Barang naik

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Kain rentang di persimpangan jalan itu tidak berkibar. Awan gelap memayungi seluruh kawasan Batu Talam. Rintik-rintik halus hujan mula turun. Saya yang sedang memandu kereta membelok ke kanan jalan. Rumah kedai milik orang Melayu terletak di kanan jalan berhadapan dengan bangunan Tenaga Nasioanal Berhad. Saya membelek-belek naskhah Sinar Harian dan Kosmo yang ada. Hanya dua naskhah ini yang tinggal.

Saya meninjau isi dalam kedai di sudut kiri. Ada dua kotak minyak masak peket 1 kg. Setiap kotak ada 17 peket. Bermakna stok minyak semasa kedai ini lebih kurang 34 kg sahaja. Tiada minyak masak di dalam botol dipamer. Botol 1 kg, 3 kg mahupun 5 kg. "Minyak masak ni tak untung sangat jual." Terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata staf senior sewaktu bertugas di pejabat perdagangan dulu.

"Setiap 17 kilogram tu, entah berapa sen untungnya." Cerita staf yang lain. "Barang keperluan. Mesti ada. Pelaris, orang cari."

Beberapa bungkus tepung gandum kegunaan am bersusun di rak. Gula kasar. Susu pekat manis. Beras timbang adalah juga. Mungkin tidak sampai 15 kilogram stok beras yang ada. Kedai di kampung, barang keperluan cukup-cukup sahaja. "Masalah sekarang ni, semua mahal!" Mak cik berbaju kurung biru muda mengadu sambil membayar harga.

"Belum dua minggu sekolah, hampir 600 duit habis untuk yuran anak," kata pak cik yang sedang memilih susu tepung di rak belakang. Sengaja agaknya cakap kuat-kuat. Satu kedai dengar. "Senang-senang suruh rakyat berjimat." Berani sungguh pak cik ni bersuara. Saya baru sepuluh hari tinggal di sini kerana perlu membantu ayah yang tidak dapat memandu. Kasihan juga melihat orang kampung.

Dua bungkus roti berperisa saya ambil dari rak di sebelah kanan kaunter pembayaran. Satu berperisa kacang merah dan satu lagi berperisa kelapa. Boleh juga dibuat makan minum petang cicah air teh. Sebungkus RM 2.60. Campu Sinar Harian dan Kosmo, saya serahkan sekeping not merah kepada pak cik yang menjaga kaunter.

Usai menerima baki, saya keluar dari kedai. Seorang lelaki lewat 30-an memasuki kedai sambil mendukung kanak-kanak perempuan. "Ayah, nak tu." Tangannya menujuk ke arah rak yang penuh dengan segala jenis makanan ringan berbungkus cantik. Makanan itu juga menjadi perhatian.

Tidak betah saya berlama-lama, macam-macam menerjah kotak fikiran. Peniaga yang mencari rezeki. Bapa yang menyekolahkan anak-anak. Ibu yang berbelanja barang dapur. Anak yang mahu makan sedap. Apa agaknya dalam fikiran pihak berkenaan tentang golongan marhaen. Tidak ada hati perutkah mereka dengan mengatur kenaikan harga sesuka hati yang mengakibatkan perubahan rantaian harga di peringkat kampung begini. Saya tinggalkan kedai itu, pulang ke rumah dalam keadaan pening lalat. "Bukan salah peniaga, harga barang naik." Itu keputusan saya dalam hati.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...