Bagaimana kita bersyukur

Teks : Syahidah Mahassan
Gambar : Carian Goggle

Assalamualaikum,

Sudah tertangguh entri satu sahaja bagi mencukupkan 44 entri. Alhamdulillah, hari ini dapat juga peluang menaip. Semalam, saya bergerak awal dari Batu Talam, Raub ke Kuala Lumpur seawal jam tujuh pagi. Sekolah tempat saya mengajar bercuti Tahun Baru Cina sejak Jumaat yang lepas sehingga hari Isnin. Dapatlah empat hari bersama keluarga di Pahang Darul Makmur.

Setiap hari Rabu, saya perlu mengajar subjek Matematik di kelas Tingkatan 1 Asim dan 2 Hafs serta subjek Sains di kelas Tingkatan 4 Hafs. Tidak sukar mengajar Matematik menengah rendah memandangkan saya ada pengalaman sejak tahun 2012. Saya tidak lagi merujuk nota dan buku rujukan semasa mengajar. Berbeza dengan subjek Sains, saya masih membuka buku rujukan dan mencari bahan-bahan tambahan memandangkan topik-topik yang ada lebih panjang perbincangannya.

Saya gembira berpeluang mengaitkan Sains dengan kelebihan penciptaan Allah subhanahu wataala. Saya bukanlah ustazah dan tidak mahir Bahasa Arab mahupun tafsir al-Quran. "Allah mencipta sisem saraf dan sistem endokrin yang sangat kompleks. Hanya Allah tahu hikmah di sebalik setiap ciptaan-Nya." Bersungguh-sungguh pelajar 4 Hafs mendengar, maklumlah sedang bersemangat bergelar pelajar Tingkatan 4.



"Cikgu, bila nak belajar medula oblongata ni?" Seorang pelajar bertanya tidak sabar. Subtopik yang seterusnya ialah otak manusia dan strukturnya. Asas struktur utama dalaman otak terdiri daripada serebrum, serebelum dan medula oblongata. Setiap bahagian itu mempunyai fungsi tertentu. Fungsi utama otak adalah menerima ransangan daripada organ deria seperti telinga, mata dan kulit, menterjemahnya lalu menghantar semula ke bahagian badan untuk bertindak balas.



"Cantiknya aturan Allah. Kita mesti mensyukuri nikmat penciptaan ini. Orang yang menjerumuskan diri dalam gejala dadah sebenarnya akan merosakkan fungsi asal otak dan juga sistem badan seperti sistem saraf dan sistem endokrin." Saya menjelaskan perkaitan bahaya dadah terhadap fungsi kedua-dua sistem itu yang akan menjadi lemah akibat pengambilan dadah.



"Macam mana nak fokus dalam pelajaran, apabila mental menjadi lemah. Otak tidak lagi dapat berfikir secara rasional dan logik." Ramai anak muda di luar sana mengambil jalan mudah dan tidak berfikir panjang dalam berbuat sesuatu perkara. Pengaruh rakan sebaya dan budaya persekitaran yang tidak sihat menyebabkan mereka lupa diri. Menjadi tanggungjawab semua untuk memperbetulkan perkara ini. Saya doakan pelajar-pelajar saya dapat menerima apa yang saya ajar dengan izin Allah.

Insya-Allah. Rasydan, Firdaus, Afiq Aiman, Muhib, Adham, Muhammad, Zuhdi, Nik Ameen, Azhad, Farhan, Izzat Amir, Hanif, Anna, Hayatun, Athirah, Fatimah, Farah dan Darirah Irdina dari kelas 4 Hafs dapat menjadi huffaz profesional pada suatu hari nanti. =)

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Kenangan kenangan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...