Rindu

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle


Nyayian lagu sendu terdengar-dengar dari arah tangga. Dicari-cari orangnya tidak pula berjumpa. Siapa pula yang menangis petang-petang ini.

"Awak nampak tak siapa yang menangis?"

Aisha yang baru selesai menggunakan telefon awam menggelengkan kepala sambil berkata, "Saya nampak ada orang lalu depan lif, cikgu."

Maklumlah, satu sekolah sudah biasa dengan situasi percubaan pelajar baru menyesuaikan diri tinggal di asrama. "Cikgu rasa cikgu tahu siapa," saya membalas lalu meninggalkan Aisha. Belum sebulan lagi sekolah bermula, nampaknya masih ada pelajar yang teringat akan ayah ibu dan kampung halaman.

"Ibu, ada orang kacau Ali," kata seorang pelajar banin Tingkatan 1 di telefon berhadapan kelas 3 Asim. Saya mengukir senyum melihat keletahnya di sebalik pintu. Pada waktu kelas Matematik yang pertama minggu lepas, ada juga saya menegurnya. Apabila diberitahu pelajar ini sukar menyesuaikan diri dengan sekolah, barulah saya tahu perkara sebenar.

"Hendak jadi murabbi, mesti sabar." Ustazah Khadijah berpesan. Saya ini tahap kesabarannya ada batasan juga. Perlu belajar lagi nampaknya. "Mesti pandai pujuk," katanya lagi. Teknik pujuk memujuk ini memang saya tidak tahu bagaimana. Cukuplah latihan dan tugasan yang saya berikan disiapkan.

"Cikgu Syida garang sangat," adu seorang pelajar. Lucu juga, gara-gara meninggikan suara sedikit, disangka pula saya sedang marah. Niat asal hanya untuk menegur supaya masuk ke kelas. Lain pula jadinya.

"Waktu inilah, dapat tahu. Layak atau tidak menjadi murabbi." Kata-kata yang menusuk jauh di lubuk hati. Insya-Allah, perlu skil juga untuk memastikan semua pelajar Tingkatan 1 ini dapat fokus dalam pelajaran supaya tidak terlalu berfikir tentang rumah.

"Saya tak nak sekolah di sini." Nekad pelajar ini memberitahu. Beruntung sebenarnya pelajar-pelajar sekolah sekarang. Ibu bapa mudah berhubung dengan pihak sekolah untuk bertanyakan perihal anak masing-masing. Harap-harap, seminggu dua lagi tiada lagi pelajar yang menangis tidak mahu masuk ke kelas. Tertinggal pula pelajaran nanti. Rugi!

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...