Tangisan ilmu

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle



Selesai solat Isya', adik tak bangun bangun. Adik duduk terus di atas sejadah. Hairan pula saya. "Adik menangis!" Ain bersuara separuh menjerit.

"Menangis, kenapa pula?" Saya bertanya ingin tahu sambil menjengah ke muka pintu bilik.

Ain yang duduk di sebelah adik menoleh ke belakang sambil berkata, "Tadi sebelum solat dia susun buku ikut jadual. Semuanya dah masukkan dalam beg."

"Kenapanya, dik?" Saya bertanya lagi seraya mendekati adik.

"Banyak sangat subjek kena belajar." Tersedu-sedan adik mengadu. Mengalir perlahan air matanya menuruni pipi. "Macam mana nak belajar."

"Sabarlah, menuntut ilmu mana ada yang senang." Umi bersuara dari arah ruang tamu lalu duduk berhampiran pintu bilik. Tidak pula umi masuk ke dalam bilik. "Boleh juga umi belajar daripada anak-anak tentang agama. Bukan saja saja suruh sekolah agama," kata umi sedikit sebak. "Adik seorang saja tak duduk asrama. Tak mudah juga nak hantar ambil tiap-tiap hari," kata umi lagi sambil melipat baju. "Kebetulan sekolah tu paling dekat dengan rumah kita yang sekarang. Duduk asrama nanti payah pula nak jaga makan minum."

Adik yang menghidap Nephrotic Syndrome sejak lapan tahun yang lalu satu-satunya anak abi dan umi yang tidak didaftarkan ke asrama. "Mak kena jadi doktor," pesan doktor dari Unit Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur. Adik tidak boleh mengambil sebarang makanan dan minuman, apatah lagi makanan ringan. Umi bimbang sungguh adik curi-curi membeli makanan ringan di kedai.

"Setakat nak belajar akademik, mana-mana pun boleh belajar," umi bersuara lagi. "Dapat juga doakan umi abi bila dah tak ada esok." Adik bermula tahun 2014 ini bersekolah di Sekolah Menengah Agama Al Falah kira-kira 8 km dari rumah. Mudahlah abi untuk mengambil dan menghantar ke sekolah. "Kak Akmar pun ada sekali kan." Akmar, kakak yang berbeza tiga tahun dengannya tahun ini abi tukarkan dari Sekolah Menengah Agama Al Wosto di Temerloh ke SMA Al Falah supaya dapat membantu adik di sekolah.

"Tabahkan hati, kuatkan semangat," tegas umi bersemangat. "Awak tak payah menoreh getah macam umi sekolah dulu dulu." Cerita yang umi selalu ulang-ulang, tetapi tetap segar penuh motivasi. "Umi dulu makan sekali sehari saja sebab tak cukup duit. Itu pun masak sendiri. Cari kayu api sendiri. Awak tak merasa."

Adik menyeka air matanya dengan tangan. Tak juga bangun bangun. Masih duduk di atas sejadah. "Kak Akmar boleh saja belajar. Subjek diniyyah dan akademik boleh saja belajar serentak. Sabarlah." Umi terus memberi motivasi. Saya hanya mendengar. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan akhir tahun 2013 dan PMR Akmar kedua-duanya baik. Mula-muka Akmar bersekolah di SMA Al Wosto dulu, Akmar pun ada masalah menyesuaikan diri.

Walaupun di sekolah fasiliti dan tenaga pengajarnya terhad, saya sangat kagum dengan warga sekolah. Guru, staf dan organisasi ibu bapanya sentiasa berusaha merangka program yang terbaik untuk kecemerlangan akhlak dan pelajaran pelajar-pelajar. "Memang  ada temuduga nak masuk sini. Saya tetap beri peluang kepada yang berminat supaya semua kawasan ada orang boleh jadi imam," janji pengetua.

Saya suka dengan kata-kata pengetua ini. Sangat berpandangan jauh. Beliau memikirkan kepentingan dan keperluan adanya generasi pelapis dididik dan diasuh dengan agama. Tidaklah masyarakat setempat kehilangan tempat rujuk soal dan permasalahan agama apabila ustaz ustazah yang sudah berumur tidak dapat lagi menjalankan tanggungjawab.

Insya-Allah, adik boleh. "Kerja sekolah?" Saya melihat adik sibuk membelek buku teks Bahasa Arab. "Kakak tahu ni." Sengaja saya memberitahu supaya adik tidak fikir subjek tu susah dipelajari.

"Tahulah. Ustazah ajar tadi," balasnya sambil mengukir senyum.

"Yalah tu. Awak tak siapkan pun. Soalan ni minta betulkan kalimah ni salah huruf." Saya memberitahu.

"Tadi adik belajar koordinator dalam Geo," katanya lagi.

"Oh, adik belajar tajuk koordinat tu dalam Geografi," kata Ain.

"Tahulah. Cikgu suruh berkenalan dengan kawan satu kelas. Kemudian tulis koordinat meja dalam buku ni," katanya lagi sambil menunjukkan kotak-kotak yang dilukis di dalam buku bergaris satu. Setiap kotak ditulis koordinat tertentu.

"Guru kelas masuk tak hari ni?" Umi bertanya. " Name tag tak dapat lagi kan."

"Cikgu masuk lantik ketua kelas dan penolong. Belum dapat lagi name tag." Adik memberitahu.

"Baguslah tu. Nanti dapatlah." Alhamdulillah, hari keempat adik sudah dapat menyesuaikan diri.

"Adik dah ada kawan. Ramai kawan kelas adik orang KL dan Selangor," bersungguh-sungguh bercerita.

"Duduk asramalah ya," saya menduga.

"Ada seorang dari Johor," katanya lagi.

"Biasalah tu. Sekolah asrama. Memang ada yang datang dari jauh. Ada tak yang tak berulang macam adik?"

"Ada. Rumah dia dekat belakang sekolah," kata adik sambil ketawa kecil.

Umi dan abi yang sedang duduk di sofa sekadar mendengar celoteh adik bercerita. Semoga adik dipermudahkan. Insya-Allah.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...