Peluang yang terabai

Teks : Syahidah Mahassan





Ya Allah, mana hendak dicari ini. Semuanya penuh. Bercampur-campur lelaki perempuan. Entahkan bersaudara entahkan sekeluarga. Tidak mungkin satu dewan yang ada lapan gelanggang badminton ini saudara semahram. Tidak mungkin. Saudara seislam tentu sahaja betul. Salah siapa tidak menyediakan ruang yang lebih sesuai. Bukankah kita negara kita negara Islam. Negara yang mencatatkan agama rasminya agama Islam. Menjadi anggota pelbagai organisasi Islam antarabangsa pula.

"Puan, ada tempat kosong untuk saya dan anak berdua?" Berusaha saya mencari.

"Dari mana datang?" Saya pula yang ditanya kembali.

"Dari Taman Melati. Pinggir bandar," saya membalas sambil membetulkan seluar anak.

Patutkah kasihan dengan mereka atau dengan diri sendiri. Mereka tidak punya pilihan bukan. Samalah dengan saya sendiri. Manalah tempat tidur malam ini. Agaknya mereka terlebih dahulu menjadi mangsa bah. Nampaknya sudah berhari-hari mereka berlantaikan gelanggang beralaskan tikar. Itupun bukan semua dapat tempat yang sesuai. Entahkan selesa entahkan tidak bersesak-sesak begini.

"Taman Melati pun banjir?" Berkerut dahinya sambil bertanya.

Ikut hati mahu saja duduk di dalam rumah yang digenang air. Mana mungkin. Air sahaja paras tengkuk. Dokumen penting yang dapat diselamatkan pun belum kering dibawa ke sini. Apalah yang terjadi dengan barang-barang di dalam rumah. Agaknya seplastik besar cawan polisterina yang disangkut di belakang pintu dapur berenang-renang di dalam ruang dapur.

"Puan dari mana?" Giliran saya pula bertanya.

"Tempat biasa. Indera Mahkota." Kain tuala yang menutupi kepalanya dibetulkan. Ada juga yang mengambil inisiatif sendiri untuk menjaga aurat di dalam susah payah ini. Alhamdulillah, saya fikir semuanya buat tidak kisah. Keadaan terdesak, siapa tahu. Sedangkan pada waktu biasa-biasa tiada musibah pun, orang Islam tidak ambil peduli menjaga batas aurat.

"Puan kenal pak cik di sana?" Saya bertanya sambil menumpang duduk di atas tikar.

Boleh juga saya melepaskan lelah setelah berjam-jam di atas bot bomba tadi. Anak pun sudah terkulai kepenatan tertidur di pangkuan agak lama. Tumpang sebentar walaupun tidak disuruh. Untung juga pandai berbasa-basi. Bukan sengaja mengambil kesempatan. Mahu merehatkan diri sebentar memandangkan entah sampai bila perlu berkampung di dewan orang ramai yang sesak.

Tersentuh hati melihat warga emas yang berkerusi roda. Siapalah yang membantunya datang ke sini. Pasti sukar bergerak dalam keadaan sebegitu. Apa ya hendak dibuat. Hujan turun itu asal diingat-ingat maksudnya membawa rahmat. Apakah ibrah yang Allah mahu tonjolkan pada semua. Banjir kali ini benar-benar menggugah rasa. Kawasan penempatan yang tidak pernah diharungi air pun terkena tempiasnya. Bukan calang-calang, banjir lumpur pula.

"Satu taman perumahan dengan saya. Sebatang kara," balasnya sambil menutup badan kanak-kanak lelaki di sebelahnya dengan kain selimut biru putih. Anaknya mungkin. Entahlah, ramai sungguh orang dalam dewan ini. Bermacam ragam. Pelbagai peringkat umur. Tua, muda, lelaki, wanita, dewasa dan kanak-kanak. Hendak dikata berselang-seli atau dijaga batasnya tidak juga. Apalah yang saya fikir. Bukan mudah bila sudah jadi begini.

