Ulasan E-book Rautan Takdir

Teks : Syahidah Mahassan

Alhamdulillah, selesai juga saya membaca semula keseluruhan E-book Rautan Takdir karya Puan Monalita Mansor ini. Memandangkan saya ini bukanlah berlatar belakang sastera, dapatlah juga saya faham sedikit demi sedikit perkataan seperti naratif, imbas kembali, imbas muka dan banyak lagi. Asasnya sebenarnya telah pun dipelajari di sekolah lagi. Bak kata Puan Monalita asas cerpen 'Aku sebatang pensel' misalnya.

Lucu juga ya. Saya fikir saya tidak pernah mempelajari sastera. Rupa-rupanya Cikgu Zaleha, Cikgu Saroya, Cikgu Maznah dan ramai lagi guru Bahasa Melayu saya sudah pun memperkenalkan dunia penulisan ini kepada saya. Saya sahaja yang tidak menyedarinya. Baiklah, berikut adalah ulasan ringkas setiap cerpen yang ada dalam E-book ini.

1. Kesasar dalam terang

Anak yang tidak beradab dengan ibunya, Hani sering diserang penyakit misteri seperti meracau-racau tidak tentu hala. Solusi terbaik terletak dalam diri seseorang apabila mahu menjadi tenang terutamanya dengan menjaga solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Reda ibu sangat penting untuk mencapai reda Allah. Sikap kasar Hani terhadap ibunya akhirnya memakan diri. Hati ibu mana yang tidak terusik melihat anak sendiri tidak sihat. Itulah ibu, redanya boleh membuatkan kita tenang.

2. Apa sahaja mahumu

Cerpen dewasa ini mengisahkan pertemuan semula Dato' Azmi dan Cik Hairiah di suatu majlis makan malam yang gemilang. Tidak disangka rupa-rupanya Dato' Azmi bersungguh melamar Hairiah dan memperkenalkan dengan keluarganya.  Terkenang-kenang kembali saat suka duka kisah zaman sekolah yang mencuit hati. Tidak pula Hairiah menolak kesudian Dato' Azmi itu.

3. Teh segelas

Ibu Izzati tidak menyangka sama sekali bahawa penebar roti canai di warung yang sering dikunjungi anaknya itu pelajar universiti. Berbeza darjat tidak bermakna kita boleh memandang rendah terhadap orang lain. Izzati berkelakuan pelik kerana sering memesan roti canai dan teh yang membuatkan ibunya bimbang. Hafiz, si penebar roti canai membantu ayah mengendalikan warung sementara pulang bercuti semester.

4. Garisan Abdullah

Abdullah tetap juga bersikap keanak-anakan kerana menyangka neneknya seorang yang pilih kasih walaupun dia telah bergelar doktor. Segala-galanya terjawab apabila neneknya memerlukan rawatan di hospital tempatnya bertugas. Neneknya hanya mahu Abdullah sendiri yang merawatnya. Fahamlah Abdullah bahawa selalu ada sebab-sebab tertentu mengapa sesetengah orang bersikap pilih kasih.

5. Inilah doa inilah pinta

Haniza selalu berburuk sangka terhadap suaminya sendiri kerana tidak pulang ke rumah selama beberapa hari. Setelah dimaklumkan oleh seorang teman suaminya, barulah dia tahu suaminya kemalangan. Namun begitu, Haniza berhadapan pula dengan masalah lain. Suaminya didapati hilang ingatan dan berjudi nombor ekor.

6. Menguak tirai itu

Seorang ibu muda yang bermadu dinasihati oleh seorang tukang cuci supaya bersabar menjalani alam rumah tangga. Selain itu, dinasihatkan juga supaya mengambil iktibar kisah-kisah isteri Nabi Muhammad yang sangat mujahadah dalam urusan keluarga. Diceritakan bagaimana akhirnya Nabi wafat dipangkuan isteri baginda sendiri.

7. Seanggun capsicum

Fuad selalu sahaja mengejek Shufarina yang bertubuh gempal. Cerpen ini berlatarkan sekolah, boleh juga dikatakan kisah cinta monyet.

8. Lirih doa untuk dia

Cerpen ini agak sarat cara penceritaannya. Peristiwa pengislaman Abul ' Ash dengan keyakinan dan kebenaran demi mempertahankan akidah Islam. Wajar sekali kita mengambil iktibar kesukaran para sahabat mempertahankan iman memandangkan kaum musyrikin sentiasa berusaha mematahkan hasrat Nabi Muhammad menyebarkan kebenaran. Islam hari ini begitu mudah dipandang remeh adakah kerana Islam kita hanya pada kad pengenalan tanpa amalan dan penambahbaikan.

9. Si manis

Tanggungjawab seorang lelaki yang bergelar suami itu tentunya berat. Bukan sahaja soal memberi nafkah, malahan soal mendidik isteri supaya berpegang teguh dengan nilai islami. Watak dalam cerpen ini dilihat berusaha mendidik isterinya supaya menutup aurat, suatu perkara penting supaya tidak terpalit dosa kerana mempamerkan aurat sesuka hati.

10. Malasnya mata

Satu pelajaran baru buat saya tentang penyakit strabismus atau juling mata yang dialami pelajar sekolah. Kebimbangan Cikgu Zalifah dengan kelakuan Zahirah di dalam kelas akhirnya terjawab apabila mengetahui anak muridnya ada masalah mata. Nampaknya saya sendiri perlu berhati-hati andai terdapat pelajar yang difikirkan tidak fokus rupa-rupanya ada masalah kesihatan. Jangan pula dijadikan alasan di dalam kelas Matematik saya. "Cikgu, saya ada penyakit strabismus!" Jenuh dibuatnya nanti.

11. Syarat Ghasidah Segaraga

Mengambil idea dari kisah Tiga Abdul, cerpen ini diolah dalam bentuk yang saya sukai. Betapa pentingnya dalam sesebuah perhubungan kekeluargaan itu adanya sifat saling memaafkan, sabar dan tidak berdendam. Tiga Abdul versi faham agama. Itu yang boleh saya katakan. Ghasidah yang menasihati bakal suaminya, Abdul Wahub supaya tidak mengikut telunjuk nafsu syaitan yang sering menggoda manusia menjauhi kebaikan.

12. Gulai aya untuk ayah

Seorang suami yang sudah lewat usia begitu merindui arwah isterinya. Arwah yang pandai mengambil hati, pandai mengurus rumah tangga dan pandai juga mendidik anak-anak. Dendam keluarga tidak bawa ke mana. Si suami mengenang kembali nasihat arwah supaya menjaga hukum Tuhan itu lebih baik daripada berebut harta.

13. Rautan Takdir

Watak Jannah dan Firdaus memang serasi. Jodoh, Allah yang tetapkan. Itulah kisah dalam cerpen ini yang tidak sukar untuk saya fahami.

14. Hijrah kasih

15. Si pemuda tampan

Dapat saya simpulkan bahawa Puan Monalita Mansor mengambil berat soal nilai-nilai murni dalam setiap cerpen yang dihasilkan. Ada sentuhan penulisan islami yang sangat perlu difahami. Betapa masyarakat kita pada hari ini mengalami keruntuhan moral yang amat membimbangkan. Sebagai seorang guru di sekolah, saya sangat khuatir dengan bahan bacaan yang dipilih oleh pelajar saya di sekolah. Saya sangat berharap mereka dapat memilih bahan yang baik untuk dihadam maknanya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...