Pemimpin yang terpimpin

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle/Koleksi peribadi

Tahun baru, azam baru. Jadi semangat juga baru. Isnin baru-baru ini senarai kepimpinan pengawas diumumkan dalam perhimpunan sekolah. Ada muka-muka baru yang dilantik dan ada juga pengawas yang dikekalkan. "Selamat bertanggungjawab," ucap saya kepada Atiqah yang dipilih menjadi penolong ketua pengawas bagi sesi 2014. Saya hanya sempat mengajar Atiqah pada tahun lepas bagi subjek Sains Tingkatan 4.

"Cikgu." Atiqah yang masih terkejut atas pelantikan tersebut tidak terluah apa yang hendak dikatakan.

"Kelak akan dipersoalkan amanah ni," pesan guru penolong kanan kepada barisan kepimpinan.


"Tak apakah kita letakkan nama pelajar ni dalam kumpulan usrah ni. Selalunya dia jadi ketua." Ustazah Hidayah yang prihatin menyatakan pandangan.

"Andai seorang pemimpin tidak boleh dipimpin, dia bukanlah pemimpin yang baik." Sengaja saya memberikan pendapat sebegini. Tiada salahnya apabila seorang pemimpin itu mendengar pula apa-apa pandangan bersesuaian daripada orang bawahan. Selama ini boleh jadi tanpa disedari, orang yang di bawah ini mempunyai idea dan ilmu yang lebih baik.

Bagi menyelesaikan permasalahan bersama, sangat penting adanya semangat saling menasihati supaya seorang pemimpin itu tidak syok sendiri. Nama pun amanah, tidak boleh dipandang lekeh. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan. Ada yang pandai berbicara tetapi gerak kerjanya sederhana. Ada pula yang gerak kerjanya cemerlang tetapi pengucapan awamnya masih perlu diperbaiki.

Insya-Allah, pelajar-pelajar yang bergelar remaja ini akan menjadi seseorang yang hebat di dunia ini malah tidak pula mengabaikan akhirat. Perlahan-lahanlah guru mendidik, namun perkara yang salah tetap juga perlu diperbetulkan. Masih jauh perjalanan yang mesti ditempuhi oleh anak muda ini.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...