Amanah

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

"Atiqah, kejutkan semua orang. Sekarang  juga." Terkebil-kebil Atiqah melihat saya dari dalam khemahnya. Saya yang tidak sabar terus sahaja mengejutkannya yang sedang tidur di khemah paling hujung di dataran. "Cepat, semua berkumpul." Saya mengarah lagi. Kesunyian tapak perkhemahan diganggu oleh suara saya yang agak kuat. Dua orang pelajar banin dari tapak perkhemahan di sebelah kiri memandang ke arah saya. Barangkali giliran mereka bertugas menjaga kawasan tapak perkhemahan.

Tapak perkhemahan banin dan banat tidak begitu jauh. Namun, masih dalam kawalan. Kebetulan seorang guru lelaki juga turut serta di dalam salah satu khemah berdekatan khemah pelajar banin. Cepat-cepat Atiqah bangun bergerak mengejutkan teman-teman yang ada dalam lima khemah yang lain. "Bangun, bangun. Cikgu nak jumpa." Terpisat-pisat mata masing-masing apabila dua puluh empat pelajar banat berbaris menghadap saya dan guru-guru yang lain.

"Cikgu nak semua orang jujur malam ni." Saya bersuara tanpa membuang masa. "Siapa ada bawa gajet, mengaku sekarang," kata saya sambil memandang lurus ke arah pelajar banat yang ada. Tiada seorang pun yang berani menjawab. Tidak sampai sejam mereka tidur, ada pula yang mengganggu.



"Tak ada, cikgu," beberapa orang pelajar bersuara sambil menggelengkan kepala. Pelajar yang lain senyap sahaja entahkan sedar entahkan tidak.

"Betul tak ada ni. Saya dapat aduan ada pelajar banat bawa telefon bimbit waktu solat Maghrib tadi." Saya berkata sambil memandang seorang demi seorang pelajar. Ada yang menundukkan kepala tidak berani bertentang mata.

"Betul cikgu, saya yakin tiada yang bawa," bersungguh-sungguh Atiqah selaku penghuluwati menyatakan pendiriannya. "Percayalah kami, cikgu." Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Penghuni kem yang lain sudah nyenyak diulit mimpi. Saya tahu pelajar-pelajar mengantuk. Mereka telah diperingatkan bahawa barang larangan tidak boleh dibawa.

"Saya mahu ada yang mengaku juga malam ni. Berdirilah sampai esok kalau tak ada yang mengaku." Sungguh teruji rasanya, apabila mendapat aduan pelajar banat melanggar peraturan. Masing-masing menunduk. Kepenatan.

"Awak bawa telefon?" Seorang demi seorang disoal dengan soalan yang sama. Sehinggalah pelajar banat yang terakhir, masih tiada yang mengaku. "Amanahlah, amanah." Saya mengingatkan. "Cikgu bukan nak marah sangat. Tapi, kamu barisan kepimpinan sekolah. Pengawas pun buat hal. Macam mana nak jaga disiplin di sekolah nanti."

"Tolonglah, percaya pada kami. Tak ada yang bawa." Seorang pelajar meninggikan suara. "Periksalah khemah kami semua, tak ada." Malam bersejarah buat pelajar-pelajar ini. Malam bersejarah juga buat saya. Cikgu pun sebenarnya perlu sabar. Tidak boleh terus menuduh dan menyalahkan pelajar. Remaja ini tidak suka dirinya disiasat. Itu melanggar hak peribadi mereka. Walaupun memang mereka bersalah. Sekiranya mereka tidak bersalah, lagilah mereka tidak setuju dengan apa yang cikgu lakukan.

Alhamdulillah, tiada pelajar banat yang membawa telefon bimbit sepanjang tiga hari dua malam kem kepimpinan di Kem Lembah Pangsun di Hulu Langat pada tahun ini. Bimbang juga, barisan kepimpinan yang dilantik juga melanggar peraturan sekolah dan peraturan sewaktu program di bawah kelolaan sekolah. Saya juga perlu muhasabah diri. "Sabarlah, jadi cikgu perlu sabar." Nasihat fasilitator kepada saya pada hari terakhir kem. Semoga Allah sentiasa mengingatkan saya sebagai guru yang juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Muhasabah buat cikgu

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle/Koleksi peribadi 

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, hari ini masih berpeluang menghirup udara segar dan dapat pula bersarapan sepinggan nasi lemak. Sungguh, bersyukur itu tanda kita berterima kasih atas nikmat yang banyak.

