menambah tanda tanya Ain. Umi mengukir senyum. Misi cinta. Misi bertemu yang Maha Berkuasa. Waktu susah. Waktu senang. Tidak sedikit pun kita boleh mengabaikan tanggungjawab ini.

"Maknanya kena ada ustazlah di hospital, untuk ajar orang sakit bersolat." Ain memberi cadangan. Semua orang, tidak kira ustaz atau bukan ustaz perlu berperanan. Bukan mudah hendak memberi kesedaran. Itu belum berbicara soal menutup aurat lagi. Semoga Allah permudahkan. Kesembuhan jiwa perlu selari dengan kesembuhan fizikal.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...