Jadi, hukum Tuhan hanya boleh dijaga pada waktu senang sahajakah. Terbayang-bayang di ruang minda video mengisahkan kesusahan rakyat Palestin dan Syria yang dibom sana sini tetap juga mempertahankan syariat walau nyawa sudah di hujung tanduk. Ya Allah, semudah inikah bangsa seagama saya ini memandang erti hukum hakam Tuhan. Menutup aurat itu wajib bagi yang baligh setahu saya.

"Ramai yang pakai tudung, tetapi sedikit yang menutup aurat!" Terngiang-ngiang di telinga suara Ustaz Saiful sewaktu menghadiri kuliah Maghrib di surau Taman Melati baru-baru ini. "Bukan perintah manusia, Allah suruh," katanya dengan nada tegas sambil melihat hadirin di hadapannya satu-persatu. Inilah buktinya barangkali. Malaysia baru diuji dengan bah, sudah lintang pungkang seluruh isi negara.

Di Amerika, bukan sekali dua negara itu didatangi ribut taufan. Soalnya bukan lagi sebab negara kaya tidak akan terkena bencana alam, tetapi sejauh manakah manusia mengambil iktibar melalui persekitaran. Kaya atau miskin, tetap sahaja akan berlaku. Bumi juga ada peraturannya sendiri. Lihat sahaja Jepun dengan teknologi nuklearnya. Reaktor nuklear yang bermasalah mengambil tempoh yang lama untuk dibersihkan pencemaran yang berlaku. Terpaksa pula kontraktor pembersihan di sana mencari gelandangan untuk membersihkan kawasan dengan kos yang rendah.

Jauh pula saya berfikir. Tempat tidur malam ini pun tidak lagi diketahui di mana. Ikut rasa mahu saja terlentang baring di lantai ini. Namun, kata hati seolah-olah tidak membenarkan. Tidak mengapalah asalkan dapat duduk, supaya lena anak tidak terganggu.  Ya Allah, solat Isyak saya bagaimana. Esok pagi waktu Subuh apatah lagi. Bagaimana orang-orang Muslim ini solat dalam keadaan yang terhad ruang dan keadaannya.

Bukankah sering dikongsi-kongsikan teman-teman di laman sosial digelar muka buku yang saya melayukan sendiri perkataanya, tentang gambar-gambar orang solat di mana-mana. Satu video berlatarkan Mesir di dataran Rabaah dengan sejumlah besar Muslim di sana bersolat secara jemaah. Ini berlaku ekoran mereka berpakat berkumpul selama mungkin meminta pimpinan negara padang pasir itu bertindak demi kesejahteraan Mesir bumi anbiya'.

Tidak dilupa gambar geng motosikal besar yang tidak mahu digelar mat rempit berbaju hitam tebal berhenti solat di lebuh raya dan jalan-jalan di mana-mana. Bukankah Islam itu tidak rumit sebenarnya. Bukankah Islam itu lengkap peraturan dan kemudahan beserta cara bagaimana solat itu tetap juga perlu dilaksanakan. Termasuk di dalam rukun Islam lagi-lagilah kalimah solat itu sendiri begitu banyak wujudnya di dalam kitab mulia bergelar al-Quran.

"Ambillah ini. Buat menghilang haus." Sebotol air mineral 500 ml bertukar tangan. Saya ambil sahaja tanpa rasa malu. Mahu juga cadangnya meminta dari tadi. Untung-untung dapat roti sekali. "Ini sahaja yang tinggal. Esok selepas Subuh waktu sarapan adalah makanan disediakan." Roti berperisa kacang merah saya ambil daripadanya. Agaknya orang ini telahannya menembusi minda saya. Faham-faham sahaja saya yang kelaparan.

Kasihan anak saya. Tidak dapatlah dia makan malam ini. Sudah tertidur lama. Mahu dikejut, bimbang pula. "Sembang-sembang ni. Nama tak tahu. Saya Kak Hasnah." Dia yang murah hati memperkenalkan diri.

"Ain. Ain Mariana." Saya mengukir senyum membalas keikhlasannya bersahabat. "Bila Kak Hasnah datang ke pusat pemindahan ni?" Kawasan perumahan Inderan Mahkota memang tempat wajib banjir di daerah Kuantan. Setiap tahun, penduduk kawasan itu selalu berjaga-jaga. Saya menjangka pasti Kak Hasnah datang lebih awal.