Saya baru sahaja selesai membawa barisan kepimpinan pelajar ke kem di Hulu Langat. Ternyata bukan sahaja pelajar yang mendapat semangat baru setelah mengikuti kem kepimpinan tersebut, saya sendiri dapat belajar beberapa perkara. Ini termasuklah bagaimana cara berkesan untuk mendidik pelajar.



Insya-Allah, saya akan kongsikan pada entri yang seterusnya.

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Bagaimana kita bersyukur

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

Assalamualaikum,

Sudah tertangguh entri satu sahaja bagi mencukupkan 44 entri. Alhamdulillah, hari ini dapat juga peluang menaip. Semalam, saya bergerak awal dari Batu Talam, Raub ke Kuala Lumpur seawal jam tujuh pagi. Sekolah tempat saya mengajar bercuti Tahun Baru Cina sejak Jumaat yang lepas sehingga hari Isnin. Dapatlah empat hari bersama keluarga di Pahang Darul Makmur.

Setiap hari Rabu, saya perlu mengajar subjek Matematik di kelas Tingkatan 1 Asim dan 2 Hafs serta subjek Sains di kelas Tingkatan 4 Hafs. Tidak sukar mengajar Matematik menengah rendah memandangkan saya ada pengalaman sejak tahun 2012. Saya tidak lagi merujuk nota dan buku rujukan semasa mengajar. Berbeza dengan subjek Sains, saya masih membuka buku rujukan dan mencari bahan-bahan tambahan memandangkan topik-topik yang ada lebih panjang perbincangannya.

Saya gembira berpeluang mengaitkan Sains dengan kelebihan penciptaan Allah subhanahu wataala. Saya bukanlah ustazah dan tidak mahir Bahasa Arab mahupun tafsir al-Quran. "Allah mencipta sisem saraf dan sistem endokrin yang sangat kompleks. Hanya Allah tahu hikmah di sebalik setiap ciptaan-Nya." Bersungguh-sungguh pelajar 4 Hafs mendengar, maklumlah sedang bersemangat bergelar pelajar Tingkatan 4.



"Cikgu, bila nak belajar medula oblongata ni?" Seorang pelajar bertanya tidak sabar. Subtopik yang seterusnya ialah otak manusia dan strukturnya. Asas struktur utama dalaman otak terdiri daripada serebrum, serebelum dan medula oblongata. Setiap bahagian itu mempunyai fungsi tertentu. Fungsi utama otak adalah menerima ransangan daripada organ deria seperti telinga, mata dan kulit, menterjemahnya lalu menghantar semula ke bahagian badan untuk bertindak balas.



"Cantiknya aturan Allah. Kita mesti mensyukuri nikmat penciptaan ini. Orang yang menjerumuskan diri dalam gejala dadah sebenarnya akan merosakkan fungsi asal otak dan juga sistem badan seperti sistem saraf dan sistem endokrin." Saya menjelaskan perkaitan bahaya dadah terhadap fungsi kedua-dua sistem itu yang akan menjadi lemah akibat pengambilan dadah.



"Macam mana nak fokus dalam pelajaran, apabila mental menjadi lemah. Otak tidak lagi dapat berfikir secara rasional dan logik." Ramai anak muda di luar sana mengambil jalan mudah dan tidak berfikir panjang dalam berbuat sesuatu perkara. Pengaruh rakan sebaya dan budaya persekitaran yang tidak sihat menyebabkan mereka lupa diri. Menjadi tanggungjawab semua untuk memperbetulkan perkara ini. Saya doakan pelajar-pelajar saya dapat menerima apa yang saya ajar dengan izin Allah.

Insya-Allah. Rasydan, Firdaus, Afiq Aiman, Muhib, Adham, Muhammad, Zuhdi, Nik Ameen, Azhad, Farhan, Izzat Amir, Hanif, Anna, Hayatun, Athirah, Fatimah, Farah dan Darirah Irdina dari kelas 4 Hafs dapat menjadi huffaz profesional pada suatu hari nanti. =)

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...