Harapan yang tertinggal

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



"Adik, bangun. Dah pukul 5 pagi ni," kata umi sambil menggerak-gerakkan adik yang masih berselimut. Adik mengiring ke kiri. Selimutnya ditarik menutup muka. Akmar di sebelahnya terkebil-kebil menggosok mata. "Bangun, dik. Nanti terlambat," kata umi lagi tidak berputus asa. "Dah, pergilah masuk ke bilik air." Umi memandang lurus ke arah Akmar yang masih duduk di tepi katil.

Akmar bangun perlahan-lahan sambil mengambil tuala yang bersidai di sebelah almari. Umi memicit-micit ibu jari kaki kanan adik supaya adik sedar. Kata umi cara itu berkesan untuk membolehkan orang bangun tidur. Pernah juga saya mencubanya beberapa kali. "Sejuk," kata Akmar yang baru keluar dari bilik air. Menggigil kesejukan.

Umi terkocoh-kocoh menyiapkan sarapan di dapur. "Tak sempat nanti. Jam 6.30 pagi awak dah kena ada di sekolah." Laju umi menutur sambil menggoreng pisang di dalam kuali. Adik yang baru selesai solat Subuh bersiap berbaju putih dan berkain hijau. Lengkap dengan tudung labuh berlencana SMA Al Falah.

Saya mengambil kunci kereta dan terus ke ruang parkir. Enjin kereta dihidupkan dan cermin kereta diturunkan sedikit. Akmar dan adik tergopoh-gapah memasuki ke dalam kereta. Masing-masing memegang senaskhah al-Quran tafsir dan menyandang beg sekolah di belakang. Saya terus memandu ke arah jalan besar.

Suasana pagi yang gelap tanpa lampu jalan, terpaksalah juga dilalui. Ada  pula motosikal di hadapan yang tidak memasang lampu. Mujur tidak berlanggar. Pagi-pagi begini, nampak jugalah budak-budak sekolah menunggu bas di kiri dan kanan jalan. Entah jam berapa agaknya bas tiba nanti. Kira-kira 8 kilometer sampailah saya di sekolah.

Tepat jam 6.30 pagi. Usai selesai, saya pulang semula ke rumah. "Adik dan Akmar tak bawa bekal!" kata umi sebaik saya memasuki rumah. "Tertinggal. Sama-samalah tolong ingatkan. Tak mampu semua umi nak buat." Saya pun tidak pula memeriksa masa keluar dari rumah tadi.

Abi yang baru selesai mengaji menyudahkan ayat yang terakhir. " Nanti jam 7.30 pergi hantar bekal tu. Masa tu dah habis kelas hafazan," cadang abi.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...