"Semalam lagi. Air naik terlalu cepat. Saya sekeluarga sedang tidur." Bersungguh-sungguh dia bercerita. " Kami tak sempat buat apa-apa. Selepas kejutkan anak-anak, terus sahaja kami keluar dari rumah."

"Samalah juga dengan saya, kak," kata saya sambil menganggukkan kepala.

"Kami harungi air dalam gelap. Jiran-jiran pun tak dapat buat apa-apa." Seorang wanita di sebelah Kak Hasnah menyampuk perbualan kami. Dia tadinya berbaring, sekarang bangun pula menyertai saya dan Kak Hasnah. "Suami saya telefon pihak berkuasa. Tiada yang mengangkat." Jujurnya memaklumkan kepada kami berdua.

"Bantuan lewat sampai," adu Kak Hasnah sambil memandang saya dengan wajah sayu. Perkara sebeginilah yang selalu menyebabkan bertambah susahnya orang sedang kesusahan. Hendak mengadu kepada siapa lagi. Astaghfirullahalazim. Bukankah Allah sentiasa mendengar hamba-Nya yang mengingatinya.

"Kak, saya hendak solat. Boleh saya tumpangkan anak saya sekejap di sini." Saya terus sahaja meminta izin untuk bangun.

"Ain tidur sahajalah di sini nanti. Nanti akak suruh suami cari tempat lain. Tahulah dia usahakan," Kak Hasnah menepuk tikar biru berbunga putih yang kami semua duduki. "Kasihan anak Ain sudah terlelap. Menangis pula dia nanti jika dialih." Ya Allah, sungguh malunya saya kerana hanya tahu mengeluh. Sedangkan baru sahaja saya berniat untuk beribadat, sudah datang pertolongan dari-Mu.

Sungguh Kau Maha Mendengar niat dan detikan hati ini. Kau sampaikan ilham buat Kak Hasnah membantu diri yang sedang kesusahan. Mata saya meliar di segenap ruang dewan. Di hujung penjuru kiri dewan di bahagian belakang nampaknya ada papan tanda bertulis tandas yang bersimbol wanita. Perlahan-lahan saya berjalan sambil cuba menyelit di dalam dewan yang padat bagaikan tin sardin ini.

Usai membersihkan diri seadanya dan berwhuduk, saya mendekati semula tempat Kak Hasnah tadi. "Ambil kain batik ni. Agak besar untuk dibuat kain. Tudung labuh akak ni awak buat kain telekung," kata wanita yang dipanggil Kak Sal di sebelah Kak Hasnah sambil menyerahkan peralatan solat kepada saya.

"Terima kasih, kak. Terima kasih." Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata betapa bersyukurnya saya hari ini. Dapat juga saya solat walaupun di tengah-tengah manusia yang pelbagai ragam di dalam dewan. Sudah lewat malam, ramai yang sudah tidur. Mujur lampu dewan masih terbuka. Lebih memudahkan mangsa banjir untuk bergerak. Bercampur lelaki perempuan begini, lebih baiklah lampu dipasang. Kak Hasnah dan Kak Sal juga akhirnya melelapkan mata masing-masing.

Sungguh-sungguh saya bersolat malam itu. Tidak saya peduli bunyi berdengkur penghuni dewan atau apa sekalipun. Hanya Allah sebaik-baik tempat mengadu. Terasa malu pula selama ini tidak pula saya mengambil kesempatan untuk bangun malam. Dewan ini jugalah akhirnya menjadi saksi seorang hamba Allah yang tidak tahu manusia manakah yang dapat membantunya.

Selesai solat Isyak, saya lanjutkan dengan solat sunat. Saya memang tidak dapat menerima keadaan untuk tidur di dalam dewan begini. Biarlah anak saya sahaja tidur cukuplah. Tidak perlu lagi saya meminta lebih. Bukanlah niat memandang rendah kepada penghuni yang lain. Pihak berwajib sepatutnya menyediakan ruang khas dan mengambil kira soal syariat Allah. Bencana alam memang tidak dapat dielak, tetapi manusia yang dikurniakan akal sepatutnya berfikir. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa semuanya